Perbezaan pandangan adalah merupakan lumrah biasa dalam kehidupan manusia. Secara asasnya, Islam membenarkan umatnya berbeza pandangan, asalkan ia tidak membawa kepada kerosakan akidah dan merosakkan hubungan persaudaraan.
Al-Quran mengajar, apabila berselisih dalam sesuatu perkara maka hendaklah dicari penyelesaiannya menerusi petunjuk al-Quran dan al Sunnah.
Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya (al-Nisa': 59).
Juga firman-Nya yang bermaksud: Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaan-Nya ialah Allah Tuhanku; kepada-Nyalah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku rujuk kembali (al-Syura:10).
Dalam bahasa Arab perkataan ikhtilaf kebiasaannya digunakan untuk merujuk perbezaan yang baik dan diterima.
Ia berbeza dengan perkataan 'khilaf' di mana ia biasanya dirujuk kepada perbezaan yang tercela yang boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan.
Bagi mereka yang mengkaji, tentunya akan mendapati ulama-ulama berbeza pandangan dalam mengeluarkan hukum kepada sesuatu permasalahan.
Ikhtilaf atau berbeza pandangan bukanlah asing dalam dunia kajian dan pengeluaran hukum.
Kebebasan berfikir, mengkaji di samping galakkan berhujah dengan cara yang berhikmah benar-benar dapat diadaptasi dalam budaya kesarjanaan ulama-ulama dalam menyuarakan kebenaran.
Ikhtilaf dalam ijtihad berlaku apabila mujtahidin berbeza pendapat dalam perkara furu' (cabang) kerana perbezaan memahami dalil-dalil syarak
Bertitik-tolak dari situ, maka wujudlah kepelbagaian mazhab dalam Islam. Setiap mazhab mempunyai kaedah atau proses pengeluaran hukumnya yang tersendiri.
Namun, mereka tetap sepakat menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama dalam berijtihad.
Walaupun para ulama mazhab mempunyai pandangan yang berbeza, ini tidaklah mengeruhkan hubungan mereka antara satu sama lain.
Bahkan, mereka tetap menghormati pandangan kedua atau ketiga yang dikeluarkan asalkan berpaksi kepada hujah kebenaran, bukannya nafsu semata-mata.
Keegoan dalam diri segera dikikis agar dapat menerima teguran untuk memperbetulkan kesilapan pandangan yang dikemukakan.
Bahkan, para ulama yang sejati akan merasa gembira sekiranya bertemu dengan kebenaran, walaupun kebenaran tersebut datang daripada pihak lain.
Sikap sangka buruk amat penting dijauhi agar pandangan ulama lain dilihat secara positif.
Cuba kita hayati peristiwa yang berlaku antara Imam Abdurrahman bin 'Amr Al-Awza'i (wafat 157H) dan seorang ulama yang bernama Imam Abdullah bin Mubarak (wafat 181H).
Suatu hari mereka bertemu dan Al-Awza'i bertanya kepada Ibn Mubarak: "Siapakah ahli bidaah yang sekarang ini sedang terkenal di Kufah, yang bernama Abu Hanifah itu?"
Ibn Mubarak tidak menjawab pertanyaan tersebut. Sebaliknya, dia cuba memulakan perbincangan tentang hukum-hukum fikah dan jawapan terhadap permasalahan fikah yang dikemukakan.
Al-Awza'ie begitu kagum dan mengetahui betapa tingginya ilmu yang diperolehi oleh Ibn Mubarak itu. Lalu beliau bertanya: "Siapakah pemilik fatwa-fatwa tersebut?"
Ibn Mubarak menjawab: "Pemiliknya ialah seorang ulama yang saya temui di Iraq".
Al-Awza'I lantas berkata: "Ulama ini semestinya merupakan pakar fikah yang tersangat hebat. Maka teruskanlah menuntut ilmu dengannya wahai sahabatku."
Ibn Mubarak lantas berkata: "Ulama tersebut bernama Abu Hanifah." Maka selepas itu berubahlah tanggapan Al-Awza'i terhadap Abu Hanifah.
Pernah beliau berkata kepada Ibn Mubarak tentang Abu Hanifah: "Aku terlalu cemburu dengan ilmu yang ada pada Abu Hanifah. Aku meminta ampun kepada Allah SWT atas tanggapan burukku kepadanya sebelum ini". (rujuk al-Khairat al-Hisan fi Manaqib al-Imam Abi Hanifah al-Nu'man, Imam Syihabudin Ahmad bin Hajar al-Haitami).
0 ulasan: on "Perbezaan pandangan"
Catat Ulasan