|
|
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, armada TLDM sentiasa berada di perairan berkenaan untuk bersedia menghalang segala bentuk ancaman ke atas kepentingan tuntutan negara itu.
“Kita sedang menganalisis perkembangan di sana dan dalam masa sama, kita sentiasa bersedia menangani sebarang kemungkinan dan keadaan.
“Apa yang penting, kita menduduki dan juga mengawasi kawasan persekitaran yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 iaitu di sekitar 200 batu nautika dari perairan negara.
“Di situlah kita berada kini dan di situlah kita akan terus berada pada masa depan,” tegasnya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera di Kem Tentera Darat Sungai Besi di sini, hari ini.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.
Suasana tegang kembali mewarnai isu tuntutan di Spratly apabila China bertindak menggerakkan kapal peronda terbesar dalam angkatan tentera lautnya di Laut China Selatan sejak semalam bagi mengawasi perairan itu.
Ia berikutan pergeseran antara negara kuasa besar Asia itu dengan Filipina sejak beberapa hari lalu.
Selain Filipina dan China, beberapa gugusan Kepulauan Spratly turut dituntut oleh Malaysia, Vietnam dan Brunei, dengan Malaysia sendiri membina kubu pertahanan di tiga kawasan iaitu Terumbu Layang-Layang, Terumbu Ubi dan Terumbu Mantanani.
Dalam pada itu, Zulkifeli memberitahu, China perlu menyedari bahawa kestabilan di Asia Tenggara adalah bersandarkan kepada kesepakatan negara-negara anggota ASEAN.
“Kita juga mempunyai banyak platform perbincangan seperti ASEAN, Forum Serantau ASEAN (ARF) atau Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan perkara ini boleh diselesaikan secara sepakat,” katanya.
0 ulasan: on "ATM tidak berganjak awasi gugusan tuntutan Malaysia di Spratly"
Catat Ulasan