|
JOHOR BAHRU 25 Julai - Seorang anak pesara polis dan seorang anak anggota polis dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.35 kilogram, dua tahun lalu.
Dalam kejadian tersebut, dadah tersebut diselitkan di bahagian pinggang masing-masing dipercayai untuk diseludup ke Indonesia melalui terminal feri di Stulang Laut.
Hakim Samsudin Hassan memutuskan demikian terhadap Abang Firdaus Abang Jemain, 24, dan Allison Anak Isa, 23, yang berasal dari Sarawak setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Kedua-duanya disabitkan bersalah mengedar methamphetamine masing-masing seberat 666 gram dan 681.8 gram di Terminal Feri The Zon Stulang Laut di sini pada pukul 9 pagi, 14 Julai 2009.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azlan Shah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Samsudin berkata, kedua-dua tertuduh disabitkan dengan kesalahan itu setelah keterangan pembelaan mereka gagal menafikan pemilikan dadah tersebut serta pengedaran dadah yang diikat pada tubuh mereka.
''Jumlah dadah yang dibawa juga adalah besar dan bukan untuk kegunaan sendiri tetapi bagi tujuan pengedaran. Hanya satu hukuman bagi kesalahan ini iaitu hukuman gantung sampai mati,'' katanya.
Kedua-dua tertuduh yang memakai baju kemeja putih dengan masing-masing berseluar biru dan hitam kelihatan tenang semasa hukuman dibacakan, namun air mata Abang Firdaus dan Allison kelihatan bergenangan ketika menoleh ke arah ahli keluarga mereka.
Beberapa anggota keluarga tertuduh yang duduk di galeri awam turut kelihatan menitiskan air mata, malah ada yang terus melangkah keluar dari mahkamah.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Roy Anak Gingkoi dan dan A. Vasudevan.
Mengikut fakta kes, ketika ditahan Abang Firdaus yang merupakan pekerja kilang memiliki lima paket besar dadah jenis methamphetamine seberat 666 gram manakala Allison seorang penganggur memiliki dadah seberat 681.8 gram yang diselit di bahagian pinggang mereka.
0 ulasan: on "Dua anak anggota polis dihukum gantung"
Catat Ulasan