KUCHING, 2 Sept (Bernama) -- Polis telah meningkatkan kawalan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu yang menjadi pintu keluar masuk utama rakyat Indonesia dari Kalimantan Barat ke wilayah Sarawak melalui jalan darat.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Mohd Jamali Umi berkata langkah itu bukan hanya kerana musim perayaan ini tetapi juga disebabkan isu anti-Malaysia yang sedang berlaku di Indonesia.
"Anggota kita termasuk dari Cawangan Khas dan Pasukan Gerakan Am akan memantau perjalanan keluar masuk warga Indonesia untuk memastikan tidak ada kejadian di luar kawalan berlaku," katanya kepada Bernama pada Khamis.
Mohd Jamali berkata jumlah warga Indonesia yang balik dan keluar melalui CIQ Tebedu meningkat kepada hampir 25,000 orang secara purata pada Ogos lepas berbanding sekitar 15,000 pada bulan yang tiada perayaan.
Menurutnya selain kawalan di pintu masuk utama Kompleks CIQ Tebedu, polis turut membuat sekatan jalan raya di jalan utama keluar masuk menuju Tebedu selain mengadakan pemeriksaan terhadap bas ekspres Kuching-Pontianak.
Mohd Jamali berkata Kompleks CIQ Tebedu dibuka dari 6 pagi hingga 6 petang tetapi kawalan oleh pasukan keselamatan di kawasan terbabit adalah 24 jam sehari.
Beliau juga menasihatkan masyarakat tempatan khasnya yang akan balik berhari raya menggunakan jalan Trans Borneo melalui bandar Serian, agar tidak memandu terlalu laju dan berbahaya.
"Anggota polis akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik selain membuat rondaan di jalan utama Kuching ke Serian dan Sri Aman," katanya.
- BERNAMA
0 ulasan: on "Kawalan Keselamatan Pintu Masuk Sarawak / Kalimantan Dipertingkat"
Catat Ulasan