Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Rabu, 1 September 2010

Tafsir Ayat: Rasulullah galak umat rebut keistimewaan malam lailatulqadar

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

FIRMAN Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada lailatulqadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apa dia kebesaran lailatulqadar? Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar." (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Salah satu daripada keagungan, keistimewaan dan kemuliaan bulan suci Ramadan ialah adanya satu malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam yang hanya muncul pada sepuluh terakhir Ramadan itu lebih dikenali dengan lailatulqadar, amat istimewa dan dinantikan setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Rasulullah SAW sendiri memohon kepada Allah supaya malam bersejarah yang penuh hikmah itu berkenan menemuinya. Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) dari Allah Taala.” (Hadis riwayat Nasa’i)

Keistimewaan lailatulqadar diserikan lagi penurunan wahyu al-Quran untuk pertama kalinya kepada Rasulullah SAW sewaktu Baginda berada di Gua Hira’. Setelah itu, al-Quran mula diturunkan secara berperingkat dan beransur-ansur selama 23 tahun (13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah).

Lailatulqadar akan muncul pada bulan Ramadan setiap tahun sebagai anugerah Allah yang hanya dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Lailatulqadar juga bermaksud malam penentuan kerana pada malam itu mula ditentukan langkah akan ditempuh Rasul-Nya dalam memberi petunjuk bagi umat manusia.

Dalam kitab Fathul Bari oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani, ada 45 pendapat mengenai malam berlakunya lailatulqadar, masing-masing menurut pengalaman dengan catatan ulama yang meriwayatkan sejak dari malam pertama hingga malam 30 Ramadan.

Ulama bersepakat lailatulqadar berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan namun, mereka berselisih pendapat mengenai malam yang ke berapa dari sepuluh malam terakhir itu. Ada pendapat menyatakan lailatulqadar terjadi pada malam ke-27 Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa ingin mendapatkan lailatulqadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27.” (Hadis riwayat Ahmad). Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu terjadi pada malam ganjil sepuluh hari terakhir.

Menurut sejarah Islam, lailatulqadar pertama kali menemui Rasulullah SAW ketika Baginda menyendiri di Gua Hira’, bermuhasabah dan merenung masyarakat sekeliling. Tidak lama kemudian, datang al-Ruh al-Amin iaitu malaikat Jibril membawa wahyu Ilahi dengan petunjuk dan hidayah untuk membimbing Baginda.

Lailatulqadar kurniaan Ilahi kepada Rasulullah SAW dan umatnya sebagai tanda kasih sayang-Nya dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Justeru, amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu lebih baik daripada amal kebajikan dilakukan selama seribu bulan.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya mencari lailatulqadar. Rasulullah SAW menghidupkan malam terakhir Ramadan dengan melaksanakan iktikaf, solat tahajud, solat witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran, berzikir kepada Allah dan lain-lain amalan salih yang dianjurkan Islam.

Walau apapun harinya, yang pentingnya pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa penuh keimanan, mengharapkan keredaan Ilahi dan sentiasa menghiasi kehidupannya dengan amalan salih.

Kelebihan lailatul qadar itu sudah tentu tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan tidak diberikan kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam tertentu saja pada bulan Ramadan.

Fadilat malam mulia itu akan menyinari orang yang ikhlas, khusyuk dan istiqamah mempertahankan nilai keislaman dalam setiap tutur kata, perilaku, akhlak, ibadat dan aktiviti kehidupan sehariannya.

Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut penuh keyakinan serta keimanan, sekali gus melayakkan dirinya termasuk kelompok orang dilimpahi kenikmatan syurga abadi terdiri daripada golongan para nabi dan rasul, siddiqin, syuhada’ dan orang soleh.

Demikianlah keistimewaan lailatul qadar yang mengangkat bulan Ramadan sebagai penghulu segala bulan, penuh keberkatan dan kelebihan buat Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Muslim berjaya berpuasa sebulan Ramadan dengan penuh keimanan maka diampuni Allah segala dosanya seumpama bayi yang baru keluar dari rahim ibunya.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Tafsir Ayat: Rasulullah galak umat rebut keistimewaan malam lailatulqadar"

Catat Ulasan