PROGRAM PELUPUSAN ABU AL-QURAN PERINGKAT NEGERI PAHANG
DI TAMBATAN PANGKALAN KUANTAN (TPK)
KUANTAN,
4 Okt – Al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang merupakan wahyu
diturunkan oleh Allah S.W.T secara berperingkat-peringkat selama 23
tahun kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril.
Islam sebagai agama rasmi di Malaysia telah meletakkan kedudukan
Al-Quran di tahap tertinggi serta dihormati. Salah satu inisiatif
kerajaan adalah dengan mewujudkan Akta Percetakan Teks Al-Quran (APTQ)
1986 yang melindungi percetakan Al-Quran dari sebarang kesalahan dan
kesilapan serta ketidakpatuhan terhadap prosedur pelupusan sisa atau
bahan yang mengandungi ayat-ayat suci Al-Quran. Oleh yang demikian,
pihak Jabatan Mufti Negeri Pahang (JMNP) dan Bahagian Kawalan Penerbitan
dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) Cawangan Negeri Pahang
dengan bantuan beberapa agensi kerajaan telah menganjurkan program
pelupusan abu Al-Quran peringkat Negeri Pahang dalam usaha memberi
kesedaran kepada masyarakat khususnya di negeri ini. Antara
agensi-agensi yang terlibat adalah TLDM, APMM, PDRM, JAS Pahang, JAIP,
MUIP, Jabatan Laut Wilayah Timur, MPK, Jabatan Penyiaran Pahang dan
wakil-wakil media.
Program
ini diadakan di TPK dengan dihadiri oleh Pengarah Kementerian Dalam
Negeri Cawangan Pahang, Mufti Negeri Pahang, Panglima Wilayah Laut 1 dan
pegawai-pegawai dari agensi terlibat yang dianggarkan seramai 140
orang. Para hadirin berkumpul seawal jam 8.30 pagi di Jeti Operasi TPK
bagi mendengar taklimat keselamatan diikuti dengan laungan azan
dikumandangkan oleh Kapten Ustaz Mohd Hilmi bin Tumpang dan bacaan doa
sebelum pelayaran. Abu Al-Quran yang dianggarkan sejumlah 2 tan dibawa
dengan kapal jenis Peronda Generasi Baru milik Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM), KD PAHANG ke kawasan pelupusan pada jarak 7 batu
nautika dari TPK untuk proses pelupusan di laut. Sidang media telah
diadakan sejurus upacara pelupusan selesai dilaksanakan dan seterusnya
para tetamu serta rombongan telah berpeluang merasai pengalaman makan
tengahari di atas kapal dengan pelbagai hidangan yang disediakan. Kapal
seterusnya tiba di TPK pada jam 1230H.
Program
ini dilihat telah mencapai objektifnya iaitu menjaga dan melindungi
kesucian kitab suci Al-Quran, memberi kesedaran kepada masyarakat
terhadap kepentingan pelupusan abu Al-Quran yang mengikut prosedur dan
mengukuhkan kerjasama antara agensi-agensi terlibat dalam usaha
memartabatkan agama Islam. MAWILLA 1 berasa sangat bersyukur dan
berbangga kerana dapat memberi sumbangan yang amat besar dalam menjamin
kelancaran program ini. Program dan inisiatif seperti ini wajar
diteruskan di masa hadapan selain menjadi contoh kepada agensi-agensi di
negeri-negeri lain di Malaysia.
Rujukan 051012/06
Sumber : Perhubungan Awam Markas wilayah Laut 1
Sumber : Perhubungan Awam Markas wilayah Laut 1
0 ulasan: on "TLDM : Program pelupusan abu Al-Quran"
Catat Ulasan