Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Selasa, 7 Jun 2011

Persediaan Tentera Darat Malaysia - Memusnahkan Kereta Kebal



Sebagai sebuah negara yang berdaulat, sememangnya Tentera Darat Malaysia (TDM) adalah merupakan tonggak kepada sistem pertahanan negara. Secara khusus infantri dan pasukan mekanise adalah merupakan juzuk pertahanan yang paling utama dan dalam apa jua peperangan, baik konvensional mahupun bukan, kelibat seorang anggota infantri di atas kubu atau markas musuh kerap dijadikan sebagai epilog kepada satu kemenangan dalam sesuatu kempen peperangan darat. Seperti juga peperangan terdahulu dari Perang Dunia Pertama, Kedua, Perang Korea, konflik Asia Barat, Lubnan sehinggalah Iraq dan Afghanistan, peranan infantri dalam menghentikan kemaraan pihak musuh di medan tempur adalah kritikal.
Dalam peperangan moden ini kerap bermakna kemampuan anggota infantri dengan kelengkapan ringan yang mampu dipikul dibahunya untuk ke medan tempur bagi menghadapi kemaraan musuh yang lazimnya akan menggunakan kenderaan bermotor atau kereta kebal.

Sejak mula diperkenalkan sehingga ke hari ini, peranan kereta kebal dalam strategi peperangan moden tetap tidak berubah. Ianya digunakan sebagai senjata kejutan untuk membolosi bagi tujuan kemaraan am, pergerakan rusuk, mengepung musuh atau sebagai tindakan mengharus garis pertahanan mereka. Sifat daya mobiliti, kuasa tembakan dan pertahanan yang jitu menjadikan kereta kebal sebagai antara ancaman paling utama yang mesti ditumpaskan dalam peperangan. Untuk melaksanakan tugas ini infantri diberikan beberapa jenis sistem persenjataan atau kelengkapan yang membolehkan beliau menghadapi ancaman tersebut. TEMPUR ingin membawa pembaca untuk melihat dan menilai perkembangan sistem persenjataan anti-kereta kebal yang digunakan oleh pasukan infantri, para dan mekanise TDM dan menilai keberkesanannya.

Hari ini fokus banyak pihak dilihat lebih tertumpu kepada perolehan dan penggunaan sistem-sistem atau platform yang canggih terutamanya sistem kereta kebal dan peluru berpandu. Selain itu masyarakat umum pula lebih berminat untuk mengetahui apakah sistem dan kelengkapan yang digunakan oleh pasukan-pasukan khas, sama ada bagi tentera darat seperti Grup Gerak Khas, mahupun dari cabang lain seperti PASKAL dan PASKAU. Ini mungkin kerana pasukan-pasukan khas ini adalah kumpulan atau unit ‘berjenama’ yang kerap dipaparkan oleh media dan dikaitkan dengan pelbagai kemampuan luar-biasa, walaupun kadang-kala ia tidak benar-benar berasaskan kepada fakta tetapi lebih kepada perang psikologi terhadap pihak musuh.

Ini bukanlah bermakna TEMPUR meragui akan kemampuan operasi yang jauh lebih mantap oleh anggota pasukan khas berbanding infantri, begitu juga dengan pelbagai kelengkapan khas dan persenjataan yang diguna pakai. Namun dengan jumlah keanggotaan yang terhad, pasukan-pasukan khas akan hanya digunakan untuk mencapai objektif yang dianggap paling kritikal, membantu melaksanakan pelan operasi yang paling sukar untuk menyumbang kepada pencapaian objektif utama peperangan. Contoh terbaik ialah ketika Perang Falkands, apabila kedua-dua pasukan khas pihak Argentina dan juga British digunakan untuk menawan lokasi-lokasi khusus pada permulaan kempen sebelum operasi utama dilancarkan. Setelah operasi ‘pembuka jalan’ ini berjaya dilakukan, barulah pasukan am seperti infantri di atur gerak untuk melaksanakan tugas mereka, iaitu menawan objektif utama dan menewaskan musuh secara total. Ini bermakna peranan infantri sebenarnya adalah amat penting dan bakal menentukan menang atau kalahnya sesebuah negara apabila ia berhadapan dengan tentera musuh. Sebuah pasukan khas tentera darat mana-mana negara pun mampu melaksanakan operasi sulit di garis belakang dan mencapai kejayaan dengan memusnahkan pelbagai infrastruktur strategik musuh seperti depo bekalan serta stesen radar. Tetapi dalam sejarah peperangan tidak ada sebuah negara pun yang menang perang hanya semata-mata kerana pasukan khasnya. Keadaan ini akan hanya tercapai apabila pasukan infantri, lazimnya disertai oleh armor atau pasukan mekanise secara bersepadu berjaya memusnahkan kekuatan lawan yang sama dan mampu menapak masuk ke negara musuh dan menguasai kesemua lokasi strategik dan infrastruktur lawannya.

Sebagai satu unit yang paling mikro dalam sistem pertahanan TDM, anggota infantri adalah nukleas kepada sistem tersebut dan pada peringkat paling asas, iaitu sebuah seksyen yang mengandungi lapan anggota, komposisi persenjataan anggota bagi seksyen ini dilihat terus mengalami evolusinya tersendiri. Jika pada suatu masa dahulu sebahagian dari mereka membawa sistem pelancar roket tembak buang seperti C-90, hari ini ia digantikan dengan sistem RPG-7. Ini adalah suatu perkembangan yang mungkin memperlihatkan kehendak persekitaran pertempuran moden serantau yang menyaksikan pemilikan sistem kereta kebal dan kenderaan berarmor yang semakin canggih. Menurut pemerhatian TEMPUR ketika diadakan Pertunjukan Kuasa Tembakan yang merupakan acaran tahunan di Lapang Sasar Bersepadu di Gemas, TDM masih lagi dalam proses membentuk ciri-ciri kelengkapan dan doktrin penggunaannya di medan tempur. Ia juga memperlihatkan bahagaimana kuasa tembakan unit seksyen infantri TDM bertambah mantap bersesuaian dengan doktrin dan taktik yang bakal diguna pakai di medan pertempuran. Selain unit infantri, unit pasukan payung terjun atau 10 Briged Para dan unit Mekanise TDM juga dilihat telah mengorak langkah sama dalam proses memantapkan kemampuannya untuk menghadapi ancaman armor dan kereta kebal di rantau ini. Perolehan sistem-sistem persenjataan anti-armor seperti ERYX, METIS-M dan BAKHTAR SHIKAN adalah antara langkah yang dilihat amat bersesuaian bagi menghadapi ancaman tersebut.

Seksyen Infantri dan kemampuannya menentang kereta kebal

Bagi pihak infantri, seksyen yang mengandungi lapan anggota yang diketuai oleh seorang Sarjan adalah unit yang paling kecil dan bakal ditugaskan untuk berhadapan dengan kekuatan utama musuh. Seperti yang dijelaskan oleh TEMPUR, doktrin infantri di negara ini sedang mengalami evolusinya tersendiri, dan paling terkini tentunya untuk mengasimilasikan operasi dan doktrin pertempuran yang bakal melibatkan penggunaan infantri dalam operasi bersama kereta kebal PENDEKAR, aset kereta kebal utama yang paling terkini diperolehi oleh TDM.

Dalam menghadapi peperangan anti armor, khususnya kereta kebal, senjata utama sebuah seksyen TDM adalah merupakan sistem RPG-7 yang diperolehi dari Pakistan. Sistem RPG-7 adalah merupakan sistem yang mungkin boleh dianggap sebagai senjata yang paling ‘terkenal’ di seluruh dunia. Ini kerana ia adalah senjata yang telah sekian lama wujud dalam inventori bukan sahaja angakatan tentera berdaulat, tetapi juga oleh organisasi gerila dan militia, terutamanya yang mempunyai perhubungan dan sokongan dari bekas negara-negara Pakatan Warsaw. Tamatnya Perang Dingin menyaksikan sistem persenjataan ini tersebar begitu meluas. Apa yang meyebabkan ia popular ialah sistemnya yang boleh dianggap sebagai kalis-bodoh atau (fool-proof) yang membawa maksud mana-mana anggota atau individu boleh dilatih untuk menggunakan sistem tersebut dengan mudah dan dalam masa yang singkat. Walaupun kemahiran penggunaan yang tinggi bakal memerlukan latihan yang komprehensif untuk menjadikan penggunaan sistem lebih efektif dan efisyen, namun bagi organisasi seperti kumpulan gerila ini tidak begitu diberikan perhatian. Kos sebuah roket grened yang boleh dilancarkan dari RPG-7 yang dianggap amat murah serta sumber bekalan yang tersebar luas di peringkat pasaran global berbanding sistem peluru berpandu menjadikan latihan kepakaran tidak begitu diambil berat sepertimana sepatutnya.

Bagi sebuah seksyen infantri TDM, dua dari anggota dibekalkan dengan sistem RPG-7, manakala bagi unit Mekanise, hanya seorang anggota sahaja dilengkapkan dengan sistem tersebut. Sepanjang pendedahan sistem RPG-7 kepada pihak umum atau media oleh pihak TDM, TEMPUR hanya dapat melihat bahawa sistem roket grened yang digunakan adalah merupakan sistem kaliber 82mm anti-kereta kebal yang tentunya juga dibekalkan oleh pihak Pakistan bersama-sama sistem pelancar yang digunakan. Apakah TDM juga bakal atau telahpun membekalkan anggota seksyen infantri dengan siostem roket grened selain dari yang sistem anti-kereta kebal atau peluru HEAT tradisional adalah sesuatu yang hanya diketahui oleh TDM sendiri. TDM dirasakan perlu menggunakan sistem pelancar RPG-7 pada tahap penggunaan operasi yang maksima dan tidak hanya berpuas hati dengan, contohnya menggunakan sistem roket grened anti-kereta kebal sahaja. Ini kerana sejak diperkenalkan pada tahun 60an, sistem RPG-7 telah melalui pelbagai proses peningkatan bersesuaian dengan ancaman atau peningkatan sistem armor pada kenderaan berperisai dan juga kereta kebal.

Sebagai sistem pelancar roket grened anti-kereta kebal tidak berpandu, sememangnya ada pihak yang menyatakan bahawa ketepatan sistem RPG yang tidak dapat dijangka arah halatujunya sekiranya terdapat tiupan angin lintang yang kuat adalah kelemahan utama sistem tersebut. Selain itu jarak efektif pada tahap 300 meter (maksima 500 meter) untuk sasaran kereta kebal menggunakan sistem pejera optik dianggap terlalu dekat. Kesemua faktor ini sememangnya boleh dianggap sebagai satu kelemahan terutamnya jika kita mengambil kira senario operasi di kawasan terbuka seperti di padang pasir. Namun bagi senario operasi di negara ini baik di pendalaman, kampung mahupun di pekan atau kota raya, jarak tembakan 300 meter dianggap sudah lebih dari memadai. Malah jika disingkap kembali sejarah pertembungan antara kereta kebal dengan infantri (atau lebih tepat lagi artileri) di negara ini, iaitu ketika Perang Dunia Kedua, jarak antara kedua-dua seteru adalah kurang dari 100 meter, seperti yang berlaku di Muar. Pada ketika itu tentera Australia yang menggunakan sistem meriam ringan, berjaya memusnahkan beberapa buah kereta kebal Jepun yang menjadi pasukan peninjau hadapan. Kereta kebal tersebut dipaksa berhenti dengan halangan berupa pokok kayu yang ditumbangkan secara sengaja bagi menghalang jalan utama, sebelum bedilan dilakukan secara langsung.

Keadaan yang sama dijangka akan berulang dengan kemungkinan jarak pertempuran antara kereta kebal dan infantri akan menjadi bertambah jauh akibat pemodenan infrastruktur dan jalan utama. Jalan-jalan utama hari ini adalah lebih lebar dan kawasan simpanan di kiri dan kanan jalan juga adalah lebih luas, namun demikian apabila melalui kawasan berbukit-bukau atau dipendalaman, jarak tersebut akan mengecil dengan mendadak. Dari segi doktrin operasi di kawasan sepanjang laluan yang boleh diguna pakai oleh kereta kebal utama, ia tidak banyak berbeza dengan jalan-jalan utama yang telah wujud sejak dari dahulu lagi, atau jalan-jalan yang kini lebih sinonim dengan nama ‘jalan lama’. Perbezaan ketara ialah kewujudan lebuhraya-lebuhraya baru yang lebih besar yang sebelum ini tidak wujud. Sememangnya lebuhraya berkemampuan untuk digunakan oleh pihak yang memiliki armor dan pasukan mekanise untuk mara dengan pantas sama ada ke utara mahupun ke selatan. Sebahagian besar dari lebuhraya ini walaubagaimanapun melalui atau merentasi kawasan atau laluan di kawasan pendalaman, sama ada di celah-celah kawasan ladang kelapa sawit, ladang getah, sawah padi mahupun kawasan hutan. Ini bakal menyebabkan konvoi mudah di serang hendap di lokasi-lokasi tertentu. Selain itu kewujudan jambatan yang merentasi gaung atau kawasan lereng bukit bakal memudahkan pasukan yang bertahan untuk menghentikan kemaraan konvoi dengan memusnahkan infrastruktur seperti jambatan-jambatan utama. Kesemua faktor yang disebutkan ini menjadikan jarak maksima 500 meter yang dimiliki oleh sistem RPG-7 adalah lebih dari memadai. Selain itu berat yang tidak seberapa serta sistem roket grened yang ringan turut menyumbang atau merupakan satu faktor kekuatan kepada sistem persenjataan tersebut.

Apa yang perlu dilakukan oleh seksyen infantri TDM hari ini ialah dengan memberikan nilai tambah kepada sistem RPG-7 yang dimilikinya. Seperti yang disebutkan sebelum ini, apa yang dapat dilihat ialah anggota yang menggunakan sistem RPG-7 hanya menggunakan sistem roket grened anti-kereta kebal sahaja. TDM perlu mempelbagaikan sistem roket grened dalam inventorinya dengan memperolehi pelbagai jenis sistem grened. Faktor ini membuatkan musuh bimbang dengan kewujudan sistem sedemikian kerana tahu bahawa kepelbagaian sistem roket bermakna infantri akan berada dalam keadaan yang lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Ianya ialah kerana RPG-7 tidak mempunyai had terhadap kaliber sistem roket grenednya, memandangkan bahagian kepala peledak berada di luar laras. Ini berbeza contohnya dari sistem Carl Gustav, mahupun sistem pelancar tembak buang C-90 yang juga diguna pakai oleh infantri TDM. Selain itu komposisi bahan letupan atau kepala peledak pada grened boleh dipilih mengikut kesesuaian sasaran yang mahu dimusnahkan. Ini termasuklah sama ada sasaran kereta kebal biasa, kereta kebal yang mempunyai sistem blok reaktif, infantri di kawasan terbuka mahupun yang berada di dalam kubu dan struktur bangunan tertutup. Rusia contohnya telah menawarkan empat jenis sistem roket grened yang berbeza kepada pengguna sistem RPG-7. Ianya adalah sistem roket grened PG-7VL, PG-7VR, TBG-7V dan OG-7. Sistem PG-7VL adalah sistem peluru dengan kepala peledak jenis bahan letupan berbentuk biasa, manakala PG-7VR pula ialah untuk memusnahkan keretakebal yang lebih moden dilengkapkan dengan sistem blok reaktif selain dari anggota musuh yang berlindung di dalam kubu terlindung atau bunker. TBG-7V adalah sistem roket grened yang mempunyai kesan pelbagai, iaitu letupan kuat, serpihan dan juga pembakaran. Kesan pembakaran menggunakan konsep ‘thermobaric’ atau tekanan dan haba mampu memusnahkan anggota dan peralatan di dalam struktrur tertutup. Roket grened OG-7V pula direka khas untuk memusnahkan anggota dan kenderaan berperisai ringan. Kaliber roket grened tersebut adalah berbeza dengan sistem PG-7VL berdiameter 93mm, PG-7VR dan TBG-7V berdiameter 105mm, manakala OG-7V adalah 40mm.

Lebih memudahkan TDM ialah oleh kerana kesemua sistem pelancar RPG-7 yang dihasilkan oleh negara-negara global adalah sistem yang dikeluarkan mengikut piawaian sifat fizikal yang sama, maka kemampuan untuk mendapatkan bekalan roket grened dari mana-mana pengeluar adalah mudah dan tidak memerlukan sebarang pengubah-suaian. Contohnya walaupun TDM memperolehi sistem pelancar dari Pakistan, namun mana-mana roket grened yang dihasilkan oleh negara seperti Rusia, China, Serbia, Poland, Mesir dan sebagainya boleh dipadankan dengan RPG 7 tersebut. Disinilah kekuatan sebenar RPG.

Selain dari menggunakan pejera besi, sistem RPG-7 juga boleh dilengkapkan dengan sistem pejera optik pandangan malam. Seperti juga jenis peluru, maklumat mengenai sama ada sistem RPG-7 TDM turut diperolehi dengan sistem pandangan malam adalah tidak diketahui, namun setakat yang diketahui pihak Pakistan tidak pernah menawarkan sistem pandangan malam kepada sistem RPGnya, baik yang digunakan oleh angkatan tenteranya mahupun yang dieksport ke luar. Sekali lagi kelebihan sistem RPG-7 yang mempunyai sifat piawaian sama membolehkan pelbagai jenis sistem pejera buatan pelbagai negara disangkutkan pada tapak landasan sistem pejera sedia ada pada laras pelancar. Pihak Rusia menghasilkan sistem-sistem pandangan malam seperti 1PN93-2 dan 1PN93-5. Keduanya adalah sistem pandangan malam generasi kedua yang akan membolehkan kedua-dua sistem optik diguna pakai pada pelancar RPG-7 dengan menggunakan pencahayaan dari bintang mahupun bulan. Apabila dipasangkan pada pelancar, ia akan membolehkan pengendali mengesan individu yang berada di dalam kegelapan malam sehingga pada jarak 400 dan 500 meter. Bagi sebuah kenderaan seperti kereta kebal yang sedang bergerak di jalan atau lorong tertentu, tentunya tidak akan timbul sebarang masalah untuk melakukan pengenalan dan tenangan.

Kemampuan untuk beroperasi di waktu malam adalah sesuatu yang perlu diambil kira oleh pihak infantri TDM. Kelemahan atau ketidak mampuan anggota untuk mengoperasikan sistem persenjataan pada waktu malam, walaupun ianya adalah sistem yang diperakui sebagai efektif pada siang harinya, adalah kelemahan yang kerap digunakan oleh musuh untuk merebut semula inisiatif pertempuran. Contoh yang konflik paling terkini mengenai bagaimana faktor ini dieksploitasikan ialah ketika konflik di Lubnan pada tahun 2006. Gerila Hezbollah yang menggunakan pelbagai sistem pelancar anti-kereta kebal dari peluru berpandu seperti Malyutka dan Metis kepada sistem pelancar tanpa kawasan iaitu RPG-29 dan RPG-7V telah berjaya memperlahankan atau menghentikan kemaraan pasukan armor tentera rejim Yahudi pada waktu siang. Namun sebahagian besar dari sistem pelancar anti-kereta kebal mereka tidak dilengkapkan dengan sistem teropong atau optik pandangan malam. Apabila menyedari akan keadaan ini, pihak armor Israel mula melaksanakan pergerakan armor dan mekanisenya hanya pada waktu malam sahaja, manakala meminimakan pergerakan aset dan anggota pada siang hari agar tidak terdedah kepada ancaman. Malah kelemahan dari sudut ketiadaan atau kurangnya kemampuan pada platform dan aset persenjataan yang boleh diguna pakai dengan efektif pada waktu malam di pihak gerila, baik di Iraq mahupun Afghanistan adalah antara sebab kenapa pihak Amerika dan NATO kerap menggunakan waktu malam untuk melaksanakan pergerakan penghantaran anggota dan serbuan ke kubu musuh mereka. Kemampuan ini semestinya dimiliki oleh pihak infantri tentera darat dan bukan setakat pada sistem gogel pandangan malam bagi tujuan bergerak dan menggunakan raifal sahaja. Apa yang lebih penting ialah sistem persenjataan anti-kereta kebal juga harus mempunyai keupayaan yang sama.

Tanggungjawab & Bekalan roket grened untuk seksyen infantri

Sebagai sebuah unit yang paling kecil dan berada di garis hadapan, kemampuan setiap anggota infantri untuk mengendalikan senjata dengan cekap adalah satu kriteria yang amat penting. Bagi seksyen infantri TDM (sepertimana yang dipamerkan ketika pertunjukan kuasa tempur), kedua-dua anggota yang membawa sistem pelancar RPG-7 turut membawa bersama sistem raifal tempur individu masing-masing. Ini adalah sesuatu yang mungkin unik kepada TDM kerana sebahagian besar dari angkatan tentera global yang menggunakan RPG-7 atau sistem yang seumpamanya, meletakkan tanggungjawab pengendali pelancar tersebut sebagai satu tugas khusus atau ‘specialist’. Ini bermakna selain dari sistem pelancar roket grened yang dibawa, beliau akan hanya membawa sistem senjata pertahanan diri sahaja, iaitu sama ada sistem pistol atau submesingan.

Salah satu sebab kenapa pengendali RPG-7 tidak dibekalkan dengan sistem raifal tempur peribadi ialah kerana beliau mempunyai tugas yang khusus untuk mempastikan bahawa sebarang ancaman armor, kenderaan berperisai mahupun kereta kebal boleh ditangani dengan segera. Oleh yang demkian tumpuan dan pengkhususan ini perlu dikekalkan sepanjang masa sewaktu operasi. Sekiranya anggota pengendali turut diberikan raifal individu, kebimbangan ialah beliau akan turut sama ‘bertempur’ dengan senjata ringan dan mungkin hilang tumpuan dalam penugasan utamanya, iaitu mencari dan memusnah kereta kebal. Perbandingan boleh dibuat dengan anggota penembak tepat atau sniper yang mempunyai tugas khusus untuk mencari dan memusnahkan musuh secara tersembunyi dan senyap. Oleh kerana sifat penugasannya, beliau tidak akan diberikan selaras sistem raifal tempur selain dari raifal penembak tepat yang disandangnya. Satu lagi sebab kenapa ialah beban yang terpaksa dipikul oleh beliau sekiranya raifal tempur turut dibawa bersama ke kawasan operasi. Ini bermakna pengendali RPG-7 selain memikul berat pelancar dan roket grened tambahan, akan terpaksa memikul raifal peribadi serta pelurunya sekali. Beban yang berlebihan ini dikuatiri akan mendatangkan masalah kepada mobiliti seksyen terbabit terutamanya apabila melalui kawasan mukabumi yang sukar atau jauh.

Apakah TDM mempunyai doktrin yang berbeza dalam hal ini tidak dapat diketahui, namun ia bukanlah sesuatu yang benar-benar membebankan anggota pengendali mahupun seksyen yang terbabit sekiranya taktik dan perintah tetap bagi penggunaannya mampu dilaksanakan dengan baik. Sememangnya dalam mana-mana pertempuran, kemampuan ketua seksyen untuk mengaplikasikan taktik yang sesuai, mengawal tingkah-laku anggotanya disamping disiplin tembakan yang baik oleh setiap anggota seksyen bakal membuahkan hasil. Memandangkan sistem roket grened RPG-7 tidak terlalu berat dan bersaiz kecil, setiap anggota dalam seksyen mampu membawa roket, sekurang-kurangnya sebuah roket bagi setiap individu. Ini bermakna dari segi kuasa tembakan anti-armor dan bunker, penggunaan sistem RPG-7 adalah lebih praktikal berbanding sistem roket tembak buang C-90.

Walaupun kini jarang sekali dipertontonkan kepada umum hari ini namun senjata utama anti-armor bagi infantri TDM sejak sekian lama adalah sistem Carl Gustav M2 yang mempunyai kemampuan yang amat digeruni dan merupakan sistem anti armor yang mempunyai keupayaan tinggi. Apa yang mungkin menjadikan sistem ini kurang digemari oleh pengendalinya ialah ia mempunyai berat pelancar yang agak keterlaluan, iaitu kira-kira 15kg keseluruhan dengan kaki duanya, ini berbanding sistem pelancar RPG-7 yang mempunyai berat 7kg, iaitu lebih separuh dari berat M3. Walaupun demikian terdapat versi pelancar Carl Gustav M3 yanhg mempunyai berat pelancar 8kg, namun ia tidak digunakan oleh TDM yang masih mempunyai sejumlah besar sistem M2 dalam inventorinya. Seperti juga sistem RPG-7, pelancar M3 boleh menggunakan pelbagai jenis sistem peluru bagi tugasan khas dari anti-kereta kebal, kepada letupan kuat terhadap anggota dan struktur sehinggalah kepada suaran atau pencahayaan.

10 Briged Para

Bagi kumpulan lintas udara atau 10 Briged Para, mereka telah sekian lama menggunakan dua sistem berbeza bagi tujuan operasi anti-kereta kebal. Sistem pertama ialah sistem meriam tanpa anjalan 106mm yang dipadankan di atas tenggekan kenderaan pacuan 4x4 G-Wagon manakala sistem kedua ialah sistem peluru berpandu ERYX yang digunakan dari tapak pelancar ringan dibawa oleh pengendalinya.

Seperti yang telah dijelaskan pada Rencana I, penggunaan sistem meriam tanpa anjalan seperti meriam 106mm kini dianggap sebagai semakin berkurangan di kalangan angkatan tentera global. Salah satu sebab utama ialah berat senjata, kaliber yang dianggap besar dan tanda pengenalan yang agak jelas, terutamanya apabila senjata ditembak di kawasan yang mempunyai pasir atau debu. Dengan jarak maksima menjangkau sehingga lebih tujuh kilometer, ia sebenarnya mempunyai kesan tembakan yang mungkin hampir sama dengan meriam howitzer 105mm yang digunakan oleh pihak artileri (jarak maksimanya 10km). Pasukan 10 Briged Para, dalam pertunjukan kuasa tembakan beberapa tahun yang lalu mengoperasikan sistem meriam tersebut menggunakan dua cara, iaitu dari atas tenggekan meriam yang dipasang pada kenderaan pacuan 4x4 dan dari tapak pelancar ringan. Namun sejak kebelakangan ini ia tidak lagi dipamerkan, menandakan kemungkinan besar bahawa ia tidak lagi diguna pakai atau kini dalam proses digantikan dengan sistem yang lebih berkemampuan atau yang lebih praktikal dan efisyen.

Penggunaan sistem meriam tanpa anjalan untuk memusnahkan kereta kebal adalah sesuatu yang telah sekian lama dipraktikkan, namun dengan kemunculan sistem pelancar grened dan peluru berpandu, tugasan tersebut dilihat semakin tidak releven. Ini ditambah pula dengan beberapa faktor lain, umpamanya berat yang keterlaluan (219kg bagi sistem meriam yang diguna pakai oleh pasukan 10 Briged Para) dan kemampuan tugasan anti-kereta kebal yang terhad jaraknya. Walaupun jarak maksima senjata adalah tujuh kilometer, namun bagi tujuan tembakan secara langsung (direct fire) untuk memusnahkan kereta kebal, jarak efektif adalah kurang dari 1,000 meter. Ini menjadikan sistem tersebut lebih sesuai untuk digunakan sebagai sistem senjata bantuan dari jarak jauh untuk kesan tembakan mengharu dan bukan tembakan secara langsung. Berat yang berlebihan juga bermakna ia tidak praktikal untuk dibawa oleh anggota ke garis hadapan bagi tujuan operasi anti-kereta kebal dan jumlah peluru yang mampu dibawa oleh anggota juga adalah terhad.

Sistem anti-keretakebal kedua yang digunakan oleh unit lintas udara ini adalah sistem ERYX buatan Perancis yang pada pandangan TEMPUR sebagai antara sistem pelancar anti-kereta kebal jarak dekat yang terbaik di dunia. Apa yang menjadikan sistem ini sebagai amat berkesan bagi tujuan memusnahkan kereta kebal ialah ciri-ciri pengoperasian yang mudah, jangkauan jarak operasinya serta diameter dan kemampuan sistem peledaknya. Sistem ini hanya mengandungi dua komponen utama, iaitu tapak pelancar dan juga tiub peluru berpandu. Memandangkan kedua-dua sistem adalah bersaiz kecil dan kompak, ianya boleh diturunkan ke kawasan operasi tanpa memerlukan persediaan yang rumit berbanding, contohnya sistem meriam tanpa anjalan 106mm. Sistem Eryx boleh diancarkan sama ada dari aras bahu atau dari tapak pelancar. Ia dikawal ke sasaran menggunakan sistem panduan wayar data dengan pantauan sasaran menggunakan sistem optik. Kawalan ialah secara SACLOS dengan bahagian belakang peluru berpandu mengandungi sistem mata arah inframerah menghasilkan isyarat denyutan yang boleh dikesan oleh pengendali dari sistem penderia optik unit pelancar.

Apabila peluru berpandu berada di udara setelah dilancarkan, isyarat pembetulan penerbangan akan dihantar kepada peluru berpandu melalui wayar data yang terungkai dari bahagian belakangnya. Kawalan arah dilaksana menggunakan sistem tujahan vektor yang amat efektif walaupun ketika peluru berpandu terbang pada kelajuan rendah. Ini adalah kritikal dan membolehkan sistem ERYX dilancarkan dari kawasan tertutup seperti dari bilik atau kubu yang kecil tanpa membahayakan pengendalinya dari letupan atau balikan haba ketika pelancaran. Setelah dilancarkan, pengendali hanya perlu menetapkan titik tenangan tepat pada sasaran sepanjang masa dan peluru berpandu akan melakukan hentaman terhadap sasaran secara automatik. Walaupun mempunyai jarak operasi yang terhad, iaitu 600 meter ia dianggap sebagai sistem peluru berpandu jarak dekat berkemampuan tinggi kerana mempunyai sistem peledak berkaliber 137mm dengan sistem perobek armor bercirikan letupan berganda dengan kuasa perobekan mampu menembusi sehingga 900mm besi waja dibelakang armor blok reaktif atau 2.5 meter struktur konkrit. Dengan berat sistem pelancar 4.5kg dan keseluruhan sistem sebelum pelancaran adalah kurang dari 13kg sistem ini sememangnya mudah dibawa bersama oleh pengendali.

Seperti juga sistem RPG-7, sepanjang pertunjukan kuasa tembakan yang dilaksanakan oleh pihak TDM sejak beberapa tahun mahupun pada pemeran-pameran lain, sistem ini tidak pernah dipamerkan dengan sistem pejera optik pandangan malamnya. Ini menimbulkan persoalan apakah TDM mempunyai sistem pandangan malam yang membolehkan sistem tersebut dioperasikan ketika pertemputan pada waktu malam. Sekali lagi pengalaman dari medan tempur terkini di Lubnan dan juga Iraq serta Afganistan dapat memberikan TDM bayangan mengenai bagaimana pentingnya kemampuan untuk beroperasi pada waktu malam. Sistem ERYX boleh dipadankan dengan sistem pandangan malam pengimejan haba Mirabel yang dihasilkan oleh Thales Optronique, Perancis serta AlliedSignal Aerospace dari Kanada. Sistem Mirabel boleh terus dipadankan dengan sistem optronik ERYX yang sedia ada pada pelancar dan tidak memerlukan sebarang pelarasan semula. Sistem ini mempunyai kemampuan untuk mengenal sasaran sehingga pada jarak 600 meter. Kemampuan sistem ERYX sememangnya diperakui dan pemilihan sistem tersebut oleh unit 10 Briged Para adalah amat tepat dan sesuai dengan corak pertempuran jarak dekat di negara ini. Malah pihak tentera Perancis sendiri memperakui bahawa sistem ini bakal terus kekal releven dalam inventori mereka untuk satu tempoh jangkamasa panjang. Ini terbukti apabila pada Disember 2006 satu perjanjian ditandatangani oleh Kementerian Pertahanan Perancis dan MBDA untuk membekalkan sistem ERYX kepada tentera darat Perancis dan sebahagian kecil kepada pasukan Komando Marin mereka antara tahun 2008 hingga 2011. Ini bermakna tentera darat Perancis sendiri memperakui akan keberkesanan sistem ini dan bakal terus menjadikan ia sebagai sistem peluru berpandu jarak dekat utama infantrinya sehingga tahun 2020.

Kompeni Bantuan & Mekanise

Dua lagi sistem persenjataan anti-kereta kebal atau lebih tepat lagi sistem peluru berpandu anti-kereta kebal ialah sistem Metis-M dan juga Bakhtar Shikan. Sistem peluru berpandu Metis-M adalah merupakan kesinambungan dari sistem Metis 9P151. berbanding sistem Metis, Metis M mempunyai kemampuan yang lebih baik, terutamanya dari segi kuasa pemusnah. Sistem Metis mempunyai kaliber peluru berpandu berdiameter 94mm, manakala Metis M pula adalah 130mm. Begitu juga dengan jangkauan operasinya, Metis M mempunyai jarak maksima menjangkau 1,500 meter manakala versi Metis pula hanya 1000 meter. Bagi sebuah kompeni bantuan infantri, sistem peluru pelancar Metis M dipasangkan pada tenggekan kenderaan G-Wagon dengan dikendalikan oleh tiga anggota. Setiap sebuah kenderaan dipercayai mampu membawa sehingga lima peluru berpandu dan dalam operasi, antara tiga ke empat peluru berpandu mampu dilancarkan terhadap sasaran dalam masa seminit. Sistem Metis M mempunyai sistem arahan dan kawalan SACLOS yang menggunakan sistem wayar data untuk memacu peluru berpandu ke sasarannya.

Kemampuan sistem Metis M telah terbukti, terutamanya ketika konflik Lubnan yang menyaksikan sejumlah kecil sistem tersebut diguna pakai oleh gerila Hezbollah dalam konflik yang berlarutan dari 12 Julai hingga 14 Ogos tahun 2006. Kenyataan ini mungkin mengundang pandangan sinis dari beberapa pihak yang kurang bersetuju malah ‘mencemuh’ sistem persenjataan ini dalam inventori TDM dan mempertikaikan kemampuannya (sila rujuk rencana berjudul ‘blog’ dalam keluaran ini). Apapun jika dilihat kepada kemampuan sistem tersebut ketika pertunjukan kuasa tembak, ia memperlihatkan keupayaan yang amat baik dengan kuasa robekan terhadap armor menggunakan sistem bahan letupan berganda ialah kira-kira 850mm dibelakang blok armor reaktif. Sistem ini juga kompak dan mampu dilancarkan dari atas bahu sekiranya diperlukan, namun dalam keadaan sedemikian kemahiran yang tinggi diperlukan oleh pengendali untuk memusnahkan sasarannya, terutama dari jarak jauh.

Bakhtar Shikan pula adalah sistem peluru berpandu anti-armor atau kereta kebal yang kini dipasangkan di atas kenderaan ADNAN. Sistem buatan Pakistan ini sejhingga artikel ini diterbitkan adalah sistem anti-kereta kebal yang mempunyai jangkauan jarak operasi yang paling jauh dalam inventori TDM. Ia adalah sistem peluru berpandu generasi kedua dengan mengaplikasikan sistem SACLOS. Sistem dibahagikan kepada empat sub-sistem yang boleh diceraikan dan dipikul oleh infantri sekiranya diperlukan. Ianya adalah tiub yang mengandungi peluru berpandu, sistem goniometer infra-merah (alat untuk mengukur sudut dan jarak objek) , sistem panduan dan arahan serta sistem tripod darimana sistem peluru berpandu akan dilancarkan. Penggunaan sistem ini tidak banyak berbeza dengan sistem-sistem peluru berpandu SACLOS lain yang dimiliki oleh pihak TDM. Apa yang dilakukan oleh pengendali ialah melihat melalui kanta sistem goniometer dan melepaskan tembakan. Sebaik peluru berpandu dilancarkan, beliau akan meletakkan garisan tenangan pada sasaran dan isyarata akan dihantar kepada peluru berpandu melalui sistem wayar data untuk mengikuti arah halatuju titik tenangan sehinggalah iamengenai sasaran. Dengan diameter 120mm, kuasa robekan Bakhtar Shikan mampu mencapai sehingga 800mm dan ujian yang telah dilaksanakan mendapati bahawa kuasa robekan ini masih mampu mencapai 180mm menembusi besi waja padu walaupun peluru berpandu mengenai sasaran pada sudut 68 darjah. Keseluruhan sistem tiub peluru berpandu mempunyai berat 25kg dengan berat peluru berpandu sahaja setelah dilancarkan adalah 11.2kg. bahagian hadapan peluru berpandu berbentuk lonjong menandakan sistem bahan letupan berganda yang mampu menembusi kereta kebal yang dilengkapkan dengan sistem blok armor reaktif. Setiap sebuah kenderaan ADNAN Bakhtar Shikan dipercayai membawa sejumlah lapan peluru berpandu siap untuk digunakan. Sehingga kini TEMPUR belum pernah menyaksikan anggota-anggota mekanise menggunakan atau melancarkan peluru berpandu ini dengan menggunakan sistem tripod atau kaki tiga. Keupayaan ini adalah merupakan satu ciri yang amat berguna dan pasukan mekanise seharusnya berkemampuan untuk berbuat demikian. Ini disebabkan mungkin terdapat keadaan bilamana penggunaan sistem ADNAN untuk membawa sistem Bakhtar Shikan menghampiri musuh adalah sukar dilaksanakan atas sebab-sebab taktikal. Contohnya apabila penguasaan ruang udara secara mutlak telah dapat dicapai oleh musuh, atau pihak Grup Artileri pertahanan Udara TDM atau GAPU tidak mampu memberikan perlindungan udara kepada pergerakan ADNAN ke kawasan garis hadapan, selain anggota mekanise mahu mengekalkan faktor kejutan bagi menyerang hendap konvoi armor musuh dari posisi strategik yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan ADNAN seperti di tebing curam atau kawasan yang dipenuhi pokok.

Merangka doktrin & mempertingkat keupayaan

Dalam penggunaan sistem-sistem pelancar roket grened dan peluru berpandu anti-kereta kebal TDM, seperti yang telah diperjelaskan dengan kesemua sistem persenjataan, sistem optik pengimejan haba mahupun pandangan malam tidak pernah dipertontonkan kepada umum mahupun pihak media. Keupayaan pengoperasian pada waktu malam adalah satu faktor yang dirasakan perlu bagi kesemua sistem anti-armor yang dimiliki oleh pihak TDM. Adalah kurang bijak untuk mengatakan bahawa peperangan pada masa hadapan sekiranya ia berlaku di kawasan persempadanan negara akan hanya berlaku pada waktu siang. Malah pemikir doktrin dan taktikal TDM tentunya arif bahawa jika musuh mengetahui akan ciri-ciri kemampuan sistem persenjataan seperti sistem anti-armor hanya boleh diguna pakai dengan efektif pada siang hari sahaja, maka musuh tentunya akan cuba mempergunakan kelemahan tersebut bagi mencapai hasrat atau niat buruknya. TDM harus belajar untuk mengadaptasikan doktrin peperangan moden dengan menganalisa serta mengkaji doktrin peperangan darat pihak-pihak yang terlibat dengan pelbagai konflik di serata pelusuk global, terutamanya di kawasan-kawasan yang mempunyai cuaca, bentuk muka bumi dan flora yang dilihat tidak banyak berbeza dengan keadaan di negara ini. Contohnya adalah seperti konflik di Afrika tengah, bahagian Amerika tengah dan selatan serta di beberapa kawasan pasifik. Selain itu kajian juga mestilah melibatkan doktrin armor dan anti-armor yang diguna pakai oleh negara-negara kuasa besar dunia mahupun negara serantau, selain dari kumpulan-kumpulan militia dan juga gerila. Umpamanya sejak tahun 90an, pihak infantri atau tentera darat Amerika Syarikat telah memberikan lebih tumpuan terhadap kemampuan untuk melaksanakan operasi di waktu malam. Malah jika satu perkataan yang sesuai untuk melambangkan kemampuan ini, ianya adalah ‘We Own The Night’. Cogan kata ‘We Own The Night’ atau ‘malam adalah milik kami’ merupakan istilah yang telah diadaptasikan oleh tentera darat Amerika bagi menjelaskan tumpuan utama operasi-operasi darat hari ini dan juga masa hadapan mereka.

Dengan menggunakan kelebihan penggunaan sistem pandangan malam atau pengimejan haba pada anggota, kenderaan, dan juga persenjataan, ia akan membolehkan infantri melaksanakan operasi secara besar-besaran sepertimana yang dilakukan pada siang hari. Kelebihan beroperasi pada waktu malam terhadap musuh yang tidak mempunyai keupayaan sama adalah ibarat berperang dengan sibuta. Faktor kejutan, daya mobiliti dan kemampuan memusnah musuh yang seakan tidak mempunyai mata akan memberikan kelebihan dan inisiatif pertempuran kepada pihak Amerika. Bagi satu kumpulan tentera yang tidak dilengkapkan dengan sistem sedemikian, serangan oleh pihak tentera Amerika secara tiba-tiba dalam kegelapan malam dengan tidak diketahui bilangan dan arahnya akan membuatkan keadaan menjadi kelam-kabut dan tidak menentu. Anggota kumpulan itu juga juga akan mempunyai semangat juang yang rendah kerana gagal mengetahui kedudukan sebenar musuh mereka dan berkemungkinan besar tertembak sesama sendiri akibat kekeliruan.

Bagi merealisasikan objektif ‘memiliki malam’, tentera darat Amerika hari ini telah memperuntukkan sejumlah besar dari bajet mereka kepada memperolehi sistem-sistem pandangan malam atau pengimejan haba yang lebih canggih berbanding suatu masa dahulu. Jika pada suatu masa dahulu sistem pandangan malam kurang diberikan perhatian, melainkan untuk pasukan khas, hari ini jika dilihat kelengkapan infantri Amerika Syarikat di Afghanistan dan Iraq, hampir kesemua infantri tentera daratnya mempunyai helmet atau topi keselamatan yang boleh diselitkan dengan sistem pandangan malam. Ini membuktikan bagaimana doktrin tersebut kini dipraktikkan secara meluas. Kini tentera darat Amerika Syarikat mempunyai kira-kira 300,000 gogel pandang malam dan jumlah ini walaupun mungkin dianggap sebagai besar bagi umum, masih belum memenuhi kehendak mereka yang menetapkan jumlah sepatutnya adalah 416,000 dengan setiap gogel dianggarkan mempunyai kos USD2,500. Selain itu firma-firma pertahanan Amerika Syarikat yang bekecimpung dalam bidang alat pandang malam dan pengimejan haba sedang berusaha untuk memperkenalkan satu sistem pandang malam yang bakal menggabungkan sistem pengumpulan pencahayaan dari cahaya bulan dan bintang bersama-sama sistem inframerah. Sistem baru ini dikenali sebagai ENVG atau ‘Enhanced Night Vision Goggle’. Setiap satu dianggarkan bakal menelan belanja sekurang-kurangnya USD8,000. Kos perolehan yang tinggi dan sekatan-sekatan tertentu yang dikenakan terhadap produk berkaitan pertahanan yang boleh diperolehi oleh Malaysia di pasaran terbuka adalah sesuatu yang menyukarkan perolehan peralatan seperti gogel pandang malam kepada pihak infantri. Satu lagi kekangan ialah sikap pemikir-pemikir polisi ketenteraan di negara ini yang dilihat lebih memberikan fokus kepada perolehan-perolehan mega dan tidak berminat atau mungkin tidak mempunyai pengetahuan yang sepatutnya untuk melihat bagaimana perolehan mikro juga adalah apa kritikal kepada pertahanan negara.

Selain dari kemampuan untuk ‘memiliki malam’, corak peperangan anti-kereta kebal dan armor juga dilihat telah melalui proses evolusi yang amat menarik. Salah satu pengajaran yang paling berguna dari konflik di Lubnan, Iraq dan Afganistan ialah bagaimana doktrin peperangan konvensional yang diguna pakai untuk menentang atau memusnahkan sistem kereta kebal adalah kurang efektif jika dibandingkan dengan doktrin peperangan tidak simetri atau gabungan antara keduanya. Jika di Iraq dan Afghanistan, penggunaan sistem periuk api atau jerangkap samar bahan letupan (IED) adalah amat efektif. Malah jika diteliti dari kesemua rekod pertempuran kereta kebal-kereta kebal yang berada dari tangga teratas hingga kebawah dalam senarai Forecast International (iaitu kereta kebal yang pernah diuji pengggunaannya di medan pertempuran hakiki), kesemuanya telah pernah mengalami kemusnahan keseluruhan atau kerosakan teruk mahupun kematian kepada krew disebabkan oleh penangan periuk api dan IED. Memandangkan sebahagian besar dari kereta kebal hari ini adalah versi yang telah dipertingkatkan bahagian armornya, bukan sahaja di bahagian turet tetapi juga di lantai, maka sistem periuk api anti-kereta kebal tradisioanl juga mungkin sudah tidak lagi memadai. Untuk mendapatkan kemusnahan keseluruhan kereta kebal, kombinasi beberapa periuk api atau yang digabungkan dengan peluru artileri atau bahan letupan lain perlu digunakan.

Di Lubnan, gerila Hezbollah menggunakan taktik yang agak sama tetapi mempunyai perbezaannya tersendiri. Memandangkan gerila Hezbollah mempunyai sistem persenjataan yang lebih mantap, maka mereka akan menggunakan sistem IED sebagai senjata utama untuk menghentikan kemaraan musuh. Sebaik kereta kebal utama paling hadapan dimusnahkan, konvoi tersebut akan dihujani dengan pelbagai jenis sistem atau peluru berpandu anti-kereta kebal dari kedudukan statik yang tersembunyi. Selain itu pasukan mortar akan turut membedil kawasan persekitaran di mana kereta kebal musuh yang rosak berada bagi tujuan menghalang anggota infantri dari membantu atau membawa keluar krew kereta kebal yang mendapat kemalangan jiwa. Apakah infantri TDM bakal turut sama mengikut jejak gerila Hezbollah dalam usahanya untuk menghentikan pembolosan sejumlah besar kereta kebal musuh hanyalah diketahui oleh mereka sendiri. Jika ini mahu dilaksanakan maka TDM perlu mencari jalan yang terbaik untuk mencapai objektif tersebut, terutamanya dengan memperolehi sistem periuk api yang terkini dan efektif terhadap kereta kebal-kereta kebal yang wujud dalam inventori serantau mahupun global. Pemilihan doktrin dan taktik yang tepat disamping sistem persenjataan yang releven adalah kunci kepada keupayaan pasukan infantri dalam menangani masalah kereta kebal. Asimilasi ataupun integrasi unit-unit infantri, mekanise dan armor dalam menghadapi ancaman kereta kebal turut memainkan peranan dalam apa juga doktrin dan taktik pertempuran yang akan dipraktikkan oleh TDM. Perkara sama turut diperlukan dari cabang-cabang laut dan udara yang sudah pasti terlibat sama sekiranya konflik yang dihadapi negara adalah merupakan ancaman dari kuasa luar.

Sumber : Tempur

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 ulasan: on "Persediaan Tentera Darat Malaysia - Memusnahkan Kereta Kebal"

Kimie Soon Jung berkata...

assalammualaikum,setakat nie kite tengok itu yang ada didepan mata kite tapi di belakang kite...????takkan semua benda kite nak tunjuk apa orang macam AMERIKA SYARIKAT..banyak lagi di simpan pada deport2 simpanan yang ada diMALAYSIA..so,sokongla ATM kite DAN PAS....

Catat Ulasan