PORT DICKSON 9 Okt. - Kemasukan perajurit muda dalam Tentera Darat akan ditambah pada pengambilan akan datang bagi membolehkan lebih ramai generasi muda menyertai pasukan keselamatan itu.
Panglimanya, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Pertahanan dan sekiranya ia dilaksanakan, 3,200 perajurit muda akan menjalani latihan asas dalam tempoh setahun.
"Apa yang dapat kita lihat pengambilan perajurit muda pada tahun ini agak kurang memandangkan kekangan kewangan. Tetapi tahun hadapan kita buat pengambilan secara maksimum.
"Kita akan berusaha memberi keutamaan kepada anak-anak muda yang ketinggalan dalam pengambilan perajurit muda pada tahun ini. Jadi kita lipat gandakan pengambilan.
"Bagaimanapun ia bergantung kepada faktor kewangan yang kita peroleh untuk melaksanakannya," katanya.
Zulkifeli ditemui selepas menghadiri Upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Pengambilan 168/10 Lelaki dan 30/10 Wanita di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Hasbullah Nawawi; Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Abdul Rahim Mohd. Yusuff serta Komandan Pusasda, Kolonel Mhd. Nazri Abd. Rahman.
Seramai 824 perajurit muda lelaki dan wanita berjaya menamatkan latihan selama enam bulan di Pusasda sejak April lalu.
Pada upacara berkenaan, Zulkifeli turut menyampaikan hadiah kepada Muhamad Nazrin Sulaiman, 19 dari Setiawan, Perak yang dinobatkan sebagai Perajurit Muda Terbaik Keseluruhan.
0 ulasan: on "Pengambilan tentera darat ditambah"
Catat Ulasan