|
KANGAR – Pegawai dan anggota Tentera Darat pada masa kini telah menunjukkan tahap profesionalisme, keterampilan serta disiplin yang tinggi sehingga layak diiktirafkan bertaraf dunia.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ini kerana pegawai dan anggota Tentera Darat membuktikan bahawa mereka telah lama keluar dari kepompong atau bukan lagi ‘hero’ atau jaguh kampung kerana menawarkan perkhidmatan di peringkat antarabangsa.
“Semua anggota (Tentera Darat) harus berbangga kerana penugasan di bawah panji-panji PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), telah mendapat sanjungan dan pengiktirafan masyarakat dunia hasil daripada komitmen, dedikasi dan tahap profesionalisme yang ditunjukkan sewaktu menjalankan tugas,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian sewaktu menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Pokok Bakau yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) di pesisir Kuala Sanglang, dekat sini hari ini.
Berangkat sama menyaksikan penanaman 11,111 pokok bakau itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin.
Menurut baginda, melalui penugasan global itu, pegawai dan anggota Tentera Darat kini berpeluang menjelajah dunia, menimba pengalaman dan pengetahuan baru melalui interaksi dengan warga tentera negara lain serta dengan masyarakat setempat.
"Tentera Darat sedar bahawa keamanan dan kemakmuran global merupakan tanggungjawab kolektif di arena antarabangsa dan sangat proaktif serta komited dalam melaksanakan tanggungjawab kolektif ini di seluruh pelosok dunia," titah baginda.
Sementara itu, Zulkifli berkata, anggota tentera yang menyertai program itu berjaya menyelesaikan penanaman pokok berkenaan dalam masa 78 minit iaitu simbolik kepada sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-78 pada tahun ini.
"Jumlah pegawai dan anggota yang terlibat dalam projek penanaman bakau terbanyak ini ialah 251 orang yang melambangkan dua dimensi, lima teras dan satu angkatan sebagaimana disarankan oleh Panglima Tentera Darat, (Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin)," kata beliau.
0 ulasan: on "Tentera Darat kini bertaraf dunia – Raja Muda Perlis"
Catat Ulasan