Penduduk pukul penceroboh bersenjata M16 hingga
mati di Semporna
SEMPORNA: Puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati lelaki
bersenjata M16, yang dipercayai terbabit dalam serangan hendap yang
mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, malam
tadi.
Bagaimanapun sehingga kini polis belum memberi pengesahan tentang identiti
lelaki itu.
Dalam insiden jam 7 pagi hari ini, seorang lelaki berbadan besar,
berpakaian serba hitam, memegang senjata M-16 dan berumur dalam lingkungan
50-an turun daripada sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah
sebuah surau di Kampung Senallang Lama, Semporna, di sini.
Seorang penduduk, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata selepas melepaskan tembakan
lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa “saya yang menembak polis malam
tadi”.
“Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan mereka
berkumpul di satu kawasan lapang,” katanya yang turut berkumpul bersama
penduduk di dalam keadaan ketakutan.
Abdul Hani berkata, penduduk menyerang lelaki terbabit apabila dia bertinggung
dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya.
Beliau berkata, lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan dekat
dengan sebuah pokok di kampung itu.
Wartawan BERNAMA yang dalam perjalanan membuat liputan majlis perasmian
jambatan baru oleh Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk
Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Nihak, pada 8.30 pagi iaitu 30 kilometer
daripada Kampung Senallang Lama, sempat melihat mayat lelaki itu dan mendapati
kepala lelaki itu berlumuran darah.
Kelihatan penduduk mengemas beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah mereka
dengan membawa anggota keluarga termasuk kanak-kanak dan wanita untuk melarikan
diri ke kawasan kampung lain.
Kebanyakan penduduk adalah petani dan pekebun ladang kelapa sawit.
Cubaan BERNAMA untuk menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi
Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah untuk mendapatkan maklumat lanjut
gagal. - BERNAMA
read more...