Tanggal 27 Disember 2011, KD MAHAWANGSA sekali lagi mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Audit Persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S dan sekali gus menjadi kapal pertama di dalam TLDM yang dipersijilkan dengan Amalan 5S. Keputusan yang cemerlang ini bagaikan simbolik penutup tirai kejayaan bagi tahun 2011. Audit ini telah dilaksanakan oleh Pengarah Bahagian Kualiti Malaysia Productivity Corparation (MPC) Tn. Hj Omar bin Othman.
Audit Dokumentasi Kumpulan Eastin |
Titik permulaan kejayaan ini telah bermula semenjak kapal keluar dari limbungan dan Pegawai Memerintah sendiri telah mula menerapkan sedikit demi sedikit sifat membudayakan Amalan 5S ini kepada seluruh warga kapal. Alhamdulillah atas semangat serta keikhlasan yang wujud dalam diri setiap warga 1MAHAWANGSA, sifat ini mula menyerap ke dalam diri setiap warga dan telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam Latihan Penyesuaian Laut dan dinobatkan sebagai kapal penanda aras serta mendapat gelaran ‘The Best Damn Ship In The Navy’. Semangat ‘kaizen’ yang tersemat dalam diri setiap warga kapal telah membuatkan Pegawai Memerintah untuk meneruskan lagi titik kejayaan KD MAHAWANGSA dengan mendapatkan persijilan Amalan 5S dan bertujuan untuk menjadikan KD MAHAWANGSA sentiasa gemilang di Armada TLDM khasnya dan TLDM amnya.
Jentera Utama Stbd yang sentiasa bersih | Keadaan Bilik Air Bintara yang ceria dan harmoni |
Semangat yang berkobar-kobar warga 1MAHAWANGSA mula membara apabila menerima surat kelulusan untuk dipersijilkan Amalan 5S oleh Bahagian Pengurusan Strategik MkTL pada 27 Okt 11. Mulai dari saat itulah segala perancangan teliti dibuat mengikut prosedur sebenar dan lebih bersistematik mengikut keperluan yang telah ditetapkan oleh MPC. Tempoh untuk dipersijilkan tidak sampai 2 bulan namun atas kesungguhan, komitmen serta keikhlasan seluruh warga 1MAHAWANGSA inilah telah membuatkan KD MAHAWANGSA berjaya dengan cemerlang dalam audit Amalan 5S dalam tempoh masa yang singkat.
Kekemasan dan kebersihan di MCR jelas terserlah |
Lawatan audit persijilan bermula dengan ketibaan Ketua Juruaudit MPC Tn Hj Omar bin Othman beserta konsultan 5S yang dilantik iaitu Pn. Jue Azwa tiba pada jam 0900H. Seterusnya aktiviti bergambar dan pengenalan Tim Pengurusan 5S dilakukan di jeti. Taklimat 5S KD MAHAWANGSA dimulakan pada jam 0930 oleh Ketua 5S Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM. Turut sama memberi taklimat ialah Ketua AJK Induk 5S yang terdiri daripada Lt Kdr Dzulkarnain bin Ismail TLDM (AJK Latihan), Lt Kdr Mohamad Hazril bin Fadzil TLDM (AJK Promosi) dan Lt Hairry bin Rosli TLDM (AJK Audit). Taklimat yang mengambil masa lebih kurang sejam berakhir pada jam 1030.
Seterusnya audit dokumentasi oleh Ketua Juruaudit bermula pada jam 1100H setelah Tim Pengurusan 5S dan Ketua Juruaudit menjamah jamuan ringan. Ketua Juruaudit telah memeriksa kesemua Fail Induk serta dua Fail Kumpulan 5S yang dipilih secara rawak. Pemeriksaan dokumentasi ini adalah bahagian paling penting dalam proses audit, ini kerana dari sini segala rentetan perjalanan 5S kapal dapat dijelaskan dengan terang berdasarkan Carta Perbatuan, minit mesyuarat dan lain-lain.
Lawatan Audit 5S dilakukan setelah selesai pemeriksaan dokumentasi pada jam 1250H. Dengan diiringi oleh Pegawai Memerintah, AJK Induk, Ketua Jabatan dan Pn Jue Azwa, lawatan bermula dari geladak bawah iaitu Bilik Kawalan Jentera diikuti dengan Stor OSL, Gedung Senjata, Surau, Mes Laskar, Kamar Pegawai, Kamar Bintara, Rumah Masak, Bilik Air Bintara dan pelbagai tempat lagi sehinggalah akhirnya selesai di Anjungan. Di dalam lawatan tersebut Ketua Juruaudit telah melakukan ‘Ujian Masa 30 Saat’ terhadap Pemilik Proses di zon atau kompartmen yang terpilih di dalam proses pengambilan fail/dokumen. Berikut hasil keputusan ujian masa yang dilakukan:
Bil | Pemilik Proses | Lokasi | Ujian | Masa |
1. | BK TMK Nazli | Pejabat DCHQ | Mengambil Manual Peralatan | 19 saat |
2. | Sjn Amran | Rumah Sakit | Mengambil BAT F4 warga kapal | 6 saat |
3. | LK JTP Halisam | Anjungan | Mengambil Carta MAL 635 (Pulau Tioman) | 6 saat |
Rumah Masak yang sentiasa kemas dan bersih menjamin kesihatan |
Taklimat Ketua Juruaudit telah dilakukan di Geladak Kereta Kebal pada jam 1630H di hadapan seluruh warga kapal. Taklimat yang meliputi dari keseluruhan aspek 5S seperti dokumentasi, lawatan, susun atur, kebersihan dan lain-lain. Sebelum mengakhiri taklimat, Ketua Juruaudit telah mengumumkan keputusan Lawatan Audit Persijilan 5S dengan keputusannya adalah ‘LULUS’. Wajah kegembiraan dan senyuman kepuasan jelas terpancar di muka warga 1MAHAWANGSA setelah mendengar keputusan Ketua Juruaudit, ini kerana pengorbanan warga kapal dirasakan adalah berbaloi setelah banyak meluangkan masa, bersengkang mata sehingga subuh dan sanggup datang ke kapal pada waktu cuti untuk menyiapkan zon masing-masing agar mencapai objektif yang disasarkan.
Ketua Juruaudit menandatangani Buku Pelawat | Penyampaian cenderahati kepada Ketua Juruaudit |
Ucapan penutup oleh Pegawai Memerintah menandakan Lawatan Audit Persijilan 5S pada hari tersebut telah berakhir dan Pegawai Memerintah berharap agar Amalan 5S ini tetap berterusan oleh warga kapal dan kepada yang akan bertukar keluar teruskan amalan ini di unit baru. Sebelum majlis selesai Pegawai Memerintah sempat menyampaikan cenderahati kepada Ketua Juruaudit Tn. Hj Omar bin Othman.
Kini warga Navy People dan orang luar boleh melayari blog yang disediakan sempena Amalan 5S di www.kdmahawangsa.blogspot.com untuk mengetahui segala maklumat serta aktiviti mengenai Amalan 5S kapal dan pelbagai info menarik juga turut dimuatkan di dalam blog ini.
Tahniah dan Bravo Zulu kepada warga 1MAHAWANGSA
atas kerjasama yang diberikan.
‘Persekitaran Berkualiti, Warga Berinovasi’
Sumber Oleh : Lt Kdr Mohamad Hazril bin Fadzil TLDM (Ketua Tim Promosi)
0 ulasan: on "TLDM : KD Mahawangsa Menutup Tirai 2011 dengan penuh kegemilangan"
Catat Ulasan