Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Rabu, 27 April 2011

Krisis keturunan, pewarisan

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

DALAM pembinaan masyarakat dan negara, institusi keluarga sangat penting. Dalam Islam, ia bukan sahaja terbatas sebagai penerus keturunan, malah merupakan struktur asas bagi keseluruhan sistem sosial dan kebudayaan.

Firman Allah SWT: Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan mu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu. (an-Nisa': 1)

Berdasarkan ayat tersebut, jelas institusi keluarga amat penting dalam pembentukan watak dan peribadi setiap anggotanya.

Ia mengekalkan kehidupan manusia dan kebudayaan, meneruskan peranan manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi serta sebagai sumber modal insan yang berguna pada umat, bangsa dan negara pada masa depan.

Krisis keturunan

Justeru, pembinaan institusi keluarga bukanlah sesuatu boleh dianggap enteng dalam kesibukan kita mengejar kekayaan dunia.

Terdapat kecenderungan pada manusia hari ini untuk tidak percaya kepada institusi kekeluargaan kerana menganggap ia menyusahkan disebabkan terikat dengan komitmen yang banyak. Sememangnya perubahan zaman sedikit sebanyak menjejaskan pembentukan institusi keluarga.

Manusia menjadi lebih sibuk untuk menyara diri dan keluarga, menjadi punca mengapa institusi kekeluargaan semakin mengecil.

Statistik kesuburan wanita dan kadar kelahiran di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) misalnya, menunjukkan penurunan daripada purata empat kelahiran setiap wanita pada 1960 kepada 2.1 kelahiran pada 2008.

Begitu juga dengan di negara maju lain seperti Jerman, Australia, Kanada, Hong Kong dan di negara-negara yang mempunyai kaedah perancangan keluarga yang lebih baik.

Malaysia juga tidak lari daripada masalah ini, iaitu dari purata tujuh kelahiran bagi setiap wanita pada 1960 kepada purata 2.56 kelahiran pada 2008.

Malah di negara-negara membangun dan miskin, kadar kesuburan wanita dijangka terus menurun. Namun ada juga yang menunjukkan peningkatan kesuburan. Contohnya, Israel iaitu purata 2.96 kelahiran setahun. (Dipetik dari World Bank, World Development Indicators 2010)

Sekiranya ini berlarutan dalam jangka panjang, kita akan menghadapi krisis genetik dan pewarisan. Pembinaan keluarga boleh menjadi suatu masalah besar pada masa akan datang.

Pada masa yang sama amalan berkeluarga besar semakin menghadapi masalah. Malah ia diburukkan pula dengan budaya lesbian dan gay yang semakin meningkat.

Semua ini memberi kesan kepada keturunan dan genetik pada masa akan datang.

Allah telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa supaya adanya lita'arafu yakni saling berkenalan (al-Hujurat: 13)

Allah juga memberi asas kisah sejarah yang sangat jelas seperti yang terjadi pada kaum Nabi Lut. Kisah kaum Nabi Lut adalah satu teladan tentang perbuatan manusia yang ingkar dan akhirnya Allah telah menghancurkan kaum ini. Bahkan kesannya dikatakan dapat dilihat secara jelas di Laut Mati.

Kerosakan akhlak yang terjadi dan percubaan manusia untuk mengubah hakikat dan fitrah manusia, akhirnya dibinasakan oleh Allah dengan bala yang dahsyat.

Tanpa kawalan

Krisis pewarisan yang terjadi pada hari ini juga adalah akibat corak pergaulan dan perhubungan bebas tanpa batasan. Ia menyumbang kepada penyakit sosial dan penyakit-penyakit seperti HIV/Aids yang tiada penawar.

Inilah yang terjadi sekiranya manusia cuba melanggar hukum alam yang telah Allah tetapkan.

Untuk mengatasinya, para saintis berusaha mencari jalan untuk mencari kaedah-kaedah saintifik untuk mengembangkan keluarga.

Tradisi saintifik memberi fokus kepada kajian genetik, teknik klon, bayi tabung uji berkembang sehingga terdapat kalangan gen artis-artis popular dijadikan sebagai bayi tabung uji tanpa ikatan perkahwinan.

Begitu juga dengan isu ibu tumpang, yang jelas menyalahi nasab dan keturunan seseorang.

Di Barat, institusi keluarga sedang bergelut dengan masalah ini kerana meningkatnya kelahiran tanpa nikah. Begitu juga di negara-negara membangun seperti Malaysia yang dibincangkan pada siri yang lalu.

Kajian saintifik untuk kebaikan tidak salah. Tetapi jika untuk mengubah fitrah yang Allah tetapkan dan mengikut nafsu hasilnya boleh membawa kesan lebih buruk. Apatah lagi jika dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan nafsu dan diri.

Kita tidak menafikan perubahan dalam masyarakat turut merubah struktur keluarga. Khususnya pada keluarga nukleus, ayah dan ibu adalah pemindah model daripada budaya genetik kepada anak-anak mereka.

Dalam masyarakat hari ini, ayah terus bekerja di luar rumah untuk menunjang anggota keluarganya.

Taraf hidup yang tinggi

Namun taraf hidup yang tinggi menyebabkan ibu juga berperanan mencari rezeki. Apatah lagi sekiranya ibu mempunyai pendidikan tinggi. Tugas ibu bapa menjana intelek anak menjadi lebih ringan dan dilepaskan pada pihak lain.

Ada anak-anak yang diabaikan dan membesar dalam kepincangan kasih sayang ibu bapa, lalu menjadi manusia yang kuat memberontak dan degil. Natijahnya bukanlah sesuatu yang baik dalam pembinaan peribadi seseorang manusia.

Bagaimana untuk mewujudkan masyarakat yang seimbang dan harmoni sekiranya institusi kekeluargaan tidak dibina secara baik?

Untuk mempunyai struktur kekeluargaan yang baik perlu ada pendidikan, pembentukan keperibadian, pembinaan nilai dan pengarahan ke arah ciri ciri keagamaan dan kebudayaan.

Tidak ada institusi lain yang dapat mengambil alih peranan institusi keluarga secara menyeluruh.

la diasaskan atas rasa tanggungjawab di kalangan setiap ahli.

Membentuk institusi keluarga yang seimbang dan berkualiti bukan sesuatu yang mudah, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil sekiranya dilakukan dengan komitmen yang penuh dan berterusan.

Institusi keluarga adalah tiang asas pembinaan masyarakat dan negara. Peranan keluarga dalam pembentukan seseorang adalah sangat penting bagi menjana modal insan yang lebih berjaya dan bermutu.

Malah, Islam memberi penekanan yang tinggi kepada pembinaan keluarga kerana setiap anggota keluarga mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap diri sendiri, sesama anggota lain dan masyarakat.

Sekiranya asas ini rosak akibat kelalaian manusia yang terlalu mengikut nafsu, maka akan berlaku kepincangan dalam membina sebuah negara bertamadun dan berjaya.
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Krisis keturunan, pewarisan"

Catat Ulasan