RASULULLAH buktikan hanya ketakwaan senjata paling
berkesan pertahan agama, tanah air Perubahan peradaban manusia berlaku
amat pantas. Islam yang suatu ketika dulu begitu gemilang, kini jatuh
tersungkur di tangan Barat yang mendominasi dunia terutama dari segi
ekonomi.
Umat Islam dalam sejarah adalah kuat serta pernah menakluki dua
pertiga dunia, tetapi pada hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir
dari tanah air sendiri selain dilabel dengan imej negatif atau
pengganas. Berita keganasan, pembunuhan dan pencerobohan dilakukan kuasa
besar Barat terhadap umat Islam bukan perkara baru kerana berlaku sejak
lama dulu sehingga hari ini penindasan itu masih berleluasa.
Keganasan dan penindasan di Palestin, Lubnan, Kosovo, Chechnya,
Bosnia dan paling hampir dengan negara kita seperti Thailand berlaku
tanpa pembelaan sewajarnya.
Sehingga kini entah berapa banyak nyawa
terkorban, harta musnah dan air mata tumpah membasahi bumi. Peristiwa
ini sungguh mengguris jiwa umat Islam.
Hari ini, ramai pemimpin negara Islam lantang menyeru umat Islam
bersatu bagi menyelamatkan negara daripada penjajahan. Namun, usaha
merealisasikannya bukan saja kabur, malah tidak bersungguh-sungguh serta
tidak jelas dari segi matlamat dan kaedah yang mesti dilaksanakan.
Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika segala ideologi yang
menyesatkan seperti sekularis, komunis, sosialis dan kapitalis masih
digunakan pemimpin Islam sendiri.
Ideologi bertentangan Islam patut ditolak oleh umat Islam. Jika kita
lihat ketika ini kesatuan Islam masih lemah dan keadaan menjadi lebih
buruk apabila umat Islam mengalami masalah dalaman sesama sendiri di
samping masalah luaran dengan negara Islam lain.
Negara Islam hari ini, secara umum lemah dari pelbagai segi
merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Sehingga kini kesatuan
dan kekuatan umat Islam secara keseluruhan masih belum pulih. Kelemahan
ini juga menjadikan Barat semakin berani menekan dan melakukan pelbagai
penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam.
Pemimpin negara Islam masih gagal mencapai kata sepakat menangani
masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam seperti di Palestin
semakin terancam. Mereka juga tidak memahami perkara awlawiyyat
(keutamaan) sehingga menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam
terabai. Kegagalan ini juga mengakibatkan negara Islam terpaksa tunduk
kepada kehendak Barat.
Kebanyakan kita mengaku sebagai umat Islam, namun setakat manakah
peranan dan tanggungjawab sebagai saudara seagama dalam usaha membantu
mereka yang ditindas dan apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela
bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak
menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu,
nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang
besar.” (Surah al-Anfaal, ayat 73)
Kini sudah sampai masanya umat Islam insaf dan melakukan muhasabah
diri serta mencari punca di manakah silapnya. Masyarakat Islam perlu
membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang
berkuasa dan disegani di seluruh dunia.
Pemimpin negara Islam harus bersatu dan memandang ke depan di samping
mengatur strategi efektif ke arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha
yang mampu dilakukan ialah memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi,
ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah, persaudaraan dan persenjataan
supaya segala bentuk penjajahan, penindasan dan menghina umat Islam
dapat dihindarkan.
Umat Islam juga perlu berperanan sebagai individu pengguna yang bijak
dengan memboikot barang syarikat Barat yang mengaut keuntungan untuk
menjatuhkan negara Islam.
Walaupun usaha ini kelihatan remeh, jika seluruh umat Islam bersatu
hati natijahnya amat besar ke arah mengurangkan sumber ekonomi Barat
yang nyata tujuannya untuk membeli senjata bagi meneruskan serangan
terhadap umat Islam. Umat Islam perlu kembali kepada fitrah iaitu
menghayati serta mengamalkan al-Quran dan hadis sepenuhnya.
Dalam dunia serba moden hari ini, walaupun ada umat Islam yang kuat
imannya, tidak kurang juga yang jauh terpesong daripada landasan Islam.
Ada juga hanya Islam pada nama sedangkan segala kewajipan agama tidak
pernah ditunaikan, malah cara hidup mereka juga seperti bukan Islam.
Perkara ini perlu diambil perhatian supaya umat Islam dan generasi akan
datang menjadi umat yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT serta
mantap imannya seperti umat pada zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat
Baginda. Firman Allah SWT bermaksud:
“Kekuatan itu hanya bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang
beriman.” (Surah al-Munafiqun, ayat 8)
Jika perkara ini gagal ditangani
pada peringkat akar umbinya lagi, maka tidak mustahil suatu masa nanti
umat Islam menjadi umat termundur, dihina dan diperlekeh oleh bangsa
asing seperti yang terjadi kepada saudara kita di negara disebutkan
sebelum ini.
Oleh itu, sebagai manusia yang dimuliakan dengan akal fikiran dan
khalifah di muka bumi ini, jawapannya tepuk dada tanya iman dan diri
sendiri siapakah kita, apakah tujuan kita dijadikan dan ke manakah kita
akan kembali suatu hari nanti.
Apa yang kita miliki hari ini seperti kuasa, pangkat, dan kekayaan
harta benda di dunia ini adalah pinjaman dan ujian semata-mata, maka
pergunakan dengan sebaiknya ke jalan diredai kerana tanpa bekalan
secukupnya kita akan kembali kepada Allah SWT dengan keadaan papa dan
hina.
0 ulasan: on "Enggan Sepakat Punca Umat Islam Ditindas Musuh "
Catat Ulasan