Yang di-Pertuan Agong gembira dapat terbang dengan Sukhoi
SERI PADUKA menunjukkan tanda bagus sebelum berlepas.
Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Abdul Rahman Abbas, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Jen. Azizan Ariffin dan Jen. Rodzali Daud (kiri) sebelum baginda menaiki pesawat Sukhoi SU-30 MKM di pangkalan TUDM, Butterworth, semalam. - BERNAMA
BUTTERWORTH - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin melakar sejarah menjadi raja pertama di dunia terbang dengan pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini semalam.
Seri Paduka dibawa terbang oleh Pegawai Pemerintah 11 Skuadron Sukhoi, Kolonel Mohd. Asghar Khan Goriman Khan selama 50 minit.
Ia adalah acara kemuncak sempena lawatan Tuanku Mizan ke Pangkalan Udara TUDM di sini.
Sebelum berlepas tepat pukul 10.40 pagi, Seri Paduka berkenan mendengar taklimat daripada Pegawai Laskar 11 Skuadron Sukhoi, Leftenan Kolonel Abdul Halim Osman selama kira-kira 15 minit.
Terbang dengan kelajuan supersonik, Seri Paduka dibawa terbang melalui ruang udara Butterworth sehingga ke Pulau Langkawi, Kedah pada ketinggian 4.57 kilometer dari muka bumi.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, sejurus selamat mendarat, Tuanku Mizan bertitah yang baginda berasa gembira dan teruja dapat merasai pengalaman tersebut.
BUTTERWORTH 7 Feb. - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini dibawa menaiki jet pejuang Sukhoi SU-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena lawatan Seri Paduka Baginda ke Pangkalan Udara TUDM di sini.
Ia merupakan peristiwa bersejarah kerana Tuanku Mizan merupakan ketua negara pertama yang menaiki pesawat Sukhoi yang dibawakan khas dari Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu.
Pesawat yang membawa Seri Paduka itu bertolak kira-kira pukul 10.40 pagi dan mengambil masa 45 minit mengelilingi ruang udara Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang pada kelajuan supersonik.
Jet itu dipandu Pegawai Memerintah 11 Skuadron, Kolonel Mohd. Asghar Khan Gauriman Khan dengan diiringi sebuah lagi pesawat pejuang TUDM jenis FA/18D Hornet.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, Seri Paduka begitu teruja dapat merasai pengalaman bersama menerbangkan pesawat tempur itu selain menyertai Kelab Supersonic TUDM.
''Ketika sesi taklimat sebelum penerbangan juga, Seri Paduka begitu gembira untuk terbang dan menunjukkan kepada rakyat jelata keupayaan pesawat Sukhoi untuk terbang dan beroperasi dengan baik," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Malah, katanya, Tuanku Mizan juga menunjukkan rasa gembira apabila selamat mendarat dan bertitah mahu mencuba penerbangan lain selepas ini.
Sementara itu, Mohd. Asghar Khan berkata, beliau berbangga kerana terpilih untuk menerbangkan Seri Paduka dan bersyukur apabila penerbangan itu berjalan dengan baik.
Menurutnya, beliau membawa Seri Paduka terbang pada ketinggian 15,000 kaki dengan kelajuan maksimum ke Pulau Langkawi sebelum turun ke paras 200 kaki bagi membolehkan Seri Paduka menikmati pemandangan di sekitar pulau legenda itu.
''Saya juga membawa Seri Paduka ke Pulau Pinang dan terbang di sebelah bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Jambatan Pulau Pinang'' katanya.
Terdahulu itu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di pangkalan itu disambut Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Rodzali.
Sebaik tiba, Tuanku Mizan memeriksa kawalan kehormatan utama sebelum diberi taklimat mengenai pesawat Sukhoi SU-30MKM oleh Rodzali.
0 ulasan: on "Tuanku Mizan sertai penerbangan Sukhoi SU-30MKM"
Catat Ulasan