FATIMAH (bukan nama sebenar) telah mengenali Johari (bukan nama
sebenar) sejak mereka di menara gading. Hubungan mereka bermula daripada
rakan sekuliah akhirnya telah bertukar menjadi pasangan kekasih.
Selepas tamat pengajian, Johari mendapat pekerjaan sebagai jurutera
di sebuah syarikat petroleum di utara tanah air manakala Fatimah pula
bertugas di sebuah syarikat pembinaan yang terletak di ibu kota. Cinta
mereka diperkukuhkan dengan majlis pertunangan tidak lama kemudian.
Oleh kerana hubungan terlalu jauh, Johari sanggup berhenti kerja dan
menganggur berbulan-bulan demi semata-mata cintanya terhadap Fatimah.
Bagaimanapun hubungan pertunangan itu tidak kekal lama apabila Fatimah
berhasrat mengahwini kekasih pertama yang dikenalinya sejak sekolah
rendah.
Hancur luluh hati Johari dengan sikap Fatimah. Janji-janji manis
ditaburkan hanya tinggal kenangan sahaja. Demi menuntut hak, Johari
mengemukakan saman mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam
(Wilayah Persekutuan) 1984 untuk menuntut semula ganti rugi hantaran,
gaji kerana pengangguran selama empat bulan dan segala-gala perbelanjaan
semasa berlangsung hubungan pertunangan.
Mengulas lanjut berhubung kisah di atas, peguam syarie, Datuk Amli
Embong memberitahu bekas tunangan, sama ada lelaki atau wanita boleh
mengemukakan saman bagi menuntut ganti rugi semasa tempoh pertunangan
melalui proses undang-undang.
Amli berkata, peruntukan undang-undang itu berbeza mengikut negeri
masing-masing, tetapi di Wilayah Persekutuan akta itu menyebut:
"Jika seseorang telah mengikat suatu kontrak pertunangan mengikut
hukum syarak sama ada secara lisan atau secara bertulis dan sama ada
secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudiannya
enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi kepada kontrak itu tanpa
apa-apa sebab yang sah.
"Manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka
pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan
pemberian-pemberian pertunangan.
"Jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah
dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk
membuat persediaan bagi perkahwinan itu dan yang demikian boleh
dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah."
Oleh demikian, jelas Amli akta itu memperuntukkan bahawa pemohon
boleh mengemukakan saman untuk menuntut apa-apa ganti rugi sepanjang
tempoh pertunangan sehingga talian hubungan itu terlerai.
"Peruntukan itu digubal bertujuan untuk menjaga dan mengangkat
keadilan hak pasangan apabila kontrak pertunangan yang sepatutnya
diteruskan melalui hubungan suami isteri akhirnya terputus dengan
perpisahan.
"Jadi ia turut dilihat sebagai panduan kepada para pasangan untuk berhati-hati menjaga perhubungan mereka," kata Amli.
Dalam pada itu, beliau berkata ketika prosiding, pemohon mesti
mengemukakan butiran tuntutan seperti perbelanjaan, ganti rugi dan
sebagainya yang diserta bersama-sama bukti resit dan saksi. Ujar beliau,
jika pertunangan dilakukan secara rasmi, mereka boleh menampilkan wakil
ketika majlis berlangsung kepada prosiding mahkamah.
Sebaliknya tambah Amli, jika pertunangan yang dilakukan secara tidak
rasmi adalah amat sukar untuk dibuktikan kepada mahkamah. Ini kerana
pihak defendan akan mempertikaikan tuntutan tersebut, sama ada ia barang
hantaran pertunangan atau hanya sekadar hadiah biasa.
"Barangan pertunangan adalah berbeza barangan hadiah. Mungkin
barangan hadiah boleh bertujuan untuk permulaan perkenalan. Hadiah hari
jadi atau sebagainya mungkin boleh jadi atas dasar persahabatan," kata
Amli.
0 ulasan: on "Bahana ingkar kontrak pertunangan"
Catat Ulasan