Persoalan iman dan amalan yang dilakukan oleh para ahli ibadat, tidak akan meningkat mutunya jika tidak disandarkan kepada kefahaman mendalam mengenai ilmu-ilmu Fardu Ain, malah seseorang itu perlu mengetahui sedalam-dalamnya maksud dan tujuan beribadat kepada Allah SWT, ia tidak lain agar hati-hati manusia menjadi lunak, lembut dan sentiasa berhubung dengan-Nya.
Berikut adalah antara pendekatan agama yang menjadi kemestian untuk diketahui, direnungi dan seterusnya diamalkan sebagai satu cara hidup beribadat kepada Allah :
1. Setiap muslim perlu mengetahui, bahawa Allah SWT amat gembira kepada hamba-Nya yang sentiasa memohon dan berhubung dengan-Nya.
2. Setiap muslim juga perlu mengetahui, bahawa segala apa yang menimpa diri adalah hasil dari dosa dan kesalahan yang dilakukan. Hal ini telah diperingatkan Allah menerusi ayat 79 surah an-Nisaa : Apa saja nikmat yang kamu perolehi adalah daripada Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu adalah kesalahan diri kamu sendiri.
3. Semestinya setiap muslim tidak terlibat dalam dosa-dosa besar dan kecil yang berterusan, kerana ia boleh menjadikan seseorang itu jauh dari rahmat Allah dan sentiasa berwaspada dalam hubungan akidahnya dengan Allah.
4. Setiap muslim perlu mengetahui, bahawa dosa-dosa yang dilakukan itu mempunyai banyak rangkaian yang menjurus ke arah neraka, justeru perlu dia menjaga hati, roh dan meyakini bahawa segala kebaikan yang dilakukan mampu menyelamatkannya dari mememasuki api neraka, sehubungan ini, Allah SWT menjelaskan dalam ayat 81 surah al-Baqarah : Sebenarnya, sesiapa melakukan dosa dan dia telah dikuasai oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka dan kekal di dalamnya.
5. Perlu setiap daripada kita mengetahui, bahawa kita sebagai manusia, sentiasa terdedah kepada dosa dan maksiat, ini membuktikan kelemahan diri kita dan sekaligus membuktikan keagungan Allah, justeru kewaspadaan adalah senjata paling utama dalam menangkis segala kekurangan dari sifat-sifat mazmumah.
6. Dalam menjalani proses kehidupan sebagai muslim, kita berada antara dua keadaan, sama ada roh kita akan maju atau sebaliknya, perkara ini dijelaskan oleh Allah menerusi ayat 37 surah al-Muddathir : Iaitu bagi siapa yang ingin maju dengan peringatan atau mundur dengan menolak peringatan.
Faedah yang akan diterima oleh seseorang itu dalam mengamalkan ibadat yang disyariatkan:
1. Jenis ibadat : 12 rakaat solat sunnat rawatib (2 rakaat sebelum Subuh, 4 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat selepasnya, dua rakaat masing-masing selepas Maghrib dan Isyak).
Faedah : Allah SWT membina bagi orang itu mahligai dalam syurga.
Dalil : Nabi s.a.w bersabda : Sesiapa yang melakukan 12 rakaat solat sunnat rawatib akan dibina baginya sebuah mahligai dalam syurga.
2. Jenis Ibadat : Solat 2 rakaat di waktu malam.
Faedah : Doa serta hajat akan terkabul dan dosa akan diampun.
Dalil : Nabi s.a.w bersabda : Allah SWT akan turun tiap-tiap malam ke langit dunia dan apabila sampai 1/3 malam Allah berfirman : Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti Aku perkenankan, sesiapa yang memohon kepada-Nya, akan Aku tunaikan dan sesiapa yang memohon keampunan-Ku, pasti Aku ampunkan dosanya.
3. Jenis Ibadat : Solat Dhuha 2 , 4 atau 8 rakaat, setengah jam selepas Syuruk dan setengah jam sebelum Zuhur.
0 ulasan: on "Tazkirah Jumaat : Beberapa panduan amalan dalam mempertingkatkan iman kita"
Catat Ulasan