DUNIA akademik sebenarnya menuntut kita bukan sahaja berilmu, berintergriti dan beretika, bahkan menjadi penjana, pembina ilmu dan akal budi, sekali gus pembentuk sahsiah mahasiswa. Sesungguhnya, dunia akademik perlu menjadi ikon yang disegani oleh masyarakat kerana ketinggian jati diri dan integriti yang tiada tolok bandingnya.
Justeru, apa yang dikatakan sebagai budaya 'boncengan gratis' oleh Prof. Muhammad Syukri Salleh (USM) (Utusan Malaysia, 20 Julai 2011) memang tidak menghairankan. Bahkan budaya hendak cepat lulus dan memperoleh gred baik tanpa banyak berfikir dan berhempas pulas, dan hendak cepat segala-galanya sudah sebati di kalangan mahasiswa dan ahli akademik muda kita.
Ia amat menakutkan jika ia menjadi budaya dan trend yang menular seolah-olah profesyen akademik ini boleh di materikan.
Banyak faktor menyebabkan hal ini berlaku apabila dunia akademik kini sudah dibelenggu dengan pendekatan Barat - 'publish or perish' dan walaupun ia baik, kegilaan menghasilkan penerbitan dan penyelidikan bermutu amat dipedulikan.
Yang penting jumlah artikel, penerbitan dan penyelidikan yang banyak dan dalam tempoh yang pendek perlu dijanakan. Jika boleh menjadi seorang Profesor Madya dan Profesor dalam waktu yang pendek lebih baik asalkan jumlah markah mencukupi.
Ia dipermudahkan jika amalan boncengan gratis menjadi satu norma dan faktor sokongan dan direstui oleh pihak pengurusan atasan sebagai kriteria naik pangkat. Maka lahirlah kumpulan kreatif lagi inovatif membantu teman masing-masing tanpa penat lelah sebenarnya. Lalu wujud amalan 'saya tolong anda' dan sebagainya dalam kemelut boncengan gratis.
Akibatnya, keperihalan amalan tidak sihat ini kini sudah melahirkan kebimbangan seolah-olah dunia akademik sudah menjadi wadah persaingan sengit dan gelanggang mengumpul mata/markah tanpa banyak hempas pulas.
Walaupun tempoh perkhidmatan di universiti masih setahun jagung dan masih mentah lagi! Sekali gus, persaingan mengejar pangkat dan status akademik dalam tempoh yang agak pendek dalam konteks amalan asyik mengira markah dan kesediaan mencari peluang dan ruang untuk bersama mengamalkan boncengan gratis lalu menunggu tanpa sabar memohon jawatan yang lebih tinggi menjadi impian mereka.
Apakah ini kesarjananaan yang sebenarnya di pupuk dan diasah sekian lama bukan amalan short cut?
Dalam hal ini, siapakah perlu di persalahkan jika amalan boncengan gratis berleluasa? Adakah para akademik atau sistem kepengurusan kriteria kenaikan pangkat yang perlu dilihat semula? Bahkan amalan ketidakseragaman dalam hal kriteria kenaikan pangkat dan sebagainya di antara universiti amat membimbangkan.
Ada berlaku kes, dalam hal tertentu, seseorang boleh dinaikkan pangkat ke jawatan tinggi akademik dalam tempoh sesingkat kerana ia memegang jawatan kepengurusan lalu dengan mudah diberikan jawatan tertinggi akademik? Jika kekananan tidak diambil kira, maka gejala "jalan pintas" berlumba-lumba mahu naik pangkat akademik tinggi akan menjejaskan dunia akademik keseluruhannya.
Sewajarnya, kenaikan pangkat mesti ambil kira kekanaan dan kesarjannanya bukan sebaliknya? Seseorang itu mesti dikenali ramai dan diakui kesarjannaannya di kalangan komuniiti kepakaran/kesarjanaan mereka.
Malangnya fenomena ini menghalalkan kesarjanaan bukan diukur daripada titik peluh kita sebagai seorang sarjana yang disegani, diakui kepakarannya dan berintegriti sambil memacukan kesarjanaan dengan teori mahupun kepakaran masing-masing malah banyak berdasarkan boncegan gratis yang tidak membantu menjana keilmuan yang boleh dipertanggungjawabkan.
Bahkan, jika kebolehan dan tempoh pengajaran dan sekali gus perkhidmatan diambil kira, dunia akademik sebenarnya penuh peristiwa yang menghairankan lagi tidak munasabah?
Kemelut 'boncengan gratis' sebenarnya sudah berleluasa dan penyelesaiannya perlu dilihat dari perspektif luas jika kita ingin melenyapkan amalan tidak beretika ini.
Mungkinkah amalan kenaikan pangkat pegawai tadbir (PTD) dijadikan kayu ukuran dalam konteks tempoh perkhidmatan dan kesarjanaan seseorang ahli akdemik. Untuk kenaikan Profesor/Prof Madya paling kurang perkhidmatan sekitar tidak kurang 10 tahun.
Dan penerbitan boncengan mesti diselidikki siapa yang berhempas pulas bukan sekadar menenggek sahaja! Bahkan, dalam konteks ini, boncengan tidak boleh diterima sebagai hasil penerbitan kecuali ada tanda/bukti penglibatan total sebenar seseorang itu .
Keperluan sekurang-kurangnya sebuah atau dua buku sebagai penerbitan mesti diwajibkan untuk kenaikan pangkat tinggi seperti lazim diamalkan kerana ia membawa implikasi besar usaha melenyapkan keperluan hanya menghasilkan artikel dalam jurnal sahaja.
Sekali gus, profesi mereka dan bidang kepakaran/kesarjanaan seseorang ahli akademik mesti dikenal pasti dan dapat di pertanggungjawabkan bukan sekadar mengira jumlah markah sahaja. Bahkan, karya asli individu atau bersama teman serta mahasiswa mesti mengatasi pertimbangan boncengan ramai yang banyak di salahgunakan untuk tujuan kenaikkan pangkat.
Pendeknya, biarlah dunia akademik kita dilihat satu profesyen yang mulia dan kesarjanaan seseorang itu diakui dan diterima oleh bukan sahaja dunia atau komuniti akademik bahkan seluruh stakeholder dan segenap lapisan masyarakat.
Masyarakat memerlukan khidmat bakti para sarjana ke arah mencemerlangkan negara bangsa bukan sebaliknya. Justeru, profesyen para akademik mesti dimartabatkan bukan di perlecehkan demi mengejar pangkat yang tidak akan lari apabila dikejar.
Bahkan, kita mesti buktikan kesarjanaan semaksimum mungkin sesuai dengan hasrat merakyatkan ilmu dan membumikan/memanfaatkan kesarjanaan dan kepakaran kita. Untuk itu, tiada jalan pintas kecuali berkarya secara konsisten.
0 ulasan: on "Dunia akademik menjanakan persaingan sengit?"
Catat Ulasan