Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Rabu, 4 Julai 2012

Ogkl : Kosciuszko pelengkap koleksi

MEMUTIH...salji di laluan ke puncak gunung.

TIDAK lengkap jiwa seseorang pendaki gunung tegar jika gagal menyempurnakan koleksi pendakian di semua Seven Summits, iaitu tujuh puncak gunung paling tinggi di setiap benua.

Perasaan serupa turut dialami penulis, justeru peluang mendaki Gunung Kosciuszko - gunung tertinggi di benua kecil Australia - pasti tidak dilepaskan.
PANDUAN...papan tanda laluan ke puncak Gunung Kosciuszko.

MUDAH...rangkaian ski lift membantu pendaki ke puncak Kosciuszko.

BERSANTAI...sebahagian laluan besi yang disediakan sepanjang pendakian ke puncak Kosciuszko.

PERMUKAAN RATA...kawasan pergunungan Kosciuszko.

PANORAMA INDAH...tumbuhan hutan menghiasi lanskap pergunungan Kosciuszko.

BERJAYA...anggota ekspedisi bergambar di puncak Gunung Kosciuszko.

KASUT TAK KOTOR...beberapa jambatan besi dibina di sepanjang laluan untuk pendaki melepasi anak sungai di pergunungan Kosciuszko.

SUDAH HAMPIR...meredah salji sebelum tiba di puncak Kosciuszko.

Setinggi 2,228 meter dari paras laut dan terletak di pergunungan salji Taman Negara Kosciuszko di wilayah New South Wales, gunung itu diberi nama oleh penjelajah dari Poland, Paulus Strzelecki, sempena nama pejuang kemerdekaan Poland, Tadeusz Kosciuszko pada 1840.

Selain Kosciuszko, enam lagi gunung dalam senarai Seven Summits ialah Kilimanjaro (Tanzania/ Afrika), Vinson Massif (Antartika), Everest (Asia), Elbrus (Russia/ Eropah), McKinley (Amerika Syarikat/ Amerika Utara) dan Aconcagua (Argentina/ Amerika Selatan).

Bagaimanapun, bagi benua Australia, satu lagi gunung yang berada dalam senarai Seven Summits ialah Puncak Jaya atau Carstensz Pyramid di Papua, Indonesia.

Berbalik kepada Gunung Kosciuszko, gunung itu adalah tempat latihan pendakian penulis dan rakan yang juga ahli Kelab Eksplorasi Tujuh Benua, KE7B, Kelab Kaki Redah TV3 dan Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur, OGKL, baru-baru ini.

Tujuan latihan adalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pergunungan sejuk dan bersalji, sebagai persediaan semua pendaki yang akan ke Everest Base Camp.

Ini kali pertama ahli daripada tiga kelab berbeza bergabung melakukan pendakian di Kosciuszko.

Keseluruhannya, kumpulan kami seramai 13 orang diketuai pendaki berpengalaman, Muhammad Muqharabbin Mokhtarudin atau Qobin. Turut serta, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Melbourne jam 2.30 pagi waktu Australia, kumpulan kami terus menaiki van yang disewa dan kereta milik seorang rakan kami bernama Qushairy yang juga pelajar universiti di Adelaide. Kami menuju ke Kanchoban Lake dan menyewa dua kabin untuk bermalam.

Hari kedua, seawal jam 7 pagi kami terus menuju ke kaki gunung, iaitu sebuah pekan kecil bernama Thredbo. Perjalanan melalui laluan berliku dan mengambil masa tiga jam dari Kanchoban Lake.

Sebaik tiba di Thredbo, semua pendaki tidak sabar-sabar hendak memulakan pendakian selepas melihat sendiri keindahan kawasan pergunungan Kosciuszko yang diwarnai landskap pokok pain yang menghijau.

Ketika kunjungan kami, keadaan cuaca di negara kanggaru ini masih dingin dengan suhu lebih kurang 10 darjah Celsius. Sesetengah kawasan pergunungan masih dilitupi salji.

Bagi semua pendaki, raut wajah masing-masing penuh keceriaan dan langsung tidak menampakkan tanda kerisauan kerana tahu keadaan laluan pendakian yang boleh disifatkan langsung tidak mencabar fizikal dan mental.

Ini kerana sebahagian laluan ke puncak Gunung Kosciuszko disediakan perkhidmatan ski lift hingga ke pertengahan gunung. Daripada stesen hentian ski lift itu, baru pendaki memulakan pendakian berjalan kaki sejauh enam kilometer.

Begitupun, laluannya tidak teruk dan tidak menegak. Trek besi selebar dua meter disediakan di sepanjang laluan itu, sekali gus memudahkan lagi pendaki mendaki tanpa sedikitpun mengotorkan kasut.

Bak kata semua pendaki, ekspedisi ke gunung tertinggi di benua kecil Australia itu sungguh santai. Malah, boleh dikatakan pendakian langsung tidak mengeluarkan peluh. Sudahlah gunung tidak tinggi, suhu pula cukup dingin dengan salji di kiri kanan trek laluan pendakian yang landai.

Selepas membeli tiket ski lift, semua pendaki dikehendaki naik berdua atau bertiga bagi setiap kerusi. Tiba di stesen pertengahan gunung, kami terus memulakan perjalanan ke puncak Kosciuszko. Walaupun perjalanan tidak sukar, kami perlu juga mengejar masa untuk kembali semula ke stesen ski lift untuk turun ke kaki gunung kerana perkhidmatan ski lift hanya beroperasi hingga jam 6 petang.

Jika kami lewat turun dari puncak gunung, kami akan terlepas menaiki ski lift dan terpaksa berjalan kaki turun ke kaki gunung yang akan mengambil masa kira-kira satu setengah jam perjalanan.

Apapun, perjalanan merentas trek besi dalam kedinginan suhu yang cukup selesa (tidak terlalu sejuk), membuatkan semua pendaki ambil kesempatan ‘makan angin’ ketika pendakian ke puncak Kosciuszko.

Kebanyakan pendaki terutama ahli Kelab OGKL seperti Sri, Otai, Afiq, Amir dan Abang Zul, baru pertama mendaki gunung bersalji. Kesempatan mendaki di gunung bersalji sungguh bermakna buat mereka. Masing-masing bergambar sakan sepanjang perjalanan. Pelbagai aksi dan gaya dapat dilihat. Lebih-lebih lagi apabila tiba di kawasan dan laluan yang dilitupi salji.

Selepas lebih dua jam merentas trek besi, kami tiba di lereng terakhir untuk ke puncak Kosciuszko. Di situ, kami perlu mendaki sedikit dalam jarak kira-kira 200 meter meredah laluan bersalji sepenuhnya dan tidak ada lagi trek besi disediakan.

Sebaik tiba di puncak lereng itu, kami hanya perlu berjalan kira-kira 500 meter saja lagi dan akhirnya tiba di puncak Kosciuszko. Semua pendaki mengambil kesempatan merakam gambar sebanyak mungkin. Tidak ketinggalan, poster pemidang ucapan tahniah daripada salah satu syarikat penaja Projek Eksplorasi Tujuh Puncak, Tujuh Benua, Tujuh Nilai iaitu pengeluar minyak wangi Munif Hijjaz Sdn Bhd, turut dibentangkan di puncak gunung secara beramai-ramai.

Dari puncak Kosciuszko, ternyata panoramanya cukup mempesonakan. Dengan salji keputihan menutup beberapa lagi puncak gunung di sekitarnya, sungguh asyik mata memandang. Itulah panorama dan pemandangan yang dicari setiap pendaki gunung.
Jika dalam keadaan kepenatan dan keletihan sekalipun, sebaik tiba di puncak mana-mana gunung, rasa kepuasan berada di puncak gunung akan membuatkan segala penat dan letih terasa bagai hilang sekelip mata.

Kami bersantai di puncak Kosciuszko hampir satu jam. Perjalanan turun paling menyeronokkan. Sebahagian kami mencuba teknik menuruni cerun secara menggelongsor. Caranya, guna beg galas yang dikosongkan dan dijadikan alas punggung untuk duduk sambil menggelongsor turun dari puncak gunung.

Namun, ada juga yang gagal apabila menggelongsor berguling-guling kerana pergerakan terlalu laju. Keadaan itu menyebabkan kami tergelak sama sendiri melihatkan keadaan rakan-rakan lain yang tidak dapat mengawal diri ketika menuruni cerun puncak gunung itu.

Tiba di kaki gunung, hujan mula melanda. Kami bernasib baik kerana tiba tepat pada waktunya. Jika tidak, kami mungkin berdepan masalah kesejukan dan pakaian basah kerana semuanya tidak membawa baju hujan.

Apapun, pendakian ke puncak Kosciuszko meninggalkan seribu satu kenangan kepada semua ahli kelab. Paling menggembirakan, dapat menjejakkan kaki di puncak salah satu gunung yang tersenarai tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia, secara santai dan langsung tidak mencabar fizikal dan mental. Berbanding gunung lain yang sememangnya cukup mencabar selain mendatangkan bahaya kepada pendaki.

Bagi saya, gunung Kosciuszko amat sesuai kepada semua golongan termasuk yang bukan dari kalangan bergelar pendaki untuk menikmati suasana pergunungan bersalji.

Tak sabar nak mendaki Gunung Kosciuszko pada 15 - 21 November 2012 bersama 24 Pendaki Kelab OGKL.
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Ogkl : Kosciuszko pelengkap koleksi"

Catat Ulasan