IMAM Nawawi atau nama sebenarnya Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syirfu al Nawawi lahir di Nawa, sebuah wilayah di Damsyik, Syam (Syria) pada bulan Muharam 631 Hijrah.
Beliau berkebolehan menghafaz al-Quran sejak kecil. Pada tahun 649 Hijrah, ketika berusia dalam lingkungan 19 tahun, beliau telah pergi ke kota Damsyik untuk mendalami ilmu di Madrasah al-Ruwahiyyah atas tanggungan madrasah itu sendiri.
Beliau banyak menghasilkan kitab dan antara yang terkenal ialah Syarah Sahih Muslim, Riyadhus Salihin, Al-Adhkar, Al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, Al-Irsyad wa al-Taqrib fi 'Ulum al-Hadith, Al-Aidah fi Manasik al-Hajj, Syarah Muhazzab, Al-Raudhah, Tahdhib al-Asma' wa al-Lughat, al-Minhaj dan Matan al-Arbain.
Antara kitabnya yang begitu popular dalam pengajian ilmu ialah Matan al-Arbain (hadis 40), Riyadhus Salihin, Syarah Sahih Muslim dan Al-Adhkar.
Kehidupan beliau dihabiskan dengan bakti dan berkhidmat terhadap penyebaran dan perkembangan ilmu pengetahuan Islam. Makan minumnya hanya sekali dalam sehari, sekadar memelihara kesihatan badan.
Beliau juga tidak menghiraukan akan soal pemakaian dan perhiasan. Cukup ada yang ada sahaja selain tidak gemar buah-buahan kerana khuatir akan mengantuk yang akan mengganggu tugas sehariannya.
Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa keengganan beliau untuk makan buah-buahan di Damsyik itu bukan hanya khuatir akan mengantuk tetapi kerana buah-buahan di Damsyik pada waktu itu dikatakan terlalu banyak mengandungi unsur syubhat.
Beliau seorang yang bertakwa dalam erti kata sebenarnya terkenal dengan kewarakan dan kebersihan jiwanya.
Selain itu Imam Nawawi adalah seorang ulama yang suka menerima kehadiran tetamu atau sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan nasihat atau pandangan terhadap sesuatu masalah.
Sepanjang hayatnya, beliau sentiasa beristiqamah dalam menjalankan kewajipan menyebarkan ilmu dengan mengajar dan mengarang di samping senantiasa beribadat di tengah-tengah suasana hidup yang serba kekurangan, sehingga hidupnya hanya dilingkungi oleh usaha dan amal soleh terhadap agama, ummah dan masyarakat seluruhnya.
Beliau pernah diusir keluar dari negeri Syam oleh Sultan Al-Malik al-Zahir yang tidak senang akan fatwa yang dikeluarkan.
Beliau bukanlah seorang ulama yang mencari kebenaran untuk dirinya sahaja, bahkan mencari kebenaran untuk masyarakat keseluruhannya.
Sepanjang hayatnya, beliau yang tidak beristeri banyak menulis, mengarang, mengajar dan memberi nasihat. Inilah yang telah mengangkat ketinggian peribadinya.
Menurut riwayat, apabila baginda Sultan Al-Malik al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tartar (Mongol) lalu digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh.
Ulama fiqh negeri Syam telah menulis dan menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda belum merasa senang atau puas hati jika Imam Nawawi tidak memberikan fatwanya.
Lalu baginda bertitah: "Masih adakah lagi orang lain? "
"Masih ada, al-Syaikh Muhyiddin al-Nawawi," demikian jawapan yang disampaikan kepada baginda.
Kemudian baginda menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberikan fatwanya bersama ulama fiqh mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan. Beliau berterus terang tidak mahu memberikan fatwanya.
Baginda bertanya: "Apakah sebabnya kamu enggan?"
Lalu beliau berkata: "Ampun Tuanku, adalah patik sememangnya mengetahui dengan bahawasanya tuanku adalah dahulunya seorang tawanan, tidak ada sebarang harta benda. Tetapi pertolongan Allah telah dilimpahkan kepada tuanku dengan dijadikan tuanku seorang raja.
"Ampun Tuanku, patik telah mendengar bahawasanya tuanku memiliki 1,000 orang hamba, tiap-tiap seorang mempunyai beberapa ketul emas. Manakala 200 orang khadam wanita milik tuanku masing-masing mempunyai perhiasan yang bernilai.
"Andai kata tuanku sendirian membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka patik bersedia memberi fatwa membenarkan tuanku mengambil harta rakyat."
Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak membenarkan raja mengambil harta rakyat selagi kekayaannya sendiri masih dapat dipergunakan. Baginda Al-Malik al-Zahir murka lalu mengeluarkan perintah supaya beliau segera keluar dari Damsyik.
Imam Nawawi menerima perintah pengusirannya itu dengan tenang. Lalu beliau pun keluar ke Nawa. Para ulama Syam telah berusaha menjemput beliau kembali ke Damsyik.
Tetapi beliau enggan dengan berkata: "Saya tidak akan balik ke Damsyik selagi baginda masih berkuasa."
Imam Nawawi meninggal dunia pada 24 Rejab 676 Hijrah dan dimakamkan di Nawa.
0 ulasan: on "Ketokohan Imam Nawawi"
Catat Ulasan