Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Selasa, 26 Julai 2011

Persiapan menyambut Ramadan

TINGGAL lebih kurang seminggu sahaja lagi umat Islam di seluruh dunia akan mula melaksanakan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan. Ia merupakan tuntutan agama yang wajib dilakukan setahun sekali oleh setiap orang Islam yang baligh, berakal serta berkemampuan untuk melaksanakannya.

Hanya golongan tertentu seperti orang tua yang sudah uzur ataupun sakit yang tiada harapan sembuh juga wanita yang dalam keadaan haid dan nifas sahaja dikecualikan daripada berpuasa. Bagaimanapun golongan ini tertakluk kepada kewajipan untuk membayar fidyah ataupun menggantikan puasa pada bulan-bulan yang lain.

Perlu juga difahami betapa ketibaan Ramadan merupakan sebahagian daripada nikmat kurniaan Ilahi yang perlu disyukuri kerana hanya diberikan kepada insan-insan terpilih.

Terdapat di kalangan kerabat, jiran tetangga dan sahabat handai yang pada tahun lalu sama-sama berpuasa dan berhari raya kini telah pergi selama-lamanya menyahut seruan Ilahi sekali gus tidak lagi diberi keistimewaan oleh Allah SWT untuk menikmati anugerah Ramadan.

Justeru peluang keemasan yang datang setahun sekali ini tidak patut dipersiakan dan berlalu pergi begitu sahaja tanpa berusaha untuk melipatgandakan ketaatan.

Tentunya suatu kerugian yang amat besar apabila seseorang ditakdirkan melalui Ramadan hingga kepenghujungnya tetapi tidak beroleh pengampunan dan pembebasan api neraka sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Untuk tujuan itu juga, persiapan rapi bagi menyambut ketibaan Ramadan perlu dilakukan seiring dengan persiapan menjelang hari raya yang terkadang menjadi tujuan utama berpuasa.

Oleh itu setiap umat Islam perlu membersihkan jiwa dan raga daripada pelbagai penyakit mazmumah sebagai persediaan beroleh ganjaran yang tiada tolok bandingnya di bulan Ramadan.

Betulkan niat dan tujuan berpuasa agar menjadi motivasi untuk mempertingkat amal dan kebajikan.

Selain daripada itu persediaan mental dan fizikal turut diperlukan bagi mengharungi jadual padat yang telah ditetapkan. Bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari seseorang perlu menahan diri daripada makan dan minum juga semua perkara yang membatalkan puasa.

Malah bagi mencapai tingkatan puasa khusus seseorang perlu mempastikan seluruh pancaindera terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Begitu juga seseorang yang hanya berpuasa tetapi tidak melaksanakan kewajipan solat dan menutup aurat juga dikhuatiri gagal memperoleh kesempurnaan berpuasa seperti yang diharap-harapkan.

Selain beribadah dengan modal kesihatan umat Islam turut boleh beribadah dengan modal wang ringgit. Kewajipan menunaikan zakat fitrah, memberi sedekah kepada golongan miskin dan memerlukan, memberi makan dan minum untuk orang yang berpuasa semuanya merupakan ibadah yang bersifat materilistik.

Tanpa kemahiran mengurus sumber kewangan yang terhad seseorang mungkin terlepas peluang untuk beribadah menggunakan wang ringgit. Apatah lagi menjelang musim perayaan banyak wang yang akan digunakan untuk tujuan tersebut.

Justeru, asingkan sebahagian wang gaji yang diperoleh untuk terlibat sama menginfaqkan harta di bulan Ramadan yang cukup besar ertinya terutama bagi yang tiada. Malah doa golongan tersebut mampu memberi keberkatan dan kecukupan kepada rezeki yang sedia ada walaupun tampak sedikit di pandangan mata.

Demi untuk merealisasikan tuntutan ibadah pada bulan Ramadan setiap individu Muslim perlu menyediakan perancangan program ibadah sepanjang bulan.

Selain program pelaksanaan ibadah wajib seperti berpuasa di siang hari dan solat lima waktu, banyak ibadah sunat boleh dilakukan. Rancangkan berapa muka surat al-Quran mampu dibaca untuk dapat khatam pada penghujung Ramadan.

Rancangkan pula sejumlah bilangan zikir seperti tahlil, tahmid dan tasbih yang mampu di baca selama sebulan. Malah yang lebih utama persiapan untuk beroleh ganjaran beribadah di Malam Lailatulqadar yang boleh dilakukan dengan berusaha untuk solat tarawih setiap malam. Ini diikuti pula dengan kesanggupan untuk beribadah di sepuluh malam terakhir daripada Ramadan yang berkemungkinan besar berlaku peristiwa lailatulqadar.

Sesungguhnya kegembiraan bertemu Ramadan hanya dapat dirasai oleh individu yang tahu akan berbagai kelebihan yang khusus disediakan dalam bulan tersebut.

Adapun bagi golongan yang lalai dan lemah iman berbagai alasan dan helah mula direka hanya kerana enggan menunaikan kewajipan berpuasa.

Ibadah puasa bagi mereka umpama suatu penyiksaan batin yang tidak tertanggung sehingga tanpa segan silu makan di khayalak ramai tanpa sekelumit rasa berdosa. Seolah-olah mereka nekad ditangkap oleh penguatkuasa agama berbanding melaksanakan ibadah puasa sebagai manifestasi keimanan dan kepercayaan kepada Ilahi.

Marilah kita semua bergembira dengan ketibaan Ramadan al-Mubarak. Marilah kita semua berazam untuk menjadikan puasa tahun ini lebih berkualiti daripada tahun-tahun yang lalu. Ini kerana peluang yang ada semakin terhad berbanding umur dunia yang semakin deras menuju ke penghujungnya.

Malah kegembiraan dan kejayaan sebenar yang bakal dikecapi adalah berpunca daripada kesempurnaan ibadah puasa yang bakal dilakukan demi mencapai makam takwa kepada Allah SWT.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Persiapan menyambut Ramadan"

Catat Ulasan