Bermula semalam 16 Jun 2011, Majlis Raja-Raja bermesyuarat buat kali ke-224. Mungkin bagi kita, rakyat biasa terlepas pandang akan peri pentingnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja ini. Sedar atau tidak, angka ke-224 itu sebenarnya memberikan satu pengertian tinggi, kepada kita warga Malaysia betapa pentingnya Majlis Raja-Raja perlu bermesyuarat yang lazimnya diadakan tiga kali dalam tempoh setahun. Kepentingan dan impaknya kepada setiap dari kita yang bernaung di bawah prinsip Raja Berperlembagaan ini, perlu dihayati semua supaya kita sedar maksud tersirat di dalam salah satu prinsip Rukun Negara kita iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Kita mulai dengan menyorot kembali langkah bermulanya dan mengapa wujudnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja ini. Walaupun timbul polemik mengenai asal wujudnya mesyuarat Majlis Raja-Raja ini, satu perkara yang penting kepada kita semua ialah, di sinilah bermulanya permuafakatan di antara semua Raja-Raja Melayu yang memegang amanah orang-orang Melayu dengan hasrat menyatupadukan dan mempertahan hak dan kedaulatan orang-orang Melayu malah menyuarakannya kepada pihak British ketika itu. Tanggal 13 Julai 1897, adalah tarikh perjumpaan pertama yang hanya melibatkan raja-raja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu. Perjumpaan ini diadakan di Istana Negara, Kuala Kangsar, Perak. Meskipun ketika itu Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ini dipanggil ‘Durbar’, yang diambil daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar membawa maksud istana raja), ia juga membawa maksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh raja negeri berkenaan, ataupun Gabenor atau Wizurai British di India. Apa jua maksudnya, matlamat dan hasil kesan dari Durbar itu, membawa seterusnya kepada pembentukan negara kita Malaysia.
Durbar pertama berlangsung selama empat hari dan dihadiri oleh Sultan Idris Murshidul’adzam Shah dari Perak, Sultan Ahmad dari Pahang, Sultan Abdul Samad dari Selangor dan Yamtuan Besar Muhammad dari Negeri Sembilan. Manakala pihak British pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen British di Pahang), J.P. Rodger (Residen British di Selangor) dan W.H. Treacher (Residen British di Perak). Negeri Sembilan tidak mempunyai wakil dari pihak British kerana Residen ketika itu, Martin Lister meninggal dunia pada bulan Februari 1897. Walaupun perkara-perkara yang dibincangkan dalam Durbar yang pertama itu hanya melibatkan agama Islam, adat istiadat dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan orang Melayu, namun ianya merupakan titik tolak dan asas bermulanya persidangan Majlis Raja-Raja. Untuk makluman, gambar sultan-sultan, pembesar-pembesar negeri dan pegawai-pegawai British yang menghadiri Durbar pertama serta minit mesyuarat Durbar pertama disimpan sebagai khazanah eksklusif negara dan terbuka untuk rujukan semua di Arkib Negara Malaysia.
Durbar kedua diadakan pada tahun 1903 di Kuala Lumpur dan satu perkara penting yang timbul dalam Durbar kedua ini ialah keberanian Sultan Idris menyuarakan dan menggesa pihak British agar lebih ramai orang Melayu dilantik untuk berkhidmat dengan kerajaan dan mereka ini dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Betapa jauh pandangan Sultan Idris yang meminta supaya pentadbiran Tanah Melayu ketika itu, turut dikongsi oleh anak bangsanya sendiri, menjelaskan pelaksanaan amanah oleh Majlis Raja-Raja bagi pihak orang-orang Melayu ketika itu.
Wajar diingati, kesan dari Durbar juga memperlihatkan peranan Raja-Raja sebagai pelindung dan penjaga hak dan kedaulatan orang Melayu ketika itu. Dari Durbar jugalah idea, cadangan dan suara-suara bangsa bagi mempertingkatkan taraf hidup dan status ekonomi bangsa Melayu diutarakan. Idea asal penubuhan Askar Melayu Diraja dan Kolej Melayu Kuala Kangsar juga bermula dari sini. Selain itu, penekanan soal agama Islam dan bahasa Melayu turut diperjuangkan oleh Raja-Raja Melayu di ruang yang ada dalam Durbar ini.
Masa berlalu, tanggungjawab dan kehendak perlu selaras dengan peredaran zaman. Maka, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu yang pertama diadakan pada 31 Ogos hingga 1 September 1948. Mesyuarat ini buat kali pertama dihadiri oleh semua sembilan orang Raja-Raja Melayu. Ketika rakyat Tanah Melayu menentang penubuhan Malayan Union, Raja-Raja Melayu turut bangkit bersama bagi memastikan idea penjajah ini tidak menjadi kenyataan. Selepas perit getir dalam perjuangan menuntut kemerdekaan ditempuhi, tanggal 5 Ogos 1957, termeterailah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1957 yang dibuat antara Kerajaan British yang diwakili oleh Sir Donald Charles MacGillivray bagi pihak Baginda Queen Elizabeth II dengan raja-raja Melayu, Undang-undang dan Orang-orang Besar Negeri Sembilan. Dengan termaktubnya perjanjian ini, maka pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu diberi kemerdekaan. Namun, bukan sekadar perjanjian yang terpahat dalam lipatan sejarah pada tarikh keramat itu, satu perkara yang perlu diingati semua rakyat Malaysia ialah bersama perjanjian tersebut, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu turut diperkenan oleh kesemua Raja-Raja Melayu untuk dijadikan asas urus tadbir negara.
Dalam mendepani tahun-tahun mendatang yang penuh cabaran, Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan raja-raja Melayu (Kedah, Pahang, Kelantan, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu) dan Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri (Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Melaka), fungsi dan tanggungjawabnya tetap dilaksanakan demi amanah yang diberikan sepertimana harapan rakyat Malaysia. Secara umum, fungsi Majlis Raja-raja antara lain, memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan; mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan; mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja; melantik anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42 dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkannya patut.
Satu perkara menarik yang perlu diketahui umum, hanya Majlis Raja-Raja di Malaysia inilah satu-satunya yang wujud di dunia pada masa kini, di mana pemuafakatan di antara Raja-Raja Melayu serta pihak kerajaan yang dipilih melalui prinsip demokrasi berparlimen dapat bermuafakat demi memastikan negara kita Malaysia sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan makmur. Majlis Raja-Raja juga merupakan kaedah semak dan imbang kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selain memberi nasihat dan pandangan dari semasa ke semasa dan ini membuktikan jalinan muhibah antara semua Raja-Raja Melayu erat ibarat satu keluarga.
Sesungguhnya, kita tidak akan sedar betapa berharga tradisi Majlis Raja-Raja yang kita warisi ini hinggalah kita kehilangannya. Sukar dibayangkan jika di saat tradisi yang perlu dipertahankan ini, hilang, maka ketika itu sudah terlewat untuk kita melakukan sesuatu. Majlis Raja-Raja yang telah sekian lama mempertahankan hak dan kedaulatan orang-orang Melayu, malah tidak mengenepikan hak kaum lain, wajar disanjung dan dipertahankan bersama. Janganlah antara kita berbalah dengan mempertikaikan fungsi dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh Majlis Raja-Raja ini, sebaliknya kita renung kembali semua jasa dan amanah yang telah dilaksanakan selama ini dimana hasilnya, hendaklah kita syukuri. Kini, tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia ialah memberikan kesetiaan kepada raja dan negara sepertimana ikrar kita semua dalam prinsip Rukun Negara yang kedua.
Mohd Saufi bin Samsudin
Seksyen Penyelidikan Khas Negara
Arkib Negara Malaysia
saufi@arkib.gov.my
0 ulasan: on "Majlis Raja-Raja : Penaung dan Lambang Kedaulatan Institusi Diraja"
Catat Ulasan