INSIDEN yang kita hadapi sekarang iaitu pencerobohan kumpulan bersenjata
terdiri hampir 200 orang Islam dari selatan Filipina dan mendakwa sebagai
tentera Kesultanan Sulu mempunyai sejarah tersendiri yang relevan dan berkait
rapat dengan penubuhan Malaysia serta pembentukan negara Filipina moden.
Sebelum Malaysia diwujudkan pada 16 September 1963, Sabah yang dikenali
sebagai Borneo Utara British merupakan sebuah wilayah di bawah pemerintahan
kolonial Inggeris. Kedudukan Borneo Utara British yang begitu hampir dengan
selatan Filipina menjadikan sempadannya, seperti dikatakan banyak pihak, bolos
atau mudah ditembusi.
Pada ketika itu, seolah-olah tiada sempadan yang kukuh memisahkan
kedua-dua wilayah itu. Hanya Laut Sulu yang menjadi sempadan. Keadaan geografi
yang sedemikian memudahkan penduduk dari selatan Filipina memasuki Borneo Utara
British sehingga menyebabkan masyarakat yang berasal dari Sulu menjadi kumpulan
etnik ketiga terbesar di negeri itu selepas kaum Kadazandusun dan Cina. Malah,
majoriti umat Islam di Sabah hari ini berasal dari selatan Filipina. Itu memang
fakta sejarah.
Era Filipina sebagai sebuah republik yang bebas dan merdeka bermula pada
1946. Sebelum itu, negara berkenaan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat iaitu
Sepanyol (1565-1821) dan Amerika Syarikat (1898-1946). Saya pernah terbaca
dalam sebuah buku yang menyatakan Manila yang kini menjadi ibu negara Filipina
pernah diperintah oleh seorang sultan.
Mungkin sistem kesultanan yang diamalkan oleh wilayah-wilayah lain di Filipina
sebelum kepulauan itu dijajah Sepanyol bukan terhad di kawasan selatan sahaja.
Namun, hanya Kesultanan Sulu yang masih lagi wujud dan kawasannya
meliputi Sulu, Basilan, Palawan dan Tawi-Tawi. Dalam situasi yang kita hadapi
sekarang, waris-waris Kesultanan Sulu mendakwa mereka mempunyai hak yang sah ke
atas Sabah dan berhasrat menjadikannya sebahagian daripada kawasan di bawah
naungan kesultanan itu.
Hasrat menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara
British dan Sarawak disuarakan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman
Putra al-Haj, ketika berucap dalam satu majlis yang dianjurkan Persatuan
Wartawan Asing Asia Tenggara di Singapura pada 1961. Indonesia dan Filipina
menunjukkan reaksi yang agak cepat dan keras terhadap idea tersebut. Indonesia
yang pada ketika itu di bawah pentadbiran Presiden Sukarno menuduh penubuhan
Malaysia sebagai penjajahan bentuk baharu atau neokolonialisme.
Pentadbiran Presiden Diosdado Macapagal dari Filipina pula tidak
bersetuju kerana pada pandangannya, pemerintah Filipina yang mewakili
Kesultanan Sulu mempunyai hak ke atas Borneo Utara British. Bantahan itu
diasaskan kepada satu perjanjian yang ditandatangani antara Kesultanan Sulu dan
Syarikat Borneo Utara British pada 1878.
Berdasarkan perjanjian itu, Borneo Utara British adalah sebahagian
daripada wilayah Kesultanan Sulu. Terdapat kemungkinan kerajaan Filipina telah
dihubungi waris-waris Kesultanan Sulu dan mereka meminta Macapagal menyuarakan
tuntutan mereka terhadap Borneo Utara British secara terbuka serta menjadikan
tuntutan itu sebahagian daripada dasar luar Filipina terhadap penubuhan negara
Malaysia.
Pengisytiharan penubuhan Malaysia yang dianggotai Persekutuan Tanah
Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 disahut dengan
konfrontasi oleh Indonesia. Beberapa rundingan tiga penjuru antara Tunku Abdul
Rahman, Macapagal dan Sukarno diadakan di beberapa lokasi termasuk di Bangkok
dan Tokyo namun tidak meredakan tentangan kedua-dua negara itu.
Pungutan suara yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
pada masa itu mengesahkan majoriti penduduk di Sabah dan Sarawak mahu merdeka
daripada pemerintahan kolonial British menerusi penyertaan dalam Malaysia.
Macapagal terpaksa menerima keputusan pungutan suara itu tetapi sehingga
sekarang, kerajaan Filipina masih belum menarik balik tuntutannya terhadap
Sabah.
Ketegangan antara Filipina dan Malaysia nampaknya seperti sudah reda
tetapi sebenarnya belum reda lagi. Bagi Indonesia, dasar konfrontasi tamat
dengan berakhirnya pemerintahan Sukarno pada 1965.
Apabila Ferdinand Marcos menjadi Presiden Filipina mulai 1965 hingga
1986, tuntutan ke atas Sabah dihangatkan semula. Pendekatan Marcos yang
bersifat autokratik itu tidak sama dengan Macapagal yang lebih mengutamakan
diplomasi.
Marcos kelihatan menggalakkan waris Kesultanan Sulu menuntut Sabah dan
sikap Marcos ini menimbulkan masalah dalam hubungan antara dua negara.
Dipercayai, waris Kesultanan Sulu meneruskan tuntutan ke atas Sabah selari dan
sehaluan dengan dasar luar kerajaan Filipina.
Semasa pentadbiran Marcos, tuntutan waris Kesultanan Sulu turut
membabitkan tentera Filipina dalam projek-projek tertentu. Salah satu projek
yang mereka laksanakan ialah Operasi Merdeka pada 1967. Operasi ini semacam
mirip dengan insiden yang berlaku di Lahad Datu. Tentera Filipina telah melatih
sekumpulan pemuda etnik Tausug dan Sama di selatan Filipina yang beragama Islam
bagi membentuk satu pasukan komando yang objektifnya adalah untuk menimbulkan
suasana kacau-bilau dan tidak stabil di Sabah. Tujuan operasi itu adalah untuk
menunjukkan kononnya rakyat Sabah tidak suka dengan Malaysia, justeru
membuktikan pungutan suara oleh PBB adalah tidak betul.
Namun, sebaik sahaja mendarat di Sabah, pasukan itu sedar mereka telah
diperalatkan untuk menentang sebuah kerajaan di Sabah yang ditadbir oleh orang
Islam. Ketika itu, Ketua Menteri Sabah ialah Tun Datu Mustapha Harun.
Pemuda-pemuda Tausug dan Sama terbabit berpatah balik ke Filipina. Malangnya,
mereka kemudiannya telah dibunuh oleh tentera Filipina bagi mengelakkan insiden
ini terbongkar. Insiden pembunuhan antara 50 hingga 60 pemuda malang itu
dinamakan sebagai Pembunuhan Corregidor dan orang Tausug menamakannya
Pembunuhan Jabidah.
Jadi, bagi saya, pencerobohan terbaharu oleh kumpulan bersenjata yang
menggelarkan diri mereka tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu ini semacam
ulangan terhadap insiden Operasi Merdeka yang berlaku pada 1967. Walaupun dalam
bentuk dan skala yang berlainan, Operasi Merdeka mempunyai latar belakang yang
sama dengan insiden di Lahad Datu sekarang.
Saya hairan mengapa sehingga kini, kerajaan Filipina masih belum
menggugurkan tuntutan terhadap Sabah sedangkan ada beberapa sebab yang
mewajarkan mereka berbuat demikian. Pertama, pungutan suara oleh PBB telah
mengesahkan kehendak majoriti penduduk Sabah untuk bergabung di dalam Malaysia.
Kedua, kerajaan Filipina sendiri sudah tidak mengiktiraf kewujudan wilayah
Kesultanan Sulu.
Setelah Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf Manila iaitu Sultan Mahakutta
Mohamad Kiram mangkat pada 1986, kerajaan Filipina tidak melantik waris baginda
sebagai Sultan Sulu yang baharu. Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mempunyai tiga
waris terdekat iaitu Sultan Jamalul Kiram III yang kini menetap di Manila;
Sultan Ismail Kiram di Jolo dan Raja Muda Agbimuddin di Simunu, Pulau
Tawi-Tawi. Perlu diingat, kerajaan Filipina di bawah pentadbiran Marcoslah yang
telah menghidupkan semua Kesultanan Sulu apabila secara rasmi melantik
Mahakutta Mohamad Kiram sebagai Sultan Sulu pada Mei 1974. Mungkin, pentadbiran
Marcos mengambil tindakan itu bagi merancakkan lagi tuntutan kerajaan Filipina
ke atas Sabah.
Memajakkan
Seperkara lagi, merujuk kepada perjanjian yang dibuat antara Sultan
Jamalul Alam dan Syarikat Borneo Utara British pada 1878, Kesultanan Sulu
bersetuju memajakkan Sabah kepada syarikat tersebut dengan bayaran cession
money sebanyak 5,000 ringgit setahun. Ia semacam bayaran ufti. Jika dilihat
pada istilah cession yang digunakan, ia bermaksud penyerahan. Kerajaan Malaysia
semacam masih mengiktiraf perjanjian ini kerana masih membayar ufti. Yang aneh
bagi saya, perjanjian itu seperti telah digantikan dengan perjanjian yang
dibuat oleh kerajaan Sepanyol sebagai kuasa yang menjajah Filipina atau lebih
dikenali sebagai Protokol Madrid pada 1885. Menurut perjanjian yang dibuat
bersama Britain dan Jerman itu, Sepanyol bersetuju melepaskan segala tuntutan
Filipina terhadap Borneo Utara British.
Kemudian, setelah Amerika Syarikat menggantikan Sepanyol sebagai
penjajah di Filipina, Perjanjian Carpenter telah ditandatangani antara kuasa
kolonial itu dan Kesultanan Sulu pada Mac 1915. Di bawah perjanjian ini,
tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Borneo Utara British dianggap tamat sebaik
sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani perjanjian tersebut dan
menyerahkan kuasa politik kepada Amerika Syarikat.
Melihat kepada sebab-sebab yang dinyatakan tadi, saya tidak faham
mengapa kerajaan Filipina tidak mahu menarik balik tuntutan terhadap Sabah.
Walaupun kita kini saling bekerjasama di dalam semangat perpaduan ASEAN,
tuntutan itu masih lagi wujud sejak era Macapagal sehingga era Presiden
Filipina ketika ini, Benigno Aquino.
Saya fikir kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai waris
Kesultanan Sulu kini dalam keadaan terdesak kerana konsep wilayah autonomi
Bangsamoro tampak mengetepikan kepentingan kesultanan itu. Soal kewujudan
Kesultanan Sulu tidak disentuh dalam gagasan tersebut sedangkan beberapa pulau
di selatan Filipina termasuk Basilan, Palawan, Sulu dan Tawi-Tawi adalah
wilayah mereka. Waris-waris Kesultanan Sulu semacam menyedari mereka tidak lagi
mendapat sokongan daripada kerajaan Filipina seperti yang pernah berlaku di
bawah pentadbiran Macapagal dan Marcos.
Selain itu, pada pandangan mereka, kerajaan Malaysia juga seperti tidak
melayan tuntutan waris Kesultanan Sulu walaupun kita masih membayar ufti kepada
mereka. Waris Kesultanan Sulu menganggap bayaran ufti itu seperti obor yang
menyalakan seribu harapan atau impian. Dalam perspektif ini, mungkin mereka
membuat tuntutan kini atas sebab ekonomi. Dalam hal ini, mereka mungkin
hendakkan bayaran pampasan itu dibuat mengikut penilaian semasa.
Kesimpulannya dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia merupakan
negara yang banyak bersempadan dengan negara lain. Kita bersempadan dengan Singapura,
Indonesia, Filipina, Thailand dan Brunei. Sempadan maritim kita dengan
negara-negara lain termasuk Filipina sememangnya agak panjang. Bagi saya, tugas
mengawasi sempadan maritim sesebuah negara bukan kerja mudah. Sempadan maritim
mudah dicerobohi, terutamanya jika mereka menyusup masuk dalam kumpulan kecil
seperti menyamar sebagai nelayan. Jika tiada risikan awal, bukan mudah untuk
mengesan penyusupan. Pakar strategi China purba, Sun Tzu dalam bukunya yang
berjudul Seni Peperangan banyak menyebut tentang perlunya perisikan untuk
memenangi peperangan.
Apa yang penting, tentera, polis dan pihak berkuasa maritim perlu
mempunyai rangkaian perisikan yang lebar dan berkesan bagi mencegah
pencerobohan sempadan maritim kita.
Oleh ABDUL RAHIM NOOR
0 ulasan: on "Pertahankan kedaulatan negara"
Catat Ulasan