|
|
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keberkesanan konsep itu dicapai melalui kerjasama baik antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan agensi penguat kuasa yang berkaitan dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin.
Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan dakwaan pembangkang bahawa kementerian menggunakan perbelanjaan yang tinggi bagi tujuan pembelian aset dan kos pengendalian anggota tentera.
"ATM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum dan perkara itu tiada kompromi.
"Biarpun dari segi aset tidak berada pada tahap yang tinggi, namun apabila dicampurkan dengan kesiapsiagaan personel dan juga aset, kita masih berada pada tahap pertahanan yang tinggi," katanya selepas melancarkan Kompeni Askar Wataniah kawasan Parlimen Kota Melaka di sini hari ini.
Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin.
Pada majlis itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dipakaikan pangkat Brigedier Jeneral Kehormat Askar Wataniah.
Ahmad Zahid mengulas hasil kajian Global Peace Index (GPI) 2011 yang mendapati Malaysia adalah negara paling selamat dan aman di Asia Tenggara dan ke-19 daripada 153 negara di dunia.
Katanya, rakyat seharusnya menolak manipulasi pihak pembangkang mengenai isu perbelanjaan ketenteraan yang sebenarnya berniat mewujudkan rasa kebencian dan bertindak menyalahkan kerajaan dalam semua perkara.
Ini kerana jelas beliau, keupayaan ATM mempraktikkan konsep Hanruh secara berkesan turut diambil kira dalam kajian GPI 2011 dengan melihat faktor perbelanjaan pertahanan negara yang rendah dan tahap kesiapsiagaan yang optimum.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO mengulangi hasrat kementerian yang mahukan lebih ramai kaum Cina dan India menyertai Askar Wataniah.
Ini kerana kata beliau, daripada sejumlah 81,506 anggota Askar Wataniah, cuma kira-kira 5.2 peratus penyertaan kaum Cina dan 4.2 peratus kaum India.
0 ulasan: on "ATM : Hanruh jadikan Malaysia selamat"
Catat Ulasan