Dalam Islam pernikahan itu adalah satu ibadah. Jika ingin berkahwin, seseorang itu mestilah seorang yang mampu fizikal, mental (termasuk kerohanian) dan kewangan. Hanya dengan kemampuan dalam tiga perkara utama ini, perkahwinan dapat mencapai kebahagiaan jitu.
Ini bukanlah bermakna seseorang itu perlu kaya raya baharu dia boleh menjadikan rumah tangganya bahagia. Tetapi keupayaan menanggung makan minum, pakaian dan perubatan tanggungan mengikut kemampuan adalah sesuatu yang wajib dipenuhi oleh seseorang yang berkahwin.
Tanggungjawab ini diletakkan oleh Islam ke bahu suami atau seorang lelaki. Sebab itu, Islam mewujudkan peruntukkan sekufu di mana perkahwinan harus melihat keserasian pasangan bukan hanya kepada kelayakan akademik, jawatan atau kerjaya tetapi juga latar belakang keluarganya.
Wali mempunyai hak membatalkan suatu pernikahan jika anak perempuannya berkahwin tanpa kebenaran dan persetujuannya dan pasangan yang dipilih oleh anak tidak sekufu dengan anaknya. Jika dulu, isu sekufu dilihat sebagai isu 'antara dua darjat' dan dipandang remeh oleh pasangan yang dilamun cinta.
Isu ekonomi yang boleh menyebabkan pasangan bercerai-berai ialah isu pendapatan keluarga dan siapakah yang bertanggungjawab menyara ahli keluarga?
Sudah tentu kewajipan itu diletakkan di bahu suami. Tetapi hari ramai suami mempunyai pendapatan yang lebih kecil daripada isteri.
Semasa hendak berkahwin, ada di antara mereka yang mendapat tentangan keluarga, terutama keluarga pihak perempuan kerana merasakan anak perempuan mereka akan menyara keluarga dan bukan suami.
Ada juga keluarga yang risau jika anak perempuan mereka berkahwin, suami akan mengawal wang gaji anaknya sehingga tidak dapat berbakti kepada ibu bapa.
Jelas, faktor ekonomi memainkan peranan penting dalam rumah tangga. Hari ini ibu bapa atau wali dilanda dilema kerana anak perempuan yang berijazah dipinang lelaki yang tidak berkelulusan tinggi.
Ibu bapa juga tertekan dengan masalah anak perempuan berjawatan tinggi tetapi tidak dipinang orang. Kerana takut menjadi anak dara tua, akhirnya dinikahkan juga dengan seseorang yang tidak sekufu dengannya dari sudut akademik dan kerjaya.
Bagi saya, seorang lelaki yang berpendapatan kecil masih boleh menikahi wanita yang berpendapatan tinggi dengan syarat lelaki itu tahu tanggungjawabnya.
Dengan gaji yang kecil, ia perlu merancang kewangan rumah tangga supaya dialah yang menanggung makan minum anak dan isterinya serta menyediakan rumah untuk mereka mengikut kemampuannya.
Jika isteri kemudian mahu sesuatu di luar kemampuan suami, maka dia boleh menggunakan wang sendiri. Jika isteri reda berkongsi pendapatannya dengan suami dan anak-anak, itu adalah sedekah dan jariahnya.
Namun, isteri perlu ingat bahawa dia tidak boleh mengungkit pemberiannya, kerana ia tidak akan dapat pahala. Jika diungkit maka isteri akan menjadi orang paling malang kerana dia letih bekerja menanggung keluarga kerana suami tidak mampu.
Suami pula merasa rendah diri dan tersisih kerana isteri seperti tidak memerlukannya. Akhirnya suami mencari tempat bermanja yang lain yang boleh menerimanya seadanya dan isteri menjadi sakit hati dan mengungkit segala perkara dan dia tidak mendapat pahala.
Ingatlah wahai isteri, jika berkahwin dengan pilihan hati yang anda tahu tidak mampu menanggung anda, bersedialah untuk berkorban. Jika tidak, rumah tangga akan terkorban.
Bagi kaum lelaki pula, ingatlah tanggungjawab menanggung isteri dan anak-anak serta ibu bapa adalah tanggungjawab anda. Jika tidak mampu, didiklah isteri dan anak supaya bersyukur dan bila mencari isteri 'ukurlah baju di badan sendiri'.
Hari ini ramai lelaki yang mengambil kesempatan daripada perkahwinannya, di mana akhirnya isterilah yang menanggung dia dan anak-anak sepenuhnya.
Ada suami yang berhenti kerja dan duduk di rumah seperti raja sehinggakan apabila perceraian berlaku, enggan meninggalkan rumah perkahwinan kerana dia tidak ada tempat hendak dituju kerana dia tidak bekerja.
Ibu bapa perlu mendidik anak lelaki supaya tahu tanggungjawab mereka dan apabila berkahwin dapat menjadi suami dan bapa yang dihormati.
0 ulasan: on "Sara keluarga tanggungjawab siapa?"
Catat Ulasan