SETIAP manusia berkewajipan mencari rezeki bagi memenuhi keperluan kehidupan seharian. Keperluan hidup yang paling utama adalah makanan, pakaian dan tempat tinggal, sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang yang berada di bawah tanggungannya.
Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal merupakan satu tuntutan
agama. Dan rezeki yang diperoleh daripada sumber yang halal mampu
menjana kehidupan manusia yang berkat di dunia dan akhirat.
Rasulullah SAW pernah berkongsi perniagaan bersama seorang pemuda
Quraisy bernama As Saib Abi As Saib. Ketika berusia 25 tahun, baginda
Rasulullah telah berniaga barangan dagangan kepunyaan Siti Khadijah
binti Khuwailid ke Syam.
Dari situ, jelas kepada kita bahawa mencari rezeki yang halal
merupakan tuntutan agama dan sunnah Rasulullah SAW. Malah mencari rezeki
yang halal adalah satu ibadah sekiranya pencarian tersebut bertepatan
dengan kehendak syarak. Firman Allah SWT bermaksud: Makanlah rezeki yang halal dan lakukanlah amalan soleh. (al-Mukminun: 51)
Setiap amal soleh yang dilakukan oleh seseorang hamba banyak
bergantung kepada makanan yang halal. Makanan, minuman dan pakaian yang
haram menjadi asbab kepada doa seseorang tidak dimakbulkan dan diri
mudah terjerumus ke lembah maksiat.
Selain itu, mencari rezeki yang halal pula dapat menjaga maruah
agama. Firman Allah SWT bermaksud: Demi Allah, jika seseorang di antara
kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu api, kemudian
dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi
keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain.
Bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan untuk belanja
mengisi perut bahkan bertujuan memelihara harga diri dan martabat
kemanusiaan yang semestinya dipertahankan.
Jelas di sini bahawa bekerja mencari rezeki yang halal akan
menyebabkan bertambah martabat serta kemuliaan seseorang. Sebaliknya,
mereka yang berat tulang akan memberi imej buruk dan negatif pada
pandangan masyarakat dan keji pada kacamata Islam itu sendiri.
Rezeki yang halal juga dapat menjamin keberkatan hidup di dunia dan
di akhirat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh
daripada rezeki yang haram, neraka adalah paling utama baginya."
(riwayat at-Thabarani)
Kehidupan bagi umat Islam bukan setakat di dunia, malah ia akan
berterusan ke kehidupan yang hakiki di akhirat kelak. Sebab itu, rezeki
yang haram akan menjerumuskan seseorang ke neraka di akhirat kelak.
Oleh itu, sama-samalah kita mengambil berat dan prihatin dengan
sumber pendapatan yang diperoleh agar ia dapat menjamin kebahagiaan yang
hakiki di akhirat nanti.
Rezeki yang halal juga akan menjana keluarga bahagia. Apa yang kita
makan akan menentukan segala tindakan dan amalan seharian. Rezeki yang
halal melorong seseorang individu ke arah ketaatan kepada Allah, amal
soleh dan akhlak mahmudah.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal ini. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Setiap
bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (ber-tauhid), maka kedua ibu
bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Sejarah telah membuktikan, generasi di zaman Rasulullah SAW dan para
sahabat beramal soleh, berakhlak mulia dan tidak terlibat dengan
kemungkaran kerana ibu bapa masing-masing mementingkan sumber rezeki
yang halal.
Perlu diingat juga bahawa rezeki yang halal dapat menjana ekonomi
umat Islam. Islam telah menggariskan pelbagai cara untuk mendapatkan
rezeki. Perniagaan adalah satu cara untuk meningkatkan ekonomi.
Malaysia yang terkenal dengan produk hub halal telah berjaya menjana
ekonomi umat Islam dengan menembusi pasaran dunia. Jelas di sini bahawa
ekonomi umat Islam menjadi lebih kukuh kerana perolehan keberkatan
daripada Allah SWT
Menyedari hakikat ini, sama-samalah kita mengamalkan cara hidup Islam
dalam mencari rezeki yang halal kerana rezeki yang halal itu satu
tuntutan agama yang mulia. Sesungguhnya rezeki yang halal menjamin
keberkatan hidup.
0 ulasan: on "Jaminan keberkatan hidup"
Catat Ulasan