|
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan strategi laut biru berlandaskan konsep inovasi yang diamalkan ketika ini memastikan ATM boleh berkhidmat dalam sebarang bentuk keadaan sama ada perang mahupun aman.
Beliau berkata, dalam tempoh kurang enam bulan, Kementerian telah berjaya menembusi kejumudan dan tanggapan orang ramai mengenai pretasi dan kemampuan ATM untuk berkhidmat dengan lebih baik sehingga mampu memenangi Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2010.
"Oleh itu, pencapaian ini bukan sesuatu kebanggaan sebaliknya ia merupakan suatu kesyukuran bagi kita untuk menjadikannya suatu tapak untuk bergerak ke langkah-langkah yang seterusnya.
"Dengan harapan tidak mahu riak dan takabbur, mudah-mudahan Allah akan memberi petunjuk kepada kita supaya pelbagai kejayaan lain akan dapat digapai selanjutnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Dataran Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Ismail Ahmad; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
Ahmad Zahid dalam pada itu mengingatkan warga Kementerian Pertahanan supaya tidak rasa terhina dengan tohmahan masyarakat serta tidak berasa rendah diri dengan tugas yang mereka lakukan.
Sebaliknya kata beliau, mereka perlu membuktikan bahawa tentera boleh bersama dengan rakyat dan masyarakat akar umbi dalam melakukan pertahanan menyeluruh terhadap mereka.
"Sebenarnya, kita telah dapat melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain namun perlu saya tekankan bahawa kita tidak harus berasa bangga sebaliknya bersyukur dan menjauhi rasa riak dengan kemampuan yang kita miliki," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid mahu warga Kementerian Pertahanan supaya menjadikan Program Transformasi Kerajaan (GTP) sebagai panduan bagi mereka melunaskan tanggungjawab kepada negara.
Tambah beliau, mereka perlu melakukan beberapa tindakan yang dapat membantu kerajaan dan pada masa yang sama memastikan Kementerian Pertahanan berada di barisan hadapan dalam menentukan pelaksanaan GTP.
0 ulasan: on "Tanggapan ATM goyang kaki salah - Zahid Hamidi"
Catat Ulasan