MENGAMBIL kira permintaan yang tinggi dalam kalangan warga emas untuk menunaikan haji, Lembaga Tabung Haji (TH) memutuskan untuk tidak lagi membenarkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun turut serta untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Jurucakap TH ketika dihubungi Kosmo! memberitahu : "Prosedur baharu Tabung Haji menetapkan bahawa kanak-kanak yang berumur bawah 15 tahun ke bawah atau belum akil baligh tidak dibenarkan menunaikan haji.
"Hal ini dilakukan demi memberi peluang kepada warga emas yang kebanyakan sudah sekian lama menyimpan impian ke Tanah Suci Mekah.
"Berilah mereka ruang terlebih dulu, ada ramai lagi orang yang berumur hendak ke sana, lagipun kanak-kanak ada banyak masa lagi untuk ke rumah Allah itu."
Keputusan itu kata jurucakap itu mula dilaksanakan sejak tahun lalu.
Mengulas isu yang sama, pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah turut menyokong perubahan yang dilakukan oleh TH.
Beliau berhujah: "Kanak-kanak yang berumur bawah 15 tahun atau belum baligh tak patut tunai haji. Golongan itu harus memberi laluan kepada warga emas yang berkemampuan pergi terlebih dulu.
"Warga emas ini seperti yang kita tahu sering berdepan dengan masalah kesihatan, jika dilewat-lewatkan pemergian mereka, takut-takut akan cacatkan perjalanan mereka ke sana.
"Berilah kepada mereka yang berhak walaupun pada dasarnya golongan kanak-kanak berhajat."
Beliau juga gusar, umur yang masih mentah akan membuatkan kanak-kanak ini tidak dapat menjiwai sepenuhnya nilai haji itu sendiri.
Ibadah haji katanya, bukan sahaja menuntut persediaan material dan spritual, malah aspek fizikal juga perlu ditekankan. Justeru, setiap bakal jemaah haruslah memastikan diri mereka telah bersedia sepenuhnya untuk menunaikannya.
Mengulas isu kanak-kanak yang pernah menunaikan haji ke Baitullah, Mohd. Daud yang merupakan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, menyifatkan mereka adalah kelompok paling bertuah.
Haji jemputan
Mereka ini katanya, digelar sebagai haji jemputan. Namun, pada masa yang sama, kanak-kanak ini layak digelar haji dan hajah.
"Pendedahan awal ini boleh dijadikan sebagai satu pengalaman berharga dan motivasi kepada mereka untuk menunaikan rukun Islam itu sekali lagi nanti," jelasnya ketika dihubungi di Madinah baru-baru ini.
Tambah Mohd. Daud, kepada yang pernah menunaikan haji semasa kecil, mereka diwajibkan untuk pergi sekali lagi ke Baitullah setelah dewasa.
"Mereka yang pernah menunaikan haji ketika belum baligh wajib tunaikan haji sekali lagi jika ada kemampuan dan sihat tubuh badan," katanya.
Soal haji mabrur, ujar Mohd. Daud adalah pertimbangan Yang Maha Esa.
"Kita lihat kalau pelajar-pelajar tahfiz ke sana, mereka beribadat dan menghayatinya, mereka menganggap pemergian mereka adalah berkaitan dengan ukhrawi bukan duniawi lagi, maka insya-Allah ada pancaran mabrur," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Daud menyarankan ibu bapa yang berhasrat membawa anak mereka menunaikan haji bersama supaya menunaikan umrah terlebih dulu.
"Umrah tiada batasan umur, jadi apa kata pergi menunaikan umrah," ujarnya yang berkampung di Mekah dan Madinah selama lebih 40 hari pada musim haji kali ini.
Kuota jemaah
Pada tahun ini, rezeki menyebelahi jemaah negara ini. Malaysia memperoleh tambahan kuota jemaah sebanyak 2,000 daripada kerajaan Arab Saudi untuk membolehkan 28,000 jemaah negara ini menunaikan haji di tanah suci.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pertambahan kuota itu diberi berikutan populasi penduduk Malaysia yang kini mencapai 28 juta orang.
"Tambahan itu telah memberi kelegaan kepada ramai jemaah haji yang sebelum ini diletakkan dalam senarai menunggu sehingga memakan masa bertahun-tahun," katanya
Bagaimanapun, kadar untuk mengerjakan haji kekal pada harga RM9,980 seorang.
Beliau juga memberitahu, kerajaan Arab Saudi menyediakan kawasan penempatan jemaah haji yang lebih luas.
"Lebih banyak hotel empat dan lima bintang berdekatan Masjidil Haram dibina untuk menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah bagi memberi keselesaan kepada mereka untuk menunaikan rukun kelima itu," katanya. - MAZLINA ABDUL MAJID
0 ulasan: on "Umrah pilihan untuk si kecil"
Catat Ulasan