SAYA membantah cadangan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek agar kerajaan Malaysia memberikan taraf kerakyatan secara automatik kepada pemegang kad pengenalan merah yang telah berusia melebihi 60 tahun seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan baru-baru ini.
Tidak kira berapa umur dan dari mana asal usul pemohon, sama ada dari China, Indonesia, Singapura, hatta Amerika Syarikat sekalipun, setiap pemohon wajiblah memenuhi setiap syarat yang ditetapkan terutamanya taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, fasih berbahasa Melayu dan mengakui hak-hak istimewa bumiputera sebagai penduduk asal negara ini.
Harus diingat bahawa menetap di Malaysia bukanlah sekadar melarikan diri dari kesempitan hidup di negara asal atau mengaut kekayaan di negara ini semata-mata, malah perlulah sanggup berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan asas-asas penubuhan dan menghayati sejarah negara ini.
Sekiranya tidak sanggup untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, usahlah bermimpi untuk menjadi warganegara Malaysia. Pergilah memohon kerakyatan daripada negara lain.
Saya yakin adalah lebih baik Malaysia mempunyai bilangan warganegara yang sedikit daripada memiliki warganegara yang tidak taat dan boleh mengancam kemakmuran negara.
Masjid Tanah, Melaka
0 ulasan: on "Bantah Cadangan Presiden MCA"
Catat Ulasan