|
|
Tiada lafaz yang lebih bermakna selain alhamdulillah sebagai tanda bersyukur yang amat sangat ke hadrat ilahi yang memanjangkan usia kita sehingga dapat sekali lagi bertemu bulan Ramadan.
Antara perkara sunat yang semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada Ramadan adalah mengerjakan umrah. Manakan tidak, ganjaran pahala yang begitu besar menjadi tarikan kepada mereka yang berkemampuan.
Ia sebagai mana sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji. (riwayat Bukhari)
Justeru, tidak hairan saban tahun bilangan umat Islam di Malaysia yang menunaikan umrah pada bulan puasa semakin bertambah, biar pun kos perbelanjaan umrah dalam Ramadan lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain.
Di Masjidil Haram, kedatangan Ramadan disambut begitu meriah. Bagaikan pesta ibadat di mana setiap ruang dan inci masjid sentiasa dipenuhi mereka yang beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT.
Masyarakat Arab begitu menunggu-nunggu ketibaan Ramadan. Ini dibuktikan apabila Masjidil Haram padat dan sendat pada setiap kali solat fardu.
Ini satu fenomena positif bagi umat Islam Malaysia yang berada di Mekah pada Ramadan. Sebabnya, kita juga terpengaruh dengan budaya masyarakat Arab yang datang awal ke masjid dan kemudian beriktikaf sementara menunggu masuknya waktu solat.
Umumnya, untuk mendapat tempat yang selesa dalam ruang masjid, seseorang perlu bergerak ke sana sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu solat fardu.
Untuk solat Jumaat pula, kita perlu berada di Masjidil Haram sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu solat pada pukul 12.30 tengah hari. Namun, tiada yang merungut.
Bagi yang datang lewat, mereka reda 'dibakar' matahari sementara menunggu waktu solat. Sebabnya terpaksa berada di tingkat paling atas yang berbumbungkan langit atau berada di dataran putih.
Jika ingin melihat orang 'bertengkar' mendapatkan ruang dalam saf, inilah masanya. Semuanya kerana mereka menyedari ganjaran besar yang menanti bagi mereka yang solat di Masjidil Haram iaitu 100,000 berbanding di masjid lain.
Sebab itu, mereka yang terlewat akan cuba menyelit di ruang-ruang yang sempit. Asalkan 'celus' kepala untuk sujud sudah memadai. Di sini, teruji kesabaran para jemaah. Sama ada mahu memberi laluan atau ruang kepada saudara yang lewat datang atau berkeras 'mempertahankan ruang' yang ada.
Dalam keadaan sulit begitu, berkat doa, selalunya ada sahaja individu yang menawarkan tempat untuk solat. Demikianlah antara keajaiban dan kuasa Allah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya.
Tugas paling sukar adalah di kalangan anggota polis yang berada di sekeliling Masjidil Haram. Mereka perlu memastikan tiada laluan masuk ke masjid yang terhalang oleh para jemaah.
Namun, hal itu keadaan itu hanya boleh bertahan sebelum iqamat. Sejurus iqamat, hampir semua ruang dalam masjid dipenuhi jemaah daripada pelbagai pelosok dunia.
Selesai solat fardu, biasanya disusuli solat jenazah. Ini antara peluang menambah saham akhirat kerana sudahlah pahalanya 100,000, ia ditunaikan dalam bulan Ramadan.
Dalam hadis disebut bahawa pahala ibadat sunat diberi ganjaran ibadat fardu manakala ibadat fardu pula digandakan 70 kali. Demikian hebatnya bonus yang dijanjikan Allah kepada kita pada Ramadan.
Disebabkan ganjaran itu juga, ramai kalangan jemaah yang beriktikaf hampir setiap hari di masjid. Selepas solat fardu, mereka solat sunat diikuti dengan membaca al-Quran.
Selepas itu, mereka tidur sebentar. Bangun tidur, terus sambung membaca al-Quran dan solat sunat yang lain. Demikianlah rutin bagi 'para penghuni' Masjidil Haram sepanjang Ramadan.
Barangkali budaya tidur sekejap ini yang perlu dipraktikkan di negara kita. Hendaknya jangan pula pihak Ahli Jawatankuasa Masjid marah-marah atau 'mengusir' orang yang mahu tidur dan iktikaf.
Cuma individu yang mahu tidur itu pula perlu menjaga adab-adab dalam rumah Allah. Bak kata orang, janganlah pula sampai meleleh air liur basi di sejadah atau karpet masjid.
Sementara sebahagian besar umat Islam bertarawih, tidak kurang juga mereka yang bertawaf di Baitullah mengerjakan umrah.
Yang jelas, Kaabah tidak pernah sunyi daripada laungan talbiah labbaikallah humma labbaik....
Demikianlah hebatnya pesta ibadat di Masjidil Haram. Keadaannya persis tiada yang terlibat dalam perkara lagha seperti menonton program-program hiburan di televisyen.
0 ulasan: on "Tazkirah Ramadhan : Pesta ibadat di Masjidil Haram"
Catat Ulasan