BEGITU cemas dan gusar sekali rakyat Malaysia mengikuti perkembangan
yang berlaku di pantai timur Sabah kerana begitu asing sekali bagi mereka
berhadapan dengan senario yang begitu mencabar keselamatan dan kedaulatan
negara.
Enam dekad telah berlalu di mana suasana getir yang pernah dilalui oleh
rakyat Malaysia ketika tercetusnya apa yang digelar konfrontasi dan juga era
darurat menentang ancaman komunis.
Sememangnya tidak boleh dipersalahkan rakyat Malaysia apabila mereka
mempunyai perasaan cemas sedemikian rupa kerana sudah begitu sebati dengan
kemakmuran yang dinikmati.
Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan
Kawasan Keselamatan Khas (KKK) pada 7 Mac lalu,
ramai yang tertanya-tanya apakah keadaan keselamatan sudah tidak terkawal
sehinggakan memerlukan KKK diwujudkan meliputi kawasan dari Kudat ke Tawau, merangkumi Sandakan, Semporna,
Lahad Datu dan Kunak dengan pusat operasinya di Lahad Datu.
Tetapi perlu ditekankan bahawa penubuhan KKK bukan sesuatu yang baru dan
aneh bagi Malaysia kerana pada 1972 Kawalan Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom)
telah diwujudkan untuk menangani isu ancaman komunis.
Kawalan Rascom meliputi kawasan Sibu, Kanowit, Oya, Dalat, Bintagor,
Sarikei, Julau, Song dan Kapit yang diisytiharkan sebagai Kawasan Keselamatan
Istimewa (KKI) oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Abdul Razak Hussein.
Strategi KKI melalui Rascom bukan sahaja berjaya mengekang pengaruh
komunis di Sarawak tetapi juga memainkan peranan penting apabila berhadapan
dengan era Konfrontasi dengan Indonesia.
Setelah lima dekad berlalu KKK diwujudkan dengan matlamat yang hampir
serupa seperti mana KKI tetapi dengan beberapa pembaharuan mengikut kehendak
semasa. Tidak dapat dinafikan bahawa dengan adanya KKK ini penambahan anggota
keselamatan seperti polis dan tentera di kawasan terlibat akan meningkat dengan
mendadak. Kehadiran anggota keselamatan dengan ketara adalah salah satu dasar
asas KKK.
KKK kali ini tidak hanya melibatkan secara langsung dua kementerian
utama iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (Kementah) tetapi turut
merangkumi kerjasama dengan beberapa agensi yang berada di luar kedua-dua
kementerian tersebut.
Tidak syak lagi organisasi seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela)
akan digunakan sebagai pertahanan barisan pertahanan ketiga. Begitu juga
dengan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) yang mempunyai pengalaman berhadapan
dengan krisis bencana alam akan digunakan sebagai sebahagian daripada Unit
Maklum Balas Krisis.
Tetapi intipati strategi KKK yang dikatakan paling menarik adalah
penglibatan secara langsung oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) di seluruh Sabah dalam setiap aktiviti bagi menjamin kejayaan hasrat
penubuhan KKK.
Penglibatan JKKK akan memastikan bahawa setiap keputusan dan strategi
mengenai keselamatan akan dengan mudah dihayati dan dipraktiskan oleh penduduk
tempatan yang terlibat.
Ini secara tidak langsung akan memastikan bahawa isu keselamatan tidak
akan hanya dipikul oleh anggota keselamatan secara tersurat tetapi juga oleh
rakyat setempat secara tersirat.
Bukan mudah untuk mengawal perairan
pantai timur Sabah agar tidak dicerobohi walaupun banyak mana anggota
keselamatan, kapal perang atau kapal terbang digunakan kerana penceroboh
menyusup masuk dalam kumpulan yang kecil.
Sebab itu penduduk tempatan perlu memainkan peranan bersama-sama menjaga
keselamatan dan kedaulatan negara dengan menjadi mata dan hati dengan
melaporkan segala aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa keselamatan. KKK
melalui JKKK adalah kaedah terbaik merealisasikan cita-cita tersebut.
Memang benar senario kehidupan terutama sekali di pantai timur Sabah
akan berubah akibat tindakan pengganas menceroboh dan mencabar kedaulatan
negara. Penubuhan KKK bukan sahaja dianggap sebagai keputusan strategik tetapi
yang lebih penting ia melibatkan tiga komponen yang
penting iaitu polis, tentera dan orang awam.
Kerjasama di antara ketiga-tiga komponen ini bukan sesuatu yang janggal
bagi kerajaan kerana konsep ini telah lama dipraktiskan dan ia merupakan salah
satu asas Dasar Pertahanan Negara (DPN).
Secara spesifiknya kerjasama ketiga-tiga komponen dalam KKK adalah apa
yang dikenali sebagai Pertahanan
Menyeluruh atau dengan nama singkatannya HANRUH.
Konsep Hanruh seperti yang terkandung dalam KKK mula diperkenalkan di
Malaysia sejak 1986 lagi dan negara seperti Denmark, Sweden dan juga Singapura
begitu aktif mengamalkan konsep serupa terhadap rakyat mereka.
Perlu diungkitkan kembali iaitu ketika Eksesais Bersatu Aman dilancarkan pada 2 Julai 2008 lepas
ramai rakyat yang terpinga-pinga dan mempersoalkan keperluan latihan
bersepadu gabungan di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan tentera
Malaysia (ATM) khusus untuk mengawal keselamatan awam.
Kerjasama polis dan tentera adalah salah satu tumpuan utama Hanruh
tetapi ia hanya melibatkan dua komponen sahaja.
Eksesais gabungan PDRM dan ATM tersebut sebenarnya banyak tertumpu
kepada aspek penyelerasan arahan pemerintahan kerana kedua-dua organisasi
tersebut mempunyai struktur pengurusan yang amat berbeza dan kerjasama dua
organisasi keselamatan utama tersebut adalah antara tunggak penting Hanruh.
Sekarang adalah masa terbaik untuk menerapkan konsep Hanruh kepada
seluruh rakyat Malaysia dan kewujudan KKK adalah satu permulaan yang baik.
Memandangkan pengamalan strategi Hanruh melalui KKK merupakan salah satu
daripada tiang doktrin pertahanan negara, maka sewajarnya rakyat memberi
sokongan tanpa berbelah bagi.
Walaupun Ops Daulat sudah hampir berjaya menumpaskan pengganas yang
menceroboh, tetapi selepas ini rakyat Malaysia akan sentiasa berhadapan dengan
cabaran yang lebih berat dan di sinilah kepentingan Hanruh dalam KKK supaya
jati diri setiap rakyat Malaysia sentiasa kental dan berwaspada menghadapi
ancaman.
PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.
0 ulasan: on "KKK bantu banteras pencerobohan"
Catat Ulasan