Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Jumaat, 21 Januari 2011

Kongsi gelap ubah hidup Siw Choon


DEPUTI SUPRITENDAN WONG SIW CHOON

MENYERTAI pasukan polis sememangnya menjadi idaman setiap anak muda di sekitar tahun 1970-an kerana gaji yang ditawarkan ketika itu dikatakan antara yang lumayan.

Dengan permulaan gaji sebanyak RM420 sebulan, ia merupakan nilai yang agak besar bagi seseorang kakitangan kerajaan. Secara tidak langsung, gaji juga menjadi salah satu faktor Wong Siw Choon menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, selain gaji, Siw Choon mempunyai sebab lain mengapa beliau berminat untuk menyertai pasukan PDRM - selepas melalui pengalaman berdepan dengan penjenayah.

"Ada sebab yang melucukan dan saya rasa lain dari lain kenapa saya menyertai pasukan polis.

"Pada mulanya bukan minat saya untuk menyertai pasukan keselamatan ini tapi ia bertitik tolak dari satu pengalaman," jelas beliau yang kini berpangkat Deputi Supritendan.

Minat untuk menjadi polis bermula apabila dia bertekad untuk menyumbangkan tenaga selepas menyaksikan rakan baiknya diserang sekumpulan samseng kongsi gelap.

Kejadian itu masih segar dalam ingatannya dan sukar untuk dilupakan.

"Pada hari kejadian, saya ingin menonton wayang pertama lakonan Bruce Lee dalam filem Big Boss di panggung Ruby di Seremban, Negeri Sembilan.

"Sewaktu beratur menunggu giliran untuk mendapatkan tiket, rakan saya didatangi sekumpulan ahli kongsi gelap," katanya memulakan bicara.

Menceritakan lebih lanjut, beliau pada waktu itu kesal kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu rakannya yang dibelasah oleh samseng tersebut.

Tidak dapat dibayangkan, apabila sekumpulan lelaki bertubuh sasa mengelilingi rakannya serta membelasah tanpa rasa kasihan.

"Berikutan kejadian itu, rakan saya yang cedera di seluruh anggota badan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Anak jati kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu kemudian menanam azam ingin menjadi anggota polis supaya dapat berkongsi tenaga membanteras gejala kongsi gelap.

Selepas peristiwa hitam itu, beliau pulang ke rumah dengan pelbagai emosi dan perasaan.

Semangatnya berkobar-kobar untuk membanteras dan sekali gus menyedarkan ahli-ahli kumpulan kongsi gelap itu bahawa apa yang mereka lakukan adalah tidak membawa apa-apa faedah.

"Saya memberitahu keluarga tentang hasrat menyertai anggota polis dan mendapat sokongan daripada mereka.

"Saya menanam azam untuk memberi komitmen yang terbaik dalam PDRM bagi menjamin ketenteraan awam di negara kita," jelas beliau bersungguh.

Sebagai seorang anggota polis, risiko menerima ugutan dan amaran daripada penjenayah adalah asam garam warga dalam pasukan itu.

Jika tiada hal-hal sedemikian, masakan profesion sebagai anggota polis dianggap mencabar selain berjaya menjamin keselamatan negara berada dalam keadaan selamat.

Begitu juga dengan Siw Choon, sewaktu berada dalam sebahagian anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), pelbagai ugutan diterimanya.

Bahkan, ugutan terbabit bukan calang-calang ugutan kerana ia turut melibatkan nyawa beliau dan keluarga.

"Pernah satu ketika sekitar tahun 1977, saya diugut oleh ketua-ketua kongsi gelap di sekitar Selangor.

"Antara ugutan yang masih saya ingat hingga sekarang adalah kata-kata; 'Kau hentikan operasi kau banteras kongsi gelap, kalau tidak kau akan makan peluru hidup-hidup.'

"Namun, saya memberi jawapan; 'Kalau kau berani, bagi saya lokasi di mana, dan kita jumpa'," katanya yang merupakan Inspektor pertama sebagai ketua cawangan D7 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada ketika itu.

Siw Choon berkata, aktiviti kongsi gelap pada masa itu sangat kejam, mereka ini membuat kacau bilau dan sanggup membunuh.

Katanya, terdapat satu kes yang beliau tidak akan lupa sampai bila-bila iaitu seorang remaja berusia 16 tahun telah diragut dan dibogelkan di sebuah panggung wayang di Taman Pekeliling Kelam, Klang.

"Remaja perempuan terbabit kemudian disuruh oleh kumpulan kongsi gelap itu berjalan dalam keadaan berbogel pulang ke rumahnya.

"Bayangkan sepanjang perjalanan pulang ke rumah dalam keadaan berbogel," ujarnya.

Katanya, bapa remaja terbabit kemudian membuat laporan polis memaklumkan mengenai peristiwa tersebut.

"Semasa bapa remaja terbabit membuat laporan polis, pada masa yang sama juga remaja itu cuba membunuh diri di rumahnya kerana malu dengan peristiwa yang menimpa dirinya itu," jelasnya.

Kata Siw Choon, berikutan peristiwa itu, polis telah mengadakan operasi besar-besaran untuk menjejaki geng kongsi gelap terbabit.

"Mereka akhirnya tertangkap dan saya berasa puas kerana penahanan kumpulan ini dianggap berjaya membalas kekejaman yang dilakukan terhadap remaja tadi," katanya.

Jelas anak kesembilan daripada 13 adik beradik itu, apa yang diharapkan olehnya adalah agar ahli-ahli kumpulan kongsi gelap sedar bahawa kegiatan kumpulan itu tidak membawa faedah kepada mereka dan masyarakat.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini menambah, beliau berasa berbangga apabila ada di antara ahli kumpulan yang ditangkap dan dihantar ke Pulau Jerejak, Pulau Pinang untuk pemulihan berterima kasih selepas keluar dari tahanan itu.

"Saya masih ingat lagi ada di antara mereka yang pernah saya tangkap dan hantar ke Pulau Jerejak kerana terlibat dalam kegiatan kongsi gelap di Klang, bertemu saya kembali dan mengucapkan terima kasih kerana menyedarkan mereka.

"Apabila perkara itu berlaku, ia merupakan 'kepuasan' kepada saya," ujarnya bangga.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Kongsi gelap ubah hidup Siw Choon"

Catat Ulasan