Fitrah seorang wanita hanya boleh menyayangi seorang lelaki hingga tahap rela menyerahkan `mahkota' dirinya kepada lelaki itu tetapi jika sebaliknya, ia mengalami masalah jiwa rosak dan perlu dibantu segera oleh segenap lapisan masyarakat tanpa prejudis.
Penceramah terkemuka, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata perbuatan wanita yang sanggup merelakan dirinya melakukan seks dengan sebarang lelaki atau ramai lelaki menunjukkan tindakan luar fitrah, sekali gus membuktikan dia mengalami masalah jiwa yang memerlukan bantuan.
Beliau berkata, secara fitrahnya, seseorang wanita hanya rela melakukan hubungan seks dengan seorang saja lelaki yang sangat disayanginya dan selalunya ia suaminya, bukan sekadar untuk berseronok tetapi bertujuan menzahirkan rasa cinta yang ada dalam hati kepada lelaki berkenaan.
"Tetapi ada kemungkinan seseorang wanita sanggup melakukan hubungan seks dengan lelaki lain disebabkan sudah hilang rasa cinta terhadap suami yang zalim, tidak bertanggungjawab hingga menyebabkannya menagih kasih orang lain," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau merujuk kepada laporan Harian Metro Sabtu lalu mengenai seorang wanita yang mengaku pernah diperkosa bergilir-gilir sekumpulan 15 lelaki pada tujuh tahun lalu, mendakwa kini ketagih seks dengan menjadikan suami orang sebagai sasaran memuaskan nafsunya.
Lebih mengejutkan, wanita kemaruk seks itu hanya memburu suami orang yang gemar `makan luar' untuk mencurahkan perasaan dan mendapatkan belaian kasih sayang sebelum meninggalkan `mangsanya' selepas apa dihajati tercapai. Dr Mohd Fadzilah berkata, masyarakat secara amnya dan keluarga secara khusus perlu menghulurkan bantuan termasuk sokongan dari segi psikologi kerana wanita seperti itu dalam kategori `sakit' secara rohaniah dan mereka perlu diberi bimbingan langkah demi langkah supaya dapat kembali ke pangkal jalan.
"Kita perlu mencari punca masalah terlebih dulu dan berikan apa yang kekurangan contohnya belaian kasih sayang kemudian membimbingnya dengan cara mengajaknya menunaikan solat, sembahyang taubat dan mendengar tazkirah.
"Masyarakat perlu benci perbuatannya tetapi jangan membenci atau menghinanya dan bawalah dia ke pangkal jalan dengan membimbingnya dan memujuk secara kaunseling," katanya.
Beliau berkata, tiga pendekatan boleh diambil bagi menangani masalah jiwa rosak di kalangan wanita sedemikian iaitu merawat mereka yang sudah terjebak, mencegah sebelum mereka sempat terbabit dalam kancah maksiat dan mencegah daripada awal perkara maksiat terus berlaku.
Katanya, cara terbaik menangani perbuatan maksiat yang makin menjadi-jadi di kalangan umat Islam ialah kembali semula kepada ajaran Islam iaitu mengukuhkan asas agama yang rapuh sebelum ini dengan cara menjaga ibadat solat.
0 ulasan: on "Sayang jer serah mahkota, jiwa rosak namanya"
Catat Ulasan