Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Isnin, 30 Ogos 2010

Tentera Laut Diraja Malaysia

Tentera Laut Diraja Malaysia
(TLDM)
Naval Ensign of Malaysia.svg
Panji (Ensign) TLDM
Aktif 27 April 1934
Negara Malaysia
Kesetiaan SPB Yang di-Pertuan Agong
Jenis Tentera laut
Keanggotaan 14,000 anggota
Sebahagian dari Angkatan Tentera Malaysia
Markas/Ibu pejabat Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan

Markas Armada, Lumut

Motto Sedia Berkorban
Ulang tahun 27 April
Perang/pertempuran Perang Dunia Kedua
Darurat
Konfrontasi Indonesia-Malaysia
Komander
Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar
Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Dato' Wira Haji Mohammed Noordin Ali
Panglima Armada Laksamana Madya Dato' Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin
Tanda kebesaran
Simbol
identifikasi
Lambang TLDM


Tentera Laut Diraja Malaysia atau lebih dikenali dengan singkatannya, TLDM, merupakan salah satu cabang Angkatan Tentera Malaysia dan agensi utama yang bertanggungjawab ke atas operasi pengawasan dan pertahanan maritim negara. Penguasaan TLDM meliputi 603, 210 kilometer persegi, (hampir dua kali ganda keluasan daratan Malaysia, 329, 860 km persegi) merangkumi kawasan pesisiran dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE). TLDM juga memikul tanggungjawab mengawal Laluan Perhubungan Laut (bahasa Inggeris: Sea Lines of Communications, SLOC) utama negara seperti Selat Melaka dan Selat Singapura. TLDM turut mengawasi kepentingan negara di kawasan-kawasan yang mempunyai tuntutan bertindih seperti di perairan Spratly. Kehadiran TLDM dapat dilihat di peringkat antarabangsa dalam operasi konvoi yang berterusan di Teluk Aden. Dari segi kekuatan kelengkapan dan keanggotaan, TLDM mempunyai keupayaan yang dikira setanding dengan kebanyakkan negara-negara ASEAN dan mempunyai tentera laut yang ketiga terbesar di dalam gabungan ini. Dengan kekuatan konvensional yang sederhana, TLDM masih masih memerlukan penambahan platform dan kapal-kapal lain untuk beroperasi pada tahap terbaik. Hanya dengan pemodenan berterusan akan memastikan TLDM terus kekal sebagai satu angkatan yang seimbang dan berteknologi tinggi.

Isi kandungan

Sejarah TLDM

Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat

Sejarah Tentera Laut Diraja Malaysia boleh bermula dengan pembentukan Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat - Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR)- yang telah ditubuhkan oleh kerajaan kolonial British negeri-negeri selat pada 27 April 1934 di Singapura. SSNVR ditubuhkan untuk membantu Tentera Laut Diraja British mempertahankan kawasan perairan Tanah Melayu ekoran perkembangan dan pergolakan politik di Asia di mana Empayar Jepun sedang meluaskan kuasa dan pengaruhnya. Pembentukan sebuah cawangan di Pulau Pinang menyaksikan berkembangnya SSNVR.

Pada 18 Januari 1935, pihak pentadbiran tertinggi (Admiralty) Royal Navy telah menghadiahkan SSNVR di Singapura dengan sebuah kapal korvet kelas Flower, HMS Laburnum untuk berkhidmat sebagai kapal utama dan kapal latihan SSNVR. Kapal ini telah berlabuh di pangkalan di Telok Ayer Basin. HMS Laburnum malangnya telah ditenggelamkan oleh tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

Apabila Perang Dunia Kedua meletus di Eropah, SSNVR telah meningkatkan pengambilan rekrut bagi mengukuhkan pertahanan Tanah Melayu memandangkan unit- unit Royal Navy diperlukan di medan operasi Eropah. SSNVR juga telah dikerahkan untuk perkhidmatan aktif sebagai unit dalam Royal Navy Malay Section, juga dipanggil Royal Malay Navy ataupun Malay Navy dengan kekuatan seramai 400 orang anggota. Pasukan ini telah menjalani latihan di HMS Pelandok, Sembawang,di Singapura. Keanggotaan Malay Navy kemudiannya meningkat kepada 1450 orang apabila perang meletus di Asia Tenggara.

Sepanjang Perang Dunia Kedua, Malay Navy berkhidmat di bawah tentera bersekutu dan ditugaskan bersama-sama dibawah panji-panji Royal Navy.Laskar-laskar Malay Navy terlibat bersama Royal Navy di medan operasi di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik dan sebilangan mereka terkorban ketika ini. Ramai juga yang telah berkhidmat dengan cemerlang, antaranya ialah Able Seaman Ramli Mohd Said yang telah dianugerahkan pingat Pacific Star oleh kerajaan British. Apabila perang tamat dengan penyerahan kalah Jepun pada tahun 1945 hanya sekitar 600 anggota melapor diri semula. Pada tahun 1947, pasukan Malay Navy yang kecil ini telahpun dibubarkan akibat kemelesetan ekonomi.

Era selepas Perang Dunia Kedua

Pada 24 Disember 1948, Darurat diisytiharkan di Tanah Melayu akibat ancaman pengganas komunis. Menyedari kepentingan tentera laut bagi membendung ancaman komunis, pihak British mengaktifkan semula Malay Navy dan kali ini digelar Malayan Naval Forces , MNF. Tarikh 4 Mac 1949 menyaksikan hari perasmian dan penubuhan Malayan Naval Forces yang berpangkalan di HMS Malaya, Woodlands, Singapura.

Misi utama MNF ialah mengawasi pesisir pantai Tanah Melayu bagi menghalang pengganas komunis daripada memperoleh bantuan bekalan melalui jalan laut. Angkatan ini juga diberi tugas mengawal laluan ke Singapura dan pelabuhan-pelabuhan lain.

Malayan Naval Forces dibekalkan dengan sebuah frigat kelas River HMS Test yang turut digunakan sebagai kapal latihan. Pada tahun 1950 pula dengan sebuah kapal minelayer bekas tentera Jepun, juga dinamakan HMS Laburnum, sebuah LCT, HMS Pelandok, sebuah kapal penangkap ikan, HMS Panglima, sebuah kapal torpedo HMS Simbang, dan beberapa kapal kecil lagi.

Gelaran Diraja

Pada bulan Ogos 1952, Ratu Elizabeth II telah mengurniakan gelaran ‘Diraja’ kepada MNF, menjadikan MNF kini dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaya (Royal Malayan Navy) di atas perkhidmatan MNF yang cemerlang ketika Darurat. Kapal-kapal TLDM kini mempunyai imbuhan HMMS: Her Majesty's Malayan Ship sebelum namanya.

Era Kemerdekaan dan selepas Kemerdekaan

Tentera Laut Diraja Malaya akhirnya diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1958[1]. Penaikan panji Tentera Laut Persekutuan secara rasminya menandakan TLDM memikul tanggungjawab untuk mempertahankan perairan persekutuan. TLDM memulakan tugasnya hanya dengan sebuah pangkalan pusat di HMMS Malaya dan sebuah armada kecil yang terdiri daripada sebuah kapal LCT, 2 buah kapal penyapu ranjau (minesweeper) kelas Ham, dan 7 buah kapal ronda.

Pada 16 September 1963, TLDM dinamakan sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (juga sebagai TLDM) setelah pembentukan Malaysia.

Kekuatan TLDM bertambah secara beransur-ansur setelah Malaysia dibentuk. 18 buah bot ronda kelas Keris telah ditempah dari firma Vosper, dan bot-bot ini membentuk kekuatan pengawasan TLDM untuk tahun-tahun akan datang. Bot sepanjang 103 kaki ini berfungsi dengan enjin disel dengan kelajuan maksima 27 knot. Walau bagaimanapun, bot kelas Keris hanya dihadkan sebagai bot peronda pesisir pantai kerana mempunyai ketahanan operasi yang rendah.

Selepas itu, kekuatan berperang TLDM bertambah dengan pembelian bot serang laju kelas Brave dari firma Vosper sebanyak 4 buah. Kapal ini juga dikenali sebagi kelas Perkasa dan dibina khas untuk TLDM dalam limbungan Vosper Thorneycroft pada tahun 1967. Kapal serang laju Perkasa ini dilengkapkan dengan empat torpedo 21’’, sebuah meriam Bofors 40mm, dan satu meriam 20mm di bahagian buritan. Perkasa mempunyai kelajuan sehingga 54 knots (±100 km/jam).

TLDM mendapat sebuah lagi kapal apabila Royal Navy memindahkan frigat kelas Loch HMS Loch Insh (K433) kepada TLDM pada tahun 1964. Loch Insh dinamakan semula sebagai KD Hang Tuah (F433). Semasa Konfrontasi,KD Hang Tuah mengambil alih tugas pengawalan di perairan Tawau, Sabah dari HMAS Yarra. KD Hang Tuah berkhidmat dalam armada TLDM sehinggalah kapal ini dilucutkan tauliah pada tahun 1970 dan dilupuskan.

Pada tahun 1977 pula TLDM memperoleh frigat HMS Mermaid dari Royal Navy bagi menggantikan Hang Tuah yang tidak lagi berkhidmat. Kapal ini juga dinamakan Hang Tuah, (F72) KD Hang Tuah. Hang Tuah merupakan sebuah frigat seberat 2,300 tan bersenjatakan meriam berkembar 102 mm. KD Hang Tuah masih berkhidmat kini menjadi kapal latihan.

KD Rahmat (F24) menyertai armada TLDM pada tahun 1972. Kapal frigat ringan seberat 2,300 tan ini merupakan antara model rekaan firma Yarrow untuk TLDM. Pada awalnya Rahmat dinamakan sebagai KD Hang Jebat, namun disebabkan masalah sewaktu ujian pentauliahan, kapal ini dinamakan sebagai KD Rahmat. KD Rahmat merupakan kapal perang pertama TLDM yang dilengkapi sistem misil anti udara iaitu Sea Cat[2], Rahmat telah dilucutkan tauliah pada tahun 2004.

TLDM membeli lagi beberapa jenis bot serang laju peluru berpandu diantara tahun 70an-80an. Bot-bot ini adalah 4 buah kelas Combattante II yang dibeli dari Perancis, dan 4 buah kelas Spica M dari Sweden. Kedua-dua kelas ini dilengkapkan dengan misil Exocet MM38. TLDM turut memperoleh 2 buah Offshore Patrol Vessel (OPV) kelas Musytari seberat 1,300 tan rekaan Korea Selatan.

Keperluan menghantar tentera dan peralatan melalui jalan laut (military sealift) turut dipenuhi apabila TLDM membeli kapal-kapal Landing Ship Tank, LST dari Amerika Syarikat. Kapal- kapal yang dibeli adalah KD Sri Banggi (A1501), bekas USS Henry County, KD Raja Jarom (A1502), bekas USS Sedgwick County, KD Sri Inderapura (A1505), bekas USS Spartanburg County. Kebolehan tambahan turut diperoleh dan disediakan dengan 2 kapal sokongan pelbagai fungsi seberat 4,300 tan, 100 meter KD Sri Indera Sakti (A1503) dan KD Mahawangsa (A1504).

Keupayaan menangani ancaman periuk api disediakan oleh 4 kapal minehunter kelas Mahamiru. Kapal-kapal ini juga dikenali kapal penyapu ranjau kelas Lerici. Tugas hydrografi diserahkan kepada KD Perantau dan KD Mutiara.

Sejumlah kapal TLDM telah dilucutkan tauliah dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). APMM telah menerima 17 buah kapal dari armada TLDM dengan pemindahan secara hot transfer untuk perkhidmatan APMM. 6 buah kapal diserah kepada APMM pada Ogos 2005 dan 7 lagi pada Januari 2006.

Permodenan Armada

KD Laksamana Tun Abdul Jamil

Bermula dengan perolehan dua buah korvet kelas Kasturi, iaitu KD Kasturi dan KD Lekir pada tahun 1983/84 TLDM mengorak langkah menuju era pemodenannya. Kapal seberat 1,500 tan (1850 tan berat penuh) ini asalnya bersenjatakan misil Exocet MM38 dan mampu menempatkan sebuah helikopter bersaiz sederhana. Kapal- kapal ini bagaimanapun tidak dilengkapi hangar dan dan sistem anti udara yang berkemampuan tinggi. Seterusnya, 4 buah korvet kelas Laksamana telah dibeli dari Itali . Kapal ini pada asalnya dibina untuk Iraq sebagai korvet kelas Assad, namun ia tidak diserahkan atas sekatan antarabangsa ke atasnya selepas Perang Teluk.

Penambahan aset seterusnya kepada armada TLDM ialah dua buah frigat kelas Lekiu yang berdasarkan rekaan model Yarrow F2000[3], yang telah dibina di Scotstoun, Glasgow dan diserahkan pada tahun 1994/95. Ketika dilancarkan, kapal-kapal ini dianggap yang termoden di Asia. Kapal frigat seberat 2,270 tan (berat penuh)ini bersenjatakan peluru berpandu permukaan ke permukaan, (SSM) Exocet MM40 Block II dan peluru berpandu anti udara Sea Wolf sistem lancaran tegak (VLS). Bagi tugas anti kapal selam torpedo Whitehead 324mm mampu dilancarkan dari sistem B515. Kapal-kapal kelas ini juga berupaya membawa dan menyokong operasi sebuah helikopter Super Lynx 300.

Kapal ronda kelas Kedah dalam Program Kapal Ronda Generasi Baru (NGPV).

KD Pahang, kapal kedua dalam kelas Kedah

TLDM turut merancang pembinaan sehingga 27[4] kapal ronda dalam program Kapal Ronda Generasi Baru, NGPV (New Generation Patrol Vessel).Dari batch pertama, 6 buah kapal telah ditempah, dengan 2 buah kapal dibina dan disiapkan di Jerman and 4 buah lagi dibuat sepenuhnya di limbungan di Malaysia dengan usahasama German Naval Group (GNG). Kapal- kapal ini diasaskan dari rekabentuk modular MEKO A-100 (MEKO = MErzwerk KOmbination)[5] boleh ditingkat upaya menjadi korvet dengan mudah dengan aturan fitted for, but not with, (FFBNW) seperti sistem plug and play[6]. Ciri-ciri kapal- kapal dalam kelas ini mirip dengan sebuah kapal korvet namun ia dikonfigurasi sebagai kapal ronda luar pantai, OPV (Offshore Patrol Vessel).

Program ini tertangguh seketika dan mengalami kelewatan 18 bulan. Ini disebabkan masalah pengurusan dan kewangan yang dihadapi oleh firma PSC-ND yang menyiapkan kapal-kapal tersebut. Kontroversi timbul apabila Jawatankuasa Perakaunan Awam mendedahkan kegagalan PSC-ND menyerahkan kapal dengan jumlah kontrak sejumlah RM5.35 billion ringgit kepada media massa. Sebuah pasukan pengurusan baru ditubuh dan projek ini berjalan semula. Dua kapal pertama dalam kelas ini, 171 KD Kedah dan 172 Pahang akhirnya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan pada bulan Jun dan Ogos tahun 2006. Kapal NGPV kelas Kedah ini ditugaskan dalam operasi kawalan dan rondaan di kawasan perairan ZEE. Kapal kelas Kedah ini dilengkapi senjata ringan hanya dengan meriam Oto Melara 72/62 mm dan Oto Melara 30mm. Kapal ketiga, KD Perak[7] dan kapal keempat KD Terengganu dijangka akan diserahkan kepada TLDM tidak lama lagi[8][9]. Sistem persenjataan yang lebih berkuasa dan berat boleh ditambah sekiranya perlu.

Model bac kedua NGPV ketika pameran LIMA 2009

Seterusnya, TLDM dan Kementerian Pertahanan sedang mengkaji perolehan bac atau kumpulan kedua kapal ronda NGPV ini. Ketika acara LIMA yang berlangsung pada Disember 2009, Boustead Naval Shipyard mempertontonkan rekabentuk yang ditingkat upaya. Bac kedua ini lapan meter lebih panjang dan diberitakan akan dilengkapi terus dengan sistem senjata, tidak lagi kapal 'kosong' sepertimana bac pertama. Bac kedua juga dijangka akan dioptima bagi tugas anti kapal selam (bahasa Inggeris: Anti Submarine Warfare, (ASW))[10]. Kementerian Pertahanan juga dilaporkan mengkaji kemungkinan perolehan OPV kelas Nakhoda Ragam Brunei. Perkembangan yang dilihat positif oleh pemerhati tempatan ini diharap menjadi kenyataan memandangkan TLDM mengalami masalah kekurangan kapal atau platform untuk operasinya. Brunei menepah tiga buah OPV berdasarkan rekabentuk F2000 TLDM awal 2000 dan siap pada 2004, bagaimanapun ianya dikatakan tidak menepati spesifikasi pihak Tentera Laut Diraja Brunei[11]. Disebabkan rekabentuk yang hampir serupa ini, ketiga-tiga kapal ini mempunyai banyak persamaan dengan sistem yang terdapat di atas kapal-kapal kelas Lekiu dan akan memudahkan integrasi ke dalam armada TLDM kelak.

Kapal selam Scorpene

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya penubuhan angkatan kapal selam menjadi kenyataan dengan kontrak yang termeterai pada tahun 2002 Kerajaan Malaysia dan pembuat kapal Perancis, Armaris (dahulunya DCN) dan rakan kongsi Sepanyolnya, kumpulan Navantia (dahulunya IZAR)[12]. Termasuk dalam kontrak pembelian kapal selam ini ialah perolehan sebuah kapal selam bekas Tentera Laut Perancis (bahasa Perancis: Marine Nationale) kelas Agosta (FS Ouessant) berfungsi sebagai kapal latihan. Kontrak ini juga memastikan 150 anggota TLDM dilatih sepenuhnya di Perancis. Kemuncak dari ini sudah pasti penyerahan kapal- kapal ini, kini dikenali sebagai KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak dalam kelas Perdana Menteri, dijangka pada awal 2009 dan akhir 2009[13]. Ketika itu TLDM akan dapat mengimbangi operasi dalam ketiga- tiga dimensi perperangan laut dan dimensi keempat iaitu peperangan elektronik[14]. Kapal- kapal ini direka hasil pengalaman yang diperolehi dari kapal kelas Le Triomphant Perancis dilengkapi dengan peluru berpandu SM39 Exocet anti kapal. Bagaimanapun diberitakan kapal- kapal ini tidak akan dilengkapi dengan MESMA-AIP (Module d'Energie Sous-Marine Autonome-Air Independent Propulsion), sistem yang meningkatkan jangka waktu selaman kapal selam.

Frigat kelas Lekiu Kumpulan II (LEKIU Batch II)

Lekiu batch II ketika dipertontonkan di LIMA 2007

Ketika Pertunjukan Udara Farnborough Julai 2006, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak (kini Perdana Menteri Malaysia) mengumumkan TLDM akan menambah 2 lagi frigat yang akan diperolehi dari United Kingdom[15] [16]. Penganalisa pertahanan tempatan menjangka perjanjian usahasama akan dimeterai di antara BAE Systems dan Labuan Shipyard[17] bagi membolehkan kapal- kapal ini dibina di dalam negeri dengan manfaat pemindahan teknologi. Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis perjanjian persefahaman masih belum ditandatangani oleh mana- mana pihak. Ketika pertunjukan udara dan maritim Langkawi, LIMA 2007, BAE Systems telah mempamerkan rekabentuk terkini frigat ini yang lebih berupaya dari batch pertama. Apabila diperolehi kelak, ia bukan hanya dilengkapi dengan peluru berpandu Sea Wolf, tetapi juga dengan MBDA Aster 15 anti udara dan sistem radar, sonar dan penderia yang lebih canggih.

Kapal Sokongan Pelbagai Fungsi, MRSS (Multi Role Support Ship)

Kapal Dokdo, mungkinkah kapal kelas ini menyertai TLDM di masa akan datang?

TLDM juga telah menyuarakan keinginan untuk memperolehi sekitar 3 buah kapal MRSS bagi menggantikan kapal- kapal yang telah lama berkhidmat dengan angkatan itu[18] .Kepentingan kapal sebegini dalam operasi bantuan bencana disedari selepas bencana tsunami yang melanda negara- negara Asia Disember 2004 di samping menyatakan komitmen negara terhadap operasi pengaman antarabangsa. Kapal- kapal ini harus berupaya menyokong operasi bersama angkatan tentera dan mempunyai kemudahan mengangkut tentera dan peralatan dalam misi- misi pasukan pengaman, bantuan bencana, platform hospital medan dan sokongan am armada. Kapal yang akan dibina dijangka mempunyai sesaran sehingga 18,000 tan dalam konfigurasi Landing Platform Dock (LPD), ataupun Landing Helicopter Dock (LHD). Antara rekabentuk yang sedang dinilaitimbang ialah kelas Rotterdam/Galicia (LPD) Belanda/Sepanyol, dan kelas Dokdo (LHD) Korea Selatan.

Pesawat rondaan maritim

Menurut satu laporan tempatan, TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang menimbang untuk bekerjasama untuk menubuhkan dan mengoperasikan skuadron pesawat peronda kepak kaku. Peruntukkan akan disediakan dari pihak TLDM, manakala TUDM akan menyediakan anggota dan sokongan darat. Beberapa jenis pesawat telah dikenal pasti antaranya Boeing P-8A Poseidon yang diasaskan dari pesawat B737 komersil dan pesawat A319 MPA Airbus yang ditawarkan oleh syarikat EADS. Analisa awal mendapati pesawat- pesawat tersebut bukan sahaja sesuai tetapi juga telah dioperasikan oleh TUDM dalam versi VIP, bermakna TUDM sedikit sebanyak telah mempunyai kepakaran yang diperlukan. Ini akan memudahkan urusan penyelenggaraan pesawat kelak. Bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan.

Aset udara TLDM

Helikopter Fennec skuadron 502

Walaupun tidak seperti Tentera Laut Diraja Thailand, mempunyai dan mengoperasikan kapal pengangkut pesawat, namun TLDM tetap memerlukan cawangan udaranya sendiri. TLDM telah membeli 6 buah helikopter Westland Super Lynx untuk kapal-kapal utama dalam armadanya dan beroperasi sebagai Skuadron 501. Helikopter AS 555 Aerospatiale Fennecs beroperasi sebagai Skuadron 502. Manakala helikopter Wasp Westland tidak lagi berkhidmat dalam pasukan udara TLDM. Tempahan 6 buah helikopter Augusta Westland Super Lynx 300 dijangka memenuhi keperluan helikopter dalam pasukan udara TLDM. Helikopter jenis Super Lynx juga ditugaskan bersama skuadron frigat iaitu KD Jebat (29) dan KD Lekiu (30).

Panglima Tentera Laut yang baru Datuk Abdul Aziz Jaafar, secara terbuka memaklumkan hasrat TLDM untuk memperolehi 6 buah lagi helikopter khusus untuk peranan anti kapal selam[19] . Beliau berkata dalam temubual pada bulan April 2008, helikopter merupakan alternatif yang lebih kos efektif berbanding pembelian kapal permukaan. Beliau juga tidak menolak ianya dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) nanti.

Pangkalan TLDM

TLDM telah meninggalkan pangkalan bersejarahnya, KD Malaya, di Woodlands, Singapura, untuk pangkalan baru yang lebih moden, yang turut dipanggil KD Malaya, di Lumut, Perak. Pangkalan lain telah dibina dibina di Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang, yang turut berkhidmat sebagai Markas Wilayah Laut 1 dan di Tanjung Pengelih, Johor yang berkhidmat sebagai pusat latihan rekrut tentera laut KD Sultan Ismail. Pangkalan turut terdapat di Sungai Antu, Sarawak, di Labuan, dan Sandakan Sabah. Sebuah pangkalan pusat untuk operasi kapal selam telah dibina di Teluk Sepanggar, Sabah yang mana turut berfungsi sebagai Markas Wilayah Laut 2. Sebuah lagi pangkalan sedang dibina di Pulau Langkawi, Kedah untuk dijadikan pusat untuk operasi di Lautan Hindi. Akses ke Lautan Pasifik telah disediakan dengan pangkalan TLDM di Semporna, Sabah. Pemerintahan wilayah TLDM mulanya terbahagi kepada dua kawasan Malaysia Barat (Wilayah Laut I) dan Malaysia Timur atau Sabah dan Sarawak (Wilayah Laut II). Lazimnya pemerintah atau panglima wilayah-wilayah ini berpangkat Laksamana Pertama (satu bintang), tetapi dahulunya pernah juga dijawat pegawai kanan berpangkat Kepten. Pernah juga sesebuah wilayah diketuai oleh seorang Laksamana Muda (dua bintang) baru-baru ini[20]. TLDM juga berhasrat untuk menubuhkan wilayah keempat di Sungai Antu dan menetapkan pemerintahan setiap wilayah untuk seorang Laksamana Muda di masa akan datang.

Senarai pangkalan TLDM

  • TLDM Lumut, Perak (Markas Armada)
  • TLDM Tanjung Gelang, Pahang (Markas Wilayah Laut I)
  • TLDM Teluk Sepanggar, Sabah (Markas Wilayah Laut II)
  • TLDM Bukit Malut, Langkawi (Markas Wilayah Laut III)
  • TLDM Sejingkat, Sarawak
  • TLDM Tanjung Pengelih, (KD Sultan Ismail) Johor
  • TLDM Labuan
  • TLDM Sandakan, Sabah
  • TLDM Semporna, Sabah
  • Pusat Hidrografi Negara, Pulau Indah, Selangor

Nama kapal

Semua kapal dalam armada TLDM membawa imbuhan awalan KD yang bermaksud Kapal Diraja ataupun KLD yang bermaksud Kapal Layar Diraja.

Senarai kapal terkini TLDM

Frigat (F/FF/FFG)

Kelas Lekiu

KD Jebat di Porto Malai
  • 29 KD Jebat
  • 30 KD Lekiu

Korvet (K/FS/FSG)

Kelas Kasturi

  • 25 KD Kasturi
  • 26 KD Lekir

Kelas Laksamana

  • 134 KD Laksamana Hang Nadim
  • 135 KD Laksamana Tun Abdul Jamil
  • 136 KD Laksamana Mohammad Amin
  • 137 KD Laksamana Tan Pusmah

Kapal ronda luar pantai, OPV (P/PV)

Kelas Kedah Kapal Peronda Generasi Baru, MEKO A-100[21]

  • 171 KD Kedah (ditauliahkan pada 25 September, 2003)
  • 172 KD Pahang (ditauliahkan pada 25 Mac, 2004)
  • 173 KD Perak (ditauliahkan pada 12 November, 2007)
  • 174 KD Terengganu (dilancar 6 Disember 2007, belum ditauliahkan)
  • 175 KD Kelantan (dilancar 24 November 2008, belum ditauliahkan)
  • 176 KD Selangor (dilancar 23 Julai 2009, belum ditauliahkan)

Kapal serang laju (PG/PCFG)

Kelas Perdana

  • 3501 KD Perdana
  • 3502 KD Serang
  • 3503 KD Ganas
  • 3504 KD Ganyang

Kelas Jerong

  • 3505 KD Jerong
  • 3506 KD Todak
  • 3507 KD Paus
  • 3508 KD Yu
  • 3509 KD Baung
  • 3510 KD Pari

Kelas Handalan

  • 3511 KD Handalan
  • 3512 KD Perkasa
  • 3513 KD Pendekar
  • 3513 KD Gempita

Kapal selam (S/SS/SSK/SSG)

Kelas Agosta

  • Dahulunya FS Ouessant

Kelas Scorpene/Kelas Perdana Menteri

  • KD Tunku Abdul Rahman - Diserahkan secara rasmi kepada Tentera Laut Diraja Malaysia pada 3 Februari, 2009 di Toulon, Perancis.[22]
  • KD Tun Abdul Razak - penghantaran dijangka akhir 2009.

Kapal penyapu ranjau (Mine Countermeasures Vessel), (M/MCM/MCMV)

Kelas Mahamiru

  • 11 KD Mahamiru
  • 12 KD Jerai
  • 13 KD Ledang
  • 14 KD Kinabalu

Kapal sokongan

Kelas Sri Indera Sakti

KD Mahawangsa dan KD Kasturi

Kapal Auxillary diserap dari MISC

  • MV Bunga Mas Lima[23]

Kapal latihan

Kapal tunda TLDM

  • 4 KTD Penyu
  • 6 KTD Sotong
  • 8 KTD Kepah

Kapal layar

KLD Tunas Samudera

Aset udara (KD Rajawali)

Pasukan elit

Unit elit dalam organisasi TLDM ini dikenali sebagai PASKAL atau nama penuhnya Pasukan Khas Laut. Seperti unit- unit lain dalam TLDM, pasukan ini ditugaskan tanpa mengira waktu aman atau perang. PASKAL bertindak menangani keganasan dan mengawal serta melindungi aset-aset maritim negara seperti pelabuhan dan pengkalan, kapal- kapal dagang, pelantar minyak dan gugusan pulau persempadanan. Di waktu peperangan dan konflik antara negara, sudah pasti pasukan ini yang terawal ditugaskan melakukan penyusupan di perairan, perisikan dan sabotaj ke atas aset dan kemudahan musuh. Unit ini mendapat latihan awal kepakaran daripada KOPASKA Indonesia, Royal Marine Commando British dan SEAL Amerika Syarikat. Dari segi kemampuan, tidak keterlaluan dikatakan unit ini setanding dengan pasukan elit negara- negara lain.

TLDM sebagai kuasa laut baru

Pertama kali dalam sejarahnya, panglima dari TLDM telah dilantik memegang teraju Angkatan Tentera Malaysia. Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, sebelum itu merupakan Panglima Tentera Laut ke-12, memecah tradisi ketika dilantik menjadi menjadi Panglima Angkatan Tentera (PAT) pada awal 2005. Sebelum itu pada 6 September 2004, Laksamana Madya (ketika itu) Datuk Ramlan Mohamed Ali telah dilantik mengetuai Pasukan Angkatan Bersama (Joint Forces Command) sebagai panglimanya yang pertama. Perkembangan ini menunjukkan kesedaran yang meningkat terhadap kepentingan kuasa laut di abad ini. Dengan peningkatan China dan India sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan baru dunia, TLDM perlu menjalinkan kerjasama strategik yang dapat mewujudkan imbangan bagi situasi begini.Tambahan pula TLDM berhadapan dengan arus peningkatan keupayaan dan pemodenan beberapa tentera laut negara jiran. Hasrat TLDM untuk membangun dari sebuah angkatan pesisiran (brown water navy) kepada angkatan laut lepas (blue water navy) harus mendapat sokongan kerajaan dan rakyat Malaysia. Bahkan, akhirnya, kuasa tentera hanyalah kesinambungan kuasa politik dan diplomasi sesebuah negara.

Lihat juga

Pautan luar



Rujukan

  1. The Tunku – as I knew him, The Star21 Ogos 2007
  2. Defence industry must be developed in line with requirements, Utusan Malaysia Online
  3. Lekiu class frigate, Naval Technology
  4. Appropriate steps taken to protect territorial waters - Najib, Utusan Malaysia Online
  5. MEKO makes its mark in Malaysia, Jane's Navy International
  6. Navy vessel based on plug-and-play concept, The Star Online
  7. More patrol ships for navy, The Star Online
  8. BN Shipyard to deliver four NGPVs within three years, The Star Online
  9. Last four of naval ships to be delivered by 2010, The Star Online
  10. LIMA 2009 Regional Market News,Asia-Pacific Naval Forces aiming for better and advanced equipments
  11. Global Security
  12. Agong, Raja Permaisuri tiba di Cartagena, Utusan Malaysia Online
  13. Dermaga Scorpene dijangka siap Februari 2009, Utusan Malaysia Online
  14. Kapal Diraja Tun Razak perkasa Armada TLDM, RMN Today
  15. Britain Hopes Frigates Deal Can Be Concluded In Few Months, Bernama.com Malaysian National News Agency
  16. BAE Systems to build two frigates for Malaysia,Defence System Daily, Farnborough International 2006
  17. Kapal frigat: BAE Systems yakin rundingan selesai tahun ini, Utusan Malaysia Online
  18. 3 MRSS for Malaysian Navy
  19. Helikopter peperangan anti kapal selam TLDM, Tempur Julai 2008
  20. Perarakan TLDM Masuk Ke Bandaraya Akan Diteruskan, Bernama.com 18 April, 2009
  21. Data dari Majalah Tempur, keluaran Ogos 2009
  22. DCNS Delivers First Submarine For Royal Malaysian Navy
  23. Container ship joins the navy to fight pirates, Malaysia Shipowners' Association


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Tentera Laut Diraja Malaysia"

Catat Ulasan