KUALA LUMPUR: Kereta perisai tempur canggih yang direka untuk
abad ke-21 dan bakal digunakan Tentera Darat Malaysia akan
dipertontonkan kepada orang ramai buat pertama kalinya semasa sambutan
Hari Tentera Darat ke-80 di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada Sabtu.
Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan, kereta perisai yang direka
bentuk di Turki itu dibawa ke tanah air dengan pesawat dan kini
ditempatkan di sebuah kem tentera di Port Dickson.
"Sebenarnya kereta perisai itu masih bersifat prototaip dan ketibaan
kenderaan itu adalah untuk menjalani percubaan muka bumi dan pengaruh
cuaca di negara ini selama beberapa minggu," katanya ketika dihubungi
Bernama.
Kereta perisai yang mempunyai lapan tayar itu dibangunkan dengan
teknologi Turki dan dikenali sebagai 'Pars' dan sebuah kilang akan
didirikan di Malaysia untuk mengeluarkan kenderaan versi tempatan yang
dikenali sebagai AV8.
Sementara itu blogger pertahanan tempatan
malaysiamilitarypower.blogspot.com Harsul Fariddi ketika dihubungi
memberitahu, kedatangan kereta perisai itu telah menjawab persoalan yang
selama ini ditunggu-tunggu rakyat Malaysia.
"Orang ramai berasa sedikit kecewa sebelum ini kerana terdapat
desas-desus projek itu gagal disebabkan reka bentuk nyatanya tidak
pernah ditunjukkan dalam pameran-pameran pertahanan sebelum ini seperti
di Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 dan Pameran
Perkhidmatan Pertahanan (DSA) di Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata, ketibaan kereta perisai canggih itu di negara ini
mula dikesan apabila gambar kenderaan berkenaan yang menyertai raptai
untuk sambutan Hari Tentera Darat di Port Dickson sudah mula beredar di
kalangan komuniti peminat ketenteraan tempatan sejak dua hari lepas.
Berdasarkan gambar AV8 yang beliau lihat, kenderaan yang akan
dipamerkan pada Sabtu merupakan versi Armour Fighting Vehicles (AFV)
yang akan menggantikan kereta perisai lama ATM seperti Condor dan
Sibmas.
"Saya percaya berdasarkan gambar itu, saya menjangkakan terdapat
penambahan perisai pada kenderaan itu berbanding model asal dan kita
melihat banyak persamaan peralatan pada satu lagi kereta perisai roda
runut milik Tentera Darat iaitu ACV-300 Adnan yang juga buatan Turki,"
katanya.
"Kereta perisai AV8 yang akan dipertontonkan kepada umum esok (Sabtu)
mempunyai peralatan 'defensive suite' aktif dan pasif menyamai atau
lebih baik daripada ACV-300 Adnan dan berkongsi turet yang sama dengan
meriam 25mm Bushmaster," katanya.
Malaysia membuat pelaburan RM8 bilion beberapa tahun lepas dengan
Turki untuk membangunkan AV8 dengan perolehan pertama berjumlah 257
kereta perisai pelbagai varian. - BERNAMA
0 ulasan: on "TDM : Kereta Perisai Canggih Tentera M'sia Akan Dipertontonkan Umum Pada Sabtu "
Catat Ulasan