Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Rabu, 1 September 2010

Tradisi serba baru, elak sampai makan diri

TIDAK sampai dua minggu lagi umat Islam akan menyambut kedatangan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan mengharungi puasa di bulan Ramadan.

Jika pada awal Ramadan, tempat meletak kenderaan sentiasa dipenuhi, malahan di dalam masjid pula pak imam terpaksa menambah tikar dan sejadah untuk menampung jumlah jemaah yang ramai.

Namun, dalam menuju akhir Ramadan dan dalam mencari malam Lailatul Qadar, jumlah mereka yang menunaikan solat terawih semakin berkurangan.

Tempat meletak kenderaan sudah mula sepi, jemaah boleh memilih petak parkir yang mereka suka untuk meletakkan kenderaan, manakala di dalam masjid pula dari enam saf sudah berkurangan kepada dua dan kadang- kadang menjadi satu saf sahaja.

Itulah fenomena yang berlaku pada setiap kali bulan Ramadan apatah lagi pada minggu akhir Ramadan.

Persoalannya, ke manakah perginya mereka ini yang pada awalnya menjadi jemaah masjid yang setia? Ternyata, agak ramai yang memanfaatkan saat akhir ramadhan ini untuk mengimarahkan pusat-pusat membeli belah bimbang takut terlepas jualan murah, maklumlah raya semuanya mesti baru.

Sepuluh malam terakhir merupakan masa paling sibuk dan kemuncak bagi kebanyakkan kita membuat persiapan menjelang hari raya.

Kaum ibu di rumah pula sibuk menyiapkan biskut raya dan berkira-kira perabot mana yang perlu ditukar, langsir warna apa yang perlu dibeli, pendek kata dari luar rumah sampailah ke bilik air semuanya mesti ditukar dengan yang baru.

Tradisi serba baru ini sudah menjalar dalam kehidupan masyarakat kita telah sekian lama. Agak sukar untuk kita mengubah sesuatu yang telah sebati dalam hidup masyarakat. Hakikatnya, masyarakat perlu memahami bahawa menyambut Aidilfitri tidak semestinya semua perlu ditukar menjadi baru.

Cukuplah sekadar membeli baju sepasang dua sahaja dan berbelanja mengikut kemampuan kita. Apa yang mendukacitakan jika ada di antara kita yang sanggup berhutang,bergolok bergadai dan yang amat merisaukan jika ada yang mengambil jalan mudah bersahabat dengan 'ah long' demi untuk memastikan kelengkapan baru hari raya menjadi kenyataan.

Terdapat juga sebilangan daripada kita yang kononnya membuat perkiraan munasabah dengan mengambil ansuran mudah. Walaupun kelihatan mudah untuk dibayar secara ansuran tetapi secara ansur-ansur akan menjadi beban terutamanya selepas hari raya.

Pada saat-saat akhir ini kita akan diuji dengan pelbagai ujian untuk melonjakkan lagi nafsu agar kita berbelanja. Nafsu berbelanja ini akan bertambah dengan pujukan daripada iklan-iklan dan ianya semakin bergelora apabila melihat rakan-rakan Facebook bercerita tentang persiapan hari raya masing-masing.

Ternyata ramai yang tewas dengan pujukan tersebut, namun dalam soal ini kita janganlah mengukur baju mengikut saiz rakan-rakan Facebook, sebaliknya ukurlah mengikut saiz badan sendiri.

Kita dituntut agar berbelanja mengikut kemampuan kita, Rasulullah s.a.w menggalakkan umatnya untuk berpakaian baru dan cantik pada hari raya tetapi tidaklah sampai sehingga melakukan pembaziran dan berhutang. Ini selaras dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada perintah tuhannya."(Surah al-Isra',ayat 27).

Ramai di antara kita tidak menyedari bahawa Ramadan sebenarnya mengajar dan mendidik kita untuk mengawal nafsu,termasuklah nafsu makan, nafsu berbelanja dan juga nafsu yang menjurus kepada pembaziran. Kita masih lagi dibelenggu fahaman salah dalam menyambut Aidilfitri dengan menganggap hari raya hanya datang setahun sekali maka kita perlu berbelanja apa sahaja asalkan semuanya mesti baru.

Jangan sampai dek kerana semuanya ingin baru, ramai pula yang merana selepas Aidilfitri berlalu. Islam itu sendiri tidak menggalakkan umatnya membazir dan berlebihan-lebihan malahan kesederhanaan amatlah dituntut.

Dalam mengharungi saat-saat akhir bulan yang penuh keberkatan ini, janganlah kita lupa kepada mereka yang kurang berkemampuan bahkan kita digalakkan bersedekah kerana kekayaan dan kesenangan bukanlah milik kita tetapi kurniaan daripada Allah s.w.t.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perlis


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Tradisi serba baru, elak sampai makan diri"

Catat Ulasan