KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat negeri ini memperkasakan slogan Satu Keluarga Satu Anggota Tentera melalui penyertaan keluarga masing-masing dalam kerjaya tersebut, termasuk Askar Wataniah.
Baginda bertitah, penyertaan anggota keluarga dalam kerjaya ketenteraan akan meningkatkan lagi kesedaran disiplin, gaya hidup sihat, budaya hormat menghormati dan sikap patuh kepada undang-undang dalam masyarakat.
Titah baginda, langkah itu akan menyumbang kepada masyarakat yang lebih bersatu, progresif dan pengurangan kadar jenayah.
"Ibu bapa hendaklah sentiasa menyemai sikap patriotisme dalam kalangan anggota keluarga dan ia diterjemahkan melalui galakan dan sokongan agar anggota keluarga masing-masing menyertai Askar Wataniah," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Latihan Rejimen 504 Askar Wataniah 2011 yang turut dihadiri oleh Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, baginda bertitah, melalui penyertaan dalam Askar Wataniah khususnya dari masyarakat berbilang kaum, ia akan berjaya mengurangkan jurang antara kaum dan seterusnya menjalin masyarakat 1Malaysia yang kukuh dan progresif.
"Penyertaan anggota keluarga dalam Askar Wataniah merupakan satu peluang keemasan untuk anak-anak kita memperoleh ilmu pengetahuan baru khususnya ilmu ketenteraan, perasaan tanggungjawab, kemahiran dan jati diri," titah baginda.
Titah baginda, rakyat hendaklah mempunyai perasaan tanggungjawab dan berbangga sekiranya ada anggota keluarga yang menyertai Askar Wataniah dan melihatnya sebagai satu sumbangan yang melambangkan tanggungjawab kolektif itu.
"Saya amat berbangga kerana masih ramai anak jati Perlis dan anak-anak muda di negara ini yang turut prihatin dan komited terhadap peranan dan tanggungjawab untuk menjadi lapisan kedua pertahanan negara," titah baginda.
Tengku Syed Faizuddin bertitah, tugas dan tanggungjawab untuk mempertahankan negara tidak semestinya terletak di bahu anggota tetap sahaja, malah penyertaan angkatan sukarela sangat penting dalam memikul tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.
Baginda juga berharap, hubungan baik yang sedia terjalin antara Rejimen 504 Askar Wataniah dengan semua jabatan kerajaan dan agensi awam di negeri ini dapat diperkukuhkan pada masa akan datang.
Sementara itu, pada majlis yang sama, baginda menerima pelbagai barangan makanan daripada tiga syarikat swasta untuk diserahkan kepada mangsa banjir di Perlis.
0 ulasan: on "Satu keluarga satu tentera - Raja Muda Perlis"
Catat Ulasan