PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak kisah berjemur di tengah panas dan menjalani aktiviti lasak selepas dia bersetuju menyertai Rejimen Askar Wataniah.
Dia akan memastikan dirinya sentiasa bersedia sewaktu menyertai latihan ketenteraan itu. Siti terpaksa menyelesaikan tempoh latihan selama 39 jam seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan.
“Saya akan memakai krim pelindung cahaya matahari untuk menghalang kulit menjadi terlalu gelap. Bagaimanapun, saya rasa sudah adat warna kulit akan berubah gelap apabila selalu berjemur panas,” ujarnya.
Selain Siti, rakan selebriti lain yang turut serta dalam pasukan itu ialah pelakon Intan Ladyana, Shaheizy Sam, Mohd Noor Bong, pengacara Nurul Hidayah Zahid Hamidi, penerbit filem David Teo, penyanyi Aizat dan Ana Raffali
Menyentuh tentang karier seni, Siti masih akan aktif melibatkan diri dengan aktiviti yang diatur. Dia baru selesai merakamkan program Hari Raya Idola Kecil untuk TV9.
“Album lagu Inggeris saya akan berada di pasaran mulai Julai ini,” katanya lagi.
Sebanyak 10 buah lagu yang dijangka dimuatkan dalam album yang menggunakan khidmat komposer dari Australia iaitu Brian Bruno dan Cristian Alexander tersebut.
Sementara itu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, individu yang menyertai pasukan tersebut perlu menjalani latihan asas selama 39 jam dalam masa setahun mengikut kelapangan masing-masing sebelum mendapat pentauliahan.
Malah setiap pelatih turut diberi pilihan untuk latihan sehingga 240 jam seperti yang dilakukan oleh pasukan lain.
“Askar Wataniah terbuka kepada sesiapa sahaja dan saya percaya bahawa diri setiap orang mempunyai hasrat terpendam. Misalnya saya telah lama bercita-cita untuk menjadi anggota polis.
“Sejak di bangku sekolah lagi, saya memang berminat dengan pasukan beruniform. Walaupun usia sudah mencecah lebih 30 tahun ini, minat saya masih tidak luntur. Saya juga ingin menggalakkan kawan-kawan lain yang berminat menyertai pasukan ini kerana setelah mendengar taklimat, latihan yang diberikan tidak seteruk seperti askar tetap,” katanya.
0 ulasan: on "Rej 515 Askar Wataniah : Siti Nurhaliza Tidak Kisah Berjemur Panas"
Catat Ulasan