Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Isnin, 24 September 2012

ATM : Ucapan PAT Semasa Upacara Perbarisan Sempena Hari ATM Ke-79


TEKS UCAPAN PANGLIMA ANGKATAN TENTERA SEMASA UPACARA PERBARISAN
SEMPENA HARI ANGKATAN TENTERA MALAYSIA KE-79
DI PANGKALAN UDARA SUBANG
PADA 18 SEPTEMBER 2012

بسم الله الرحمن الرحيم

YANG BERBAHAGIA LAKSAMANA TAN SRI ABDUL AZIZ BIN HAJI JAAFAR, PANGLIMA TENTERA LAUT, DAN PUAN SRI SARAH BTE AB GHAFFAR,

YANG BERBAHAGIA JENERAL TAN SRI DATO’ SRI RODZALI BIN DAUD TUDM, PANGLIMA TENTERA UDARA, DAN PUAN SRI DATIN SRI ASNAH BTE DIN,

YANG BERBAHAGIA LEFTENAN JENERAL DATO’ SERI PANGLIMA HAJI AHMAD HASBULLAH BIN HAJI MOHD NAWAWI, MEWAKILI PANGLIMA TENTERA DARAT, DAN DATIN SERI HAJJAH NOOR AKMAR BTE YAACOB,

YANG BERBAHAGIA MANTAN PANGLIMA-PANGLIMA ANGKATAN TENTERA DAN ISTERI,

PARA PANGLIMA, PERWIRA, BINTARA, PERTANDA PERAJURIT DAN HADIRIN YANG SAYA KASIHI SEKALIAN,

ﻪﺘﺎﻜﺮﺒﻮﷲﺍﺔﻣﺣﺭﻮﻢﻜﻳﻟﻋﻡﻼﺴﻠﺍ

Salam Sejahtera Dan Salam 1 Malaysia.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat allah subhanahu wataala, serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihiwassalam. Berkat limpahan rahmatnya maka dapat kita bersama-sama pada pagi yang penuh bermakna ini di perbarisan bersempena dengan sambutan hari angkatan tentera malaysia ke-79.

Terlebih dahulu, saya dengan besar hatinya mengalu-alukan kehadiran dif-dif kehormat, terutamanya mantan-mantan panglima. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kesudian tan sri-tan sri melapangkan masa untuk bersama-sama kami meraikan acara sambutan ini. Sesungguhnya, kami amat menyanjung tinggi sokongan padu yang disumbangkan kepada angkatan tentera malaysia selama ini. Sesungguhnya, segala jasa bakti yang telah disumbang merupakan legasi yang menjadi landasan kepada pembangunan angkatan tentera. Selaku generasi pewaris, kami amat berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah mempelopori inisiatif ke arah pembangunan angkatan tentera malaysia ke tahap yang membanggakan ini. Justeru itu, saya bersama ketiga-tiga panglima perkhidmatan, darat, laut dan udara, akan terus komited untuk merealisasikan visi dan misi angkatan yang telah kukuh terencana di atas landasan yang dibina.

Para pahlawan dan hadirin yang saya kasihi sekalian,

Dalam kita menyambut hari yang penuh bermakna ini, marilah kita sama-sama mendoakan agar roh para pahlawan yang telah gugur dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan para syuhada. Kita juga turut mendoakan agar para balu, anggota yang tercedera dan hilang upaya serta keluarga mereka, akan sentiasa diberikan ketabahan dalam menempuhi kehidupan seharian. Sesungguhnya, segala pengorbanan dan khidmat bakti yang telah mereka curahkan sentiasa dikenang dan mendapat penghargaan tertinggi daripada negara. Justeru itu, marilah kita bertafakur sejenak bagi mengenangi jasa bakti mereka yang telah gugur. Bagi mereka yang beragama islam, sama-samalah kita sedekahkan al-fatihah, al-fatihah... Amin.

Para pahlawan dan hadirin yang saya kasihi sekalian,

Kita seharusnya bersyukur ke hadrat allah subhanahu wataala kerana negara yang tercinta ini sentiasa dilimpahi dengan rahmat keamanan dan kemakmuran. Sesungguhnya, nikmat yang kita kecapi ini adalah hasil daripada usaha gigih yang telah dicurahkan oleh pelbagai pihak, terutamanya komitmen jitu antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan angkatan tentera malysia, iaitu darat, laut dan udara. Pelbagai ancaman dan isu keselamatan telah dapat kita tangani secara profesional, berkesan dan penuh berhemah. Keberhasilannya ialah, usaha dan petunjuk yang konsisten angkatan tentera malaysia dalam menangani pelbagai cabaran, telah meneguhkan keyakinan kerajaan dan rakyat serta rakan-rakan global; bahawa malaysia mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi dari aspek keutuhan kekuatan dan integriti pertahanan. Ianya juga sesuai dengan tema sambutan tahun ini iaitu “komitmen kami, keyakinan anda”.

Namun begitu, jangan sekali-kali kita leka, dibuai dengan keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi kini, malah hendaklah kita sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal ditempuhi. Sesungguhnya, keamanan yang kita kecapi ini akan terjejas bilamana isu-isu tertentu tidak ditangani dengan bijaksana. Sebagai tunjang pertahanan negara, kita juga mesti sentiasa peka terhadap perkembangan geo-strategik serantau dan global.

Kita sedar bahawa kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran adalah penyumbang utama kepada keberhasilan agenda-agenda pembangunan nasional yang seterusnya memacu kestabilan dan kemajuan negara, yang akan membawa kesejahteraan kepada rakyat. Justeru itu, angkatan tentera malaysia akan terus kekal berdiri teguh bersama-sama kerajaan sebagai perisai negara dalam memastikan kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran bumi tercinta ini akan sentiasa terpelihara.

Sejajar dengan itu, angkatan tentera malaysia akan terus komited memberi keyakinan kepada semua pihak bahawa keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjamin. Demi untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memeliharai keyakinan kerajaan dan rakyat, maka agenda transformasi angkatan yang telah direncana ke arah mewujudkan angkatan objektif melalui Blueprint Pembangunan Strategik 4D MAF akan terus digerakkan dengan penuh kegigihan oleh semua lapisan pemerintahan dan pengurusan.

Sesungguhnya, pembangunan keupayaan ini akan dilaksanakan secara berterusan walaupun ianya akan melibatkan kos yang tinggi. Pun begitu, pembangunan keupayaan ini akan dilaksanakan secara kreatif serta inovatif dengan pengurusan sumber dan sistem logistik yang efisyen dan efektif. Dengan yang demikian, saya berkehendakkan agar sistem pengurusan strategik angkatan tentera malaysia dan seterusnya sistem-sistem pengurusan setiap perkhidmatan untuk sentiasa dipermantapkan.

Demi keutuhan kesiapsiagaan keupayaan tempur angkatan, saya juga menyeru agar semua perkhidmatan menentukan modal insan, aset dan doktrin sentiasa berada pada tahap pengoperasian yang tertinggi. Setiap anggota hendaklah terus diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran, sesuai dengan kepakaran masing-masing. Eksesais-eksesais di peringkat perkhidmatan dan antara perkhidmatan hendaklah dilaksanakan secara konsisten. Dengan ini kita akan dapat mengevaluasi kemampuan kemahiran individu, unit dan formasi, kebolehgunaan aset serta keberkesanan doktrin sedia ada, dan seterusnya dapat merencana penambahbaikan keupayaan angkatan dengan lebih berkesan.

Para pahlawan dan hadirin yang saya kasihi sekalian,

Sebagai warga angkatan tentera malaysia, kita adalah sebahagian daripada masyarakat. Justeru itu, kita akan sentiasa bersama dengan rakyat dalam melaksanakan apa jua agenda pembangunan negara. Sejarah telah membuktikan bahawa keselamatan dan pembangunan telah menyumbang kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Sokongan padu kerajaan dan rakyat telah dapat membantu kita dalam menangani ancaman insurgensi. Dalam konteks kini, sumbangan angkatan tentera malaysia terhadap usaha-usaha kerajaan ke arah pembangunan negara bangsa atau nation building dilunaskan melalui beberapa inisiatif dan program di bawah strategi lautan biru kebangsaan. Memandangkan usaha ini menunjukkan hasil yang positif bukan sahaja kepada kita malah kepada negara keseluruhannya, maka angkatan tentera malaysia akan terus menyumbang kepada program ini demi kesejahteraan masyarakat keseluruhannya. Walaupun tugas menjayakan agenda negara ini merupakan peranan sekunder angkatan tentera malaysia, namun fungsi utamanya dalam mempertahankan kedaulatan negara tidak akan sekali-kali diabaikan. Jelas terbukti bahawa inisiatif ini seiring dengan strategi pertahanan negara melalui konsep pertahanan menyeluruh ataupun hanruh yang jelas menekankan bahawa pertahanan negara adalah bukan hak mutlak angkatan tentera malaysia semata-mata, malah ianya menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat malaysia.

Analisis geo-strategik juga masih menunjukkan bahawa ancaman keselamatan bukan tradisional akan terus mempengaruhi keadaan keselamatan serantau. Mengambil kira keadaan keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks, maka kita dituntut agar sentiasa berwaspada dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Usaha-usaha kita dalam menangani isu-isu yang timbul memerlukan tindakan yang praktikal dan kolektif bersama-sama dengan negara-negara sahabat. Angkatan tentera malaysia berperanan mengukuhkan kesepakatan antara negara dan akan meneruskan usaha ke arah meningkatkan hubungan dan kerjasama dengan rakan serantau dan luar rantau, sejajar dengan prinsip diplomasi ketenteraan yang diperkasakan melalui mekanisme langkah-langkah pembinaan keyakinan. Saya menegaskan bahawa inisiatif dan kegiatan yang dilaksanakan ini telah berjaya meningkatkan persefahaman serta mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan antara negara. Justeru itu, demi untuk keamanan sejagat angkatan tentera malaysia akan terus memperkasakan inisiatif ini.

Sebagai warga angkatan tentera malaysia, kita juga berbangga dengan pengiktirafan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh masyarakat dunia atas khidmat cemerlang kita dalam misi-misi samada melalui peraturan bilateral atau multilateral, seperti pertubuhan bangsa-bangsa bersatu. Pada masa ini, hampir seribu warga angkatan tentera malaysia sedang bertugas dalam misi-misi operasi pengamanan di seluruh pelusuk dunia. Angkatan tentera malaysia juga akan terus berganding bahu menghulurkan bantuan apabila diperlukan melalui operasi bantuan kemanusiaan dan bencana alam, seperti yang telah dibuktikan di acheh, sumatera barat dan pakistan. Selain itu juga, kejayaan pelaksanaan operasi anti-pelanunan di teluk aden telah memartabatkan keupayaan angkatan tentera malaysia di kaca mata dunia. Kesemuanya ini juga jelas membuktikan bahawa kita mempunyai keupayaan dan kemampuan yang setaraf dengan angkatan tentera negara-negara maju.

Para pahlawan dan hadirin yang saya kasihi sekalian,

Tiada ertinya kita mempunyai angkatan yang perkasa jika ianya tidak bersatu. Kesatuan adalah tunjang kepada konsep kesepaduan yang menjadi pendokong ke arah memperkasakan kebersamaan angkatan kita. Saya menyeru sekalian peringkat pemerintahan agar memperkukuhkan saf dan barisan warga angkatan tentera malaysia keseluruhannya. Ingin saya mengingatkan warga angkatan tentera malaysia sekalian agar tidak sekali-kali membenarkan ketumbukan kita digugat oleh apa jua unsur-unsur negatif. Kita hendaklah sentiasa menentukan agar tiada anasir yang boleh menyelinap masuk ke dalam institusi yang murni ini untuk memecah-belahkan keutuhan kita. Dalam hal ini, ingin saya tegaskan supaya kita hendaklah bersikap sensitif dan sentiasa bijak dalam menapis dan menangkis apa jua yang disebarkan, dan tidak mudah terpengaruh dengan isu sensasi yang sengaja dijadikan gimik demi agenda pihak-pihak tertentu.

Dalam nada yang sama juga, ingin saya tegaskan bahawa kita sebagai warga yang bertanggungjawab hendaklah sentiasa peka dan menghayati dengan sedalam-dalamnya akan ikrar kesatria yang setiap daripada kita lafazkan berkali-kali. Kita juga hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan etos-etos pahlawan yang telah kita serapi selama ini.

Para pahlawan dan hadirin yang saya kasihi sekalian,

Saya penuh yakin bahawa dengan sokongan serta pengorbanan saudara dan saudari sekalian, angkatan tentera malaysia akan berupaya untuk menempa kejayaan demi kejayaan serta kekal relevan sebagai tunjang pertahanan negara. Keupayaan angkatan tentera malaysia untuk bertindak sebagai angkatan pelbagai spektrum akan meningkatkan lagi keupayaan cegah rintang kita. Sekali lagi saya menyeru agar janganlah kita terlalu lena dengan kegemilangan lampau. Teruskan usaha untuk membangunkan keupayaan, memperkasakan imej serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap angkatan tentera malaysia. Saya juga dengan ini memberi jaminan bahawa selaras dengan perlembagaan negara, angkatan tentera malaysia akan terus berdiri teguh menyokong dan membantu kerajaan yang memerintah dalam melaksanakan agenda nasional demi tanah air dan rakyat jelata. Sesungguhnya, tekad ini dizahirkan dari kesedaran sejati bahawa tanpa sokongan penuh masyarakat keseluruhannya, angkatan tentera malaysia tidak akan mampu melaksanakan amanah negara dengan sebaik-baiknya.

Dalam pada itu, angkatan tentera malaysia juga tidak melupakan peranan badan kebajikan keluarga angkatan tentera atau bakat sebagai satu entiti yang berupaya meningkatkan kecemerlangan organisasi. Bakat memainkan peranan sebagai saluran bagi keluarga anggota tentera menyuarakan keperluan mereka di samping memberi sokongan kepada para suami menerusi pelbagai program dan aktivitinya. Peranan bakat mampu meringankan bebanan para suami bagi membolehkan mereka memberi sepenuh tumpuan terhadap tugas. Kepada para ahli bakat sekelian, teruskanlah usaha-usaha murni dalam membangunkan kesatuan puan-puan melalui program-program yang direncanakan, serta berikanlah sumbangan masing-masing dengan sebaik mungkin. Saya percaya bahawa dengan keprihatinan berpanjangan dan sikap pro-aktif di kalangan ahli-ahlinya, kewujudan bakat akan menjadi nilai tambah yang signifikan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan warga tentera dan keluarga mereka.

Saya juga menyeru kepada semua warga ANGKATAN TENTERA MALAYSIA untuk memperkukuhkan lagi institusi murni dan bermaruah ini, meningkatkan lagi tahap profesionalisme kita serta menyuburkan iltizam untuk memacu kemajuan organisasi ke tahap yang lebih tinggi. Sentiasalah berusaha memberi khidmat yang terbaik dan meletakkan kepentingan perkhidmatan mengatasi segala-segalanya kerana kitalah perisai negara yang menjadi harapan negara dan rakyat, dan kitalah pendokong utama pertahanan negara demi masa hadapan warisan bangsa malaysia.

Pada kesempatan ini, saya bagi pihak seluruh warga ANGKATAN TENTERA MALAYSIA melafazkan IKRAR TAAT SETIA yang tidak berbelah bahagi kepada SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Izinkan juga saya bagi pihak seluruh barisan warga Angkatan Tentera Malaysia melafazkan sokongan padu kepada kerajaan yang memerintah. Marilah kita memperbaharui iltizam untuk bersatu padu demi menentukan jaminan keselamatan yang konsisten kepada pentadbir negara dan seluruh rakyat melalui pelaksanaan tanggungjawab dengan profesional, berdedikasi dan ikhlas. Akhir kata, semoga allah subhanahu wataala memberkati segala usaha murni angkatan tentera malaysia dan mengurniakan kita dengan segala kecemerlangan, perlindungan dan kekuatan yang berterusan, InsyaAllah.

“KOMITMEN KAMI, KEYAKINAN ANDA”

“PERISAI NEGARA”

“SENTIASA BERSEPADU”

Sekian, Saya Sudahi Dengan

وبرکاتهاللهورحمةعليکموالسلاموالحدايةفيقالتووبالله

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "ATM : Ucapan PAT Semasa Upacara Perbarisan Sempena Hari ATM Ke-79 "

Catat Ulasan