MEKAH 5 Nov. – Operasi membawa jemaah haji Malaysia dari Mekah ke Arafah, kira-kira 21 kilometer dari sini, tamat pada kira-kira pukul 5 pagi ini (10 pagi waktu Malaysia), dan semua 28,000 jemaah haji sudah berada di Arafah untuk berwukuf hari ini.
Bagi ibadah wukuf, jemaah perlu berada di Arafah paling lewat tengah hari ini (zohor, pukul 12.05 waktu tempatan, 5.05 petang waktu Malaysia) dan kemudiannya berangkat ke Muzdalifah selepas waktu Maghrib untuk mengutip batu-batu kecil bagi tujuan melontar jamrah di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Pengarah Operasi Masyaer (operasi ibadah para jemaah di Arafah dan Mina), Shaharuddin Abu Bakar ketika ditemui kumpulan media Tabung Haji lewat petang semalam berkata, kira-kira 500 petugas Tabung Haji, termasuk pasukan kebajikan dan perubatan, sudah berada di Arafah bagi melicinkan pergerakan jemaah haji di Arafah.
Beliau berkata, operasi pergerakan dibahagikan kepada lima sektor dengan setiap sektor ditugaskan memantau bas-bas yang membawa jemaah haji dari Mekah ke Arafah.
"Pagi Sabtu, sektor Arafah mengambil alih pengurusan jemaah, dengan segala maklumat diselaraskan dengan Pusat Maklumat Operasi di Mekah,” katanya di sini.
Tahun ini dianggarkan 3 juta jemaah dari seluruh pelosok dunia menunaikan ibadah haji, dan lautan manusia berpakaian ihram atau bertelekung putih sudah membanjiri kawasan Arafah di sini, menanti penuh sabar waktu berwukuf tengah hari ini. – Bernama
0 ulasan: on "Jemaah haji Malaysia tiba di Arafah untuk berwukuf"
Catat Ulasan