Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Ahad, 5 September 2010

Mengingati Hari Malaysia

Pada 16 September, adalah tarikh penting bagi negara kita. Pertamanya ulang tahun penubuhan Malaysia yang ke-47 dan kedua, sambutan ulang tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kali ke-77. Dua peristiwa ini amat bermakna bagi negara yang menyambut jubli emas ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos lalu.

Bagi kebanyakan orang, 16 September mungkin tidak memberi sebarang makna berbanding 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan. Maka tidak hairanlah Hari Kebangsaan lebih diingati daripada Hari Malaysia.

Sepintas lalu, mengenai Hari ATM, sebelum tahun 1960-an, ia disambut pada setiap 31 Julai. Bagaimanapun pada sekitar awal tahun 60-an, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengarahkan supaya Hari ATM pada 31 Julai itu ditukarkan kepada Hari Pahlawan dan diraikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sejak detik itu, ATM tidak mempunyai hari khusus untuk diraikan sehinggalah selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Tarikh itu dipilih kerana berlaku kekosongan apabila kerajaan menarik balik keputusan menyamut Hari Kebangsaan pada 16 September.

Begitulah serba ringkas bagaimana Hari ATM disambut pada 16 September.

Malaysia pula ditubuhkan pada 16 September 1963 dengan gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Hari itu juga adalah hari perisytiharan kemerdekaan Sabah dan Sarawak.

Berikutan penubuhan Malaysia, institusi Yang di-Pertuan Agong yang pada awalnya hanya merupakan ketua negara bagi Tanah Melayu diperluaskan meliputi Singapura, Sarawak dan Sabah. Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Konsep Malaysia yang digagaskan oleh Tunku Abdul Rahman berdiri di atas semangat perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Konsep ini berasaskan pada idea Persekutuan di mana negeri-negeri menyerahkan sebahagian kedaulatannya kepada kerajaan Persekutuan untuk memberi kekuatan kepada keseluruhan gabungan.

Namun begitu, entiti setiap negeri kekal dengan Singapura, Sabah dan Sarawak mempunyai bidang kuasa lebih luas berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

Sejarah penubuhan Malaysia bermula apabila Tunku Abdul Rahman mengadakan lawatan ke Sarawak, Sabah dan Brunei antara bulan Jun hingga Julai 1961 bagi menerangkan konsep, tujuan dan matlamat penubuhan Malaysia. Sebelum itu, pada akhir bulan Mei, Tunku berucap di Singapura. Hasilnya sebuah Jawatankuasa Perunding Perpaduan Kaum (JPPK) ditubuhkan di Singapura pada Jun 1961 yang dipengerusikan oleh Donald Stephans.

Sejak itu, bermulalah peranan JPPK termasuk menerangkan kepada orang ramai tentang gagasan Malaysia, mendapatkan pandangan penduduk dan menggalakkan kegiatan ke arah pembentukan Malaysia.

Dalam mesyuarat terakhir di Singapura pada Februari 1962, JPPK sepakat mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold (SC) yang dibentuk oleh kerajaan British. SC dalam tinjauan pendapat penduduk Sabah dan Sarawak mendapati satu pertiga penduduk menyokong gagasan Malaysia tanpa syarat, satu pertiga menyokong dengan syarat (kepentingan mereka dilindungi) dan satu pertiga lagi inginkan kemerdekaan sebelum menyertai Malaysia.

SC juga mencadangkan beberapa cadangan iaitu perlembagaan Malaysia harus berasaskan Persekutuan Tanah Melayu 1957, Sabah dan Sarawak diberi kuasa menentukan dasar imigresennya, bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan, jaminan terhadap hak dan kedudukan bumiputera Sabah dan Sarawak, pemberian nama Malaysia kepada negara baru yang dibentuk dan penentuan tarikh penubuhan Malaysia.

Dan menjelang Disember 1962, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak bersetuju dengan pembentukan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Bagaimanapun tarikh itu terpaksa ditunda pada 16 September 1963 disebabkan laporan daripada PBB tidak dapat disiapkan serta tentangan daripada Indonesia dan Filipina manakala Brunei menarik diri pada sat-saat akhir.

Bagaimanapun perjanjian Malaysia ditandatangani pada 9 Julai 1963 dan pada bulan berikutnya, Ratu Elizabeth II memperkenankan Akta Malaysia yang diluluskan oleh Parlimen British. Akhirnya perjanjian Malaysia diluluskan oleh Parlimen Tanah Melayu, Dewan Perhimpunan Singapura, Majlis Undangan Sarawak dan Majlis Undangan Sabah. Pada 26 Ogos 1963, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Akta Malaysia.

Dan pada 16 September 1963, Malaysia ditubuhkan secara rasmi. Antara lain inti pati perjanjian Malaysia 1963 ialah:

* Semua urusan hal ehwal luar menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

* Islam agama Persekutuan kecuali Sabah, Sarawak, agama lain bebas diamalkan.

* Bahasa Melayu bahasa kebangsaan tetapi bahasa Inggeris dan lain-lain bebas diamalkan.

* Sarawak dan Sabah diberi kuasa mengawal imigresen dan perkhidmatan awam.

* Bumiputera Sarawak dan Sabah mendapat taraf yang sama dengan orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu.

Apa yang unik pada gagasan Malaysia ialah penerimaan semua negeri kepada institusi ketua negara yang datang daripada Majlis Raja-Raja Melayu, dianggotai oleh sembilan raja Melayu dari Semenanjung Malaysia.

Asas kepada gagasan Malaysia ini terungkap dalam cogan kata pada jata negara, yang asalnya daripada Persekutuan Tanah Melayu iaitu 態ersekutu Bertambah Mutu. Ia membawa maksud bahawa setiap negeri yang bergabung dalam Malaysia akan dapat meningkatkan mutunya dalam segala bidang melalui Persekutuan.

Mungkin jika negeri-negeri ini tidak bergabung di bawah Malaysia, maka besar kemungkinan mereka tidak dapat menikmati kestabilan, kemakmuran dan pembangunan yang selama ini berjaya dikecapi.

Satu lagi ciri penting konsep Malaysia ialah sifatnya yang demokratik. Perkara ini jelas termaktub dalam Perisytiharan Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

Maknanya, walaupun Malaysia mempunyai sistem beraja yang diwarisi daripada institusi kenegaraan tradisi Melayu, ia merupakan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Pemerintahan Malaysia mestilah diwujudkan melalui proses demokrasi iaitu kebebasan memilih kerajaan melalui amalan pelbagai parti dan pilihan raya

Nilai demokrasi inilah yang menjadikan Malaysia stabil dan membangun selama ini.

Kini Malaysia berusia 44 tahun dan kemerdekaan menjangkau 50 tahun. Dalam tempoh itu tahap perpaduan antara kaum utama Melayu, Cina dan India semakin baik. Begitu juga perpaduan di kalangan kaum dan etnik di Sabah dan Sarawak.

Hakikat bahawa kelangsungan Malaysia boleh bertahan untuk tempoh yang agak panjang itu sebenarnya adalah rekod. Sewaktu diasaskan penubuhan pada 31 Ogos 1957, tidak banyak harapan diberi kepada aktor baru politik bernama Tanah Melayu.

Menurut buku Malaysia: 50 Fakta Asas Kenegaraan tulisan Chamil Wariya:

Benar selama 50 tahun itu, berlaku ribut dan krisis. Kemuncak keruntuhan perpaduan kaum yang dibina oleh kontrak sosial 1957 itu berlaku 12 tahun (13 Mei 1969) kita mendapat kemerdekaan.

Tetapi kata Chamil, Di sebalik peristiwa pahit itu tersembunyi rahmat dan pengajaran. Selepas tragedi itu Malaysia menjadi lebih kukuh. Sekiranya semua pihak terus berpegang teguh dengan kebijaksanaan dan kewarasan para pengasas kemerdekaan, peritsiwa hitam 13 Mei 1969 tidak akan berulang lagi.

Justeru peristiwa 13 Mei perlu menginsafkan semua pihak betapa pentingnya perpaduan diperkukuhkan dengan penggemblengan semua pihak terutama di peringkat kanak-kanak. Jadikan Hari Malaysia sebagai hari untuk mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan rakyat. Selamat Hari Malaysia.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Mengingati Hari Malaysia"

Catat Ulasan