Daniel kesal ikut nafsu sehingga lupa keluarga yang setia menanti
Peluh dingin sudah pun membasahi baju Daniel (ditukar nama). Sejak dari malam tadi dia tidak dapat melelapkan mata kerana resah menantikan hari esok. Hari ini adalah hari penentuan, jantungnya semakin berdebar-debar. Tidak tahu apa akan terjadi. Tapi lebih tidak tahu lagi, bagaimana hendak sorok perkara itu. Esok lusa, pasti keluarga dan rakan-rakannya akan tahu.
Daniel cuba berjalan pantas, bagi mengelakkan bertembung dengan orang ramai yang ada di situ. Walaupun nafasnya tercungap-cungap kerana berjalan pantas, terasa tempat yang hendak dituju masih lagi jauh. Ketika kepalanya berserabut mencongak pelbagai perkara, akhirnya tiba juga dia di kamar yang akan menentukan nasibnya hari itu.
Sungguh, Daniel kesal apa yang sudah berlaku. Tetapi dia tidak mampu untuk membuat apa-apa lagi. Semuanya sudah terpalit hitam dan tidak mungkin dapat mengubah segala kesilapan yang telah dilakukan 10 bulan lalu.
Bagaimanapun, sumpah itulah kali pertama Daniel berbuat demikian. Entah macam mana silap, baru pertama hendak buat begitu Daniel sudah terperangkap dan akhirnya kesilapan itu jugalah yang mengheretnya ke Mahkamah Syariah hari itu.
Mengingatkan semula kejadian awal pagi itu, Daniel tiba-tiba diburu rasa bersalah pada isteri dan tiga orang anaknya. Sepatutnya, kepercayaan yang diberikan isteri dan anak-anaknya bekerja di luar tidak disalah gunakan. Sudah tiga tahun Daniel berulang alik dari utara ke selatan menguruskan perniagaannya. Selama tiga tahun itu sememangnya semua berjalan lancar. Lebih-lebih lagi, Daniel sentiasa mendapat nasihat Pak Hashim, pemandunya yang banyak menemaninya ketika berurusan di luar daerah.
Sejak Pak Hashim bersara, Daniel selain memandu sendirian sesekali ditemani rakan perniagaannya, Nathan. Sehinggalah suatu hari, Nathan mempelawa Daniel untuk menemaninya ke sebuah pusat hiburan, kononnya sebagai meraikan kejayaan mereka mendapat tender baru. Bagi Daniel, tidak salah rasanya menerima pelawaan itu apatah lagi segala kerja sudah pun selesai.
Bagaimanapun, meraikan kejayaan itu tidak setakat di pusat hiburan berkenaan. Nathan, kemudian mengajak Daniel pergi ke sebuah hotel katanya, di situ mereka akan lebih menikmati keseronokan. Mulanya, Daniel menolak, tetapi selepas dipujuk Nathan, timbul perasaan ingin mencuba sesuatu yang berbeza dalam hidupnya. Lalu, Daniel pun menuruti apa yang Nathan lakukan.
Seperti Nathan, tiba di hotel berkenaan Daniel pun ‘menempah’ seorang gadis muda awal 20-an. Tidak sukar, semuanya sudah disediakan dan apa perlu dilakukan Daniel ialah pilih saja yang berkenan di hati. Selepas berkira-kira, Daniel pun membawa gadis genit itu ke sebuah bilik yang sudah ditempahnya.
Belum pun 10 minit berlalu, tiba-tiba pintu bilik hotel yang ditempahnya diketuk dari luar bertalu-talu. Ketika itu barulah Daniel mulai sedar apa yang dilakukan adalah di luar batas seorang lelaki Islam.
Kesilapan itu akhirnya menyebabkan Daniel hari itu dihadapkan ke Mahkamah Syariah Shah Alam dengan tuduhan berkhalwat. Daniel dituduh melakukan kesalahan itu bersama wanita yang bukan muhrimnya mengikut Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.
Walaupun bersyukur dakwaan hanya membabitkan tuduhan khalwat dan bukannya melakukan zina, Daniel tetap menyesali kejadian itu yang mencalar maruah dirinya.
Selepas perbicaraan dilakukan, Hakim kemudian mensabitkan tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman denda RM1,300 atau dua bulan penjara. Daniel pada mulanya, mohon supaya kes itu ditangguhkan dengan alasan wanita yang ditangkap bersamanya tidak datang ke mahkamah. Namun, Mahkamah telah menolak rayuan Daniel untuk menangguhkan kes dengan alasan kes itu sudah terlalu lama dan tidak mahu ada kes bertangguh.
Daniel terpaksa akur dengan keputusan itu dan bagi mengelakkan diri daripada dipenjara, hukuman denda itu dibayarnya. Sebaik saja perbicaraan habis, Daniel tergesa-gesa meninggalkan kamar itu. Keresahannya tidak berakhir di situ, kini Daniel mula memikirkan bagaimana hendak berdepan dengan isteri dan anak serta keluarga mentuanya. Penjelasan apakah yang perlu diberikan kepada mereka kerana sememangnya Daniel sudah pun melakukan satu kesilapan sebagai suami, bapa dan juga umat Islam.
0 ulasan: on "Kisah Dari Mahkamah Syariah: Ditangkap khalwat di hotel"
Catat Ulasan