Keberanian Leftenan Adnan Saidi dan rakan yang bertempur bermati-matian adalah episod yang kekal dalam lipatan sejarah tanah air.
“Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata”, itulah kata-kata pembakar dan menyemarakkan lagi semangat juangnya supaya tidak gentar menghadapi Jepun, demi mempertahankan Tanah Melayu sehingga titisan darah terakhir.
Apakah perjuangan dan pengorbanan Leftenan Adnan menggadaikan nyawanya dalam usia 27 berbaloi?
Masih adakah anak bangsa pada hari ini, mahu mengikut jejak langkahnya. Pastinya, jika Leftenan Adnan dapat melihat Malaysia hari ini, Allahyarham pasti tidak menyesal mempertahankan negara dengan darahnya.
Keberanian Leftenan Adnan turut diakui General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya. Beliau mengatakan “Jika terdapat 10 Leftenan Adnan, pasti Malaya tak jatuh ke tangan Jepun”.
Iktibar dan pengajaran boleh peroleh dari kisah keberanian beliau adalah semangat cintakan negara hendaklah dengan sepenuh hati. Jika seluruh perajurit negara dan rakyat Malaysia mempunyai semangat seperti beliau, pastinya negara ini tidak mudah dijajah atau ditewaskan musuh. Rakyat Malaysia akan lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali menggadaikan maruah demi kepentingan diri sendiri.
Rakyat Malaysia tidak akan sanggup memperjudikan nasib negara untuk perjuangan yang tidak jelas dan merugikan.
Kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda, mereka perlu didedahkan dengan kekuatan sejarah agar tidak sesekali alpa dengan kemakmuran dikecap.
Mereka harus menjadikan semangat Leftenan Adnan sebagai pemangkin kepada perpaduan dan cintakan negara.
Terima kasih kepada pahlawan dahulu yang berjuang untuk mempertahankan negara.
Sama ada nama mereka tercatat atau tidak dalam lipatan sejarah, jasa mereka pasti tidak akan dipersia-siakan.
Sesukar mana pun pengorbanan mencapai kemerdekaan, lebih sukar lagi tanggungjawab mempertahankan negara.
Pada tanggal 14 Februari setiap tahun, akan diangkat sebagai tarikh memperingati gugurnya pejuang tanah air, Leftenan Adnan Saidi dan marilah kita hadiah sekalung doa bagi memastikan Malaysia bebas, aman dan merdeka, Al-Fatihah.
0 ulasan: on "Biar putih tulang, jangan putih mata"
Catat Ulasan