Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Jumaat, 5 Ogos 2011

TDM : Perutusan Ramadan Oleh Panglima Tentera Darat Tahun 2011M / 1432H

ramadan2011

Bismilahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Subhanahu Wataala, Tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw.

Alhamdulillah, dengan penuh kesyukuran saya panjatkan kehadrat Allah swt kerana dengan taufiq, hidayah dan inayahnya jua, kita masih lagi di beri peluang dan kesempatan untuk menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini, bagi kita melaksanakan ibadah puasa yang merupakan rukun Islam yang keempat yang diwajibkan ke atas kita. Saya ingin mengingatkan diri saya dan semua warga Tentera Darat akan firman Allah swt yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman diwajibkan kepada kamu berpuasa sepertimana diwajibkan keatas umat yang terdahulu mudah-mudahan dengannya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa” (Surah al-Baqarah ayat 183).

Sehubungan dengan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua warga Tentera Darat dengan iringan doa dan harapan, semoga Ramadhan yang kita tempuhi dan harungi berbekalkan semangat iman dan taqwa ini, membawa impak dan erti yang sangat besar dalam kehidupan, khususnya dalam konteks menjalin dan mengukuhkan hubungan kita dengan Allah (hablun minallah) dan hubungan kita sesama manusia (hablun minannas) melalui proses pentarbiahan dan pendidikan madrasah Ramadhan.

Kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan ini amat banyak sekali untuk kita perkatakan dan kesempatan ini wajar direbut oleh kita semua. Memadailah untuk kita memahami secara umum kelebihan ini berdasarkan sebuah hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud “setiap amal perbuatan anak adam (manusia) itu pahalanya dilipatgandakan. Satu kebaikan itu di balas dengan sepuluh kali lipat ganda sampai tujuh ratus kali lipat ganda. Allah swt berfirman kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu bagi ku dan aku sendirilah yang akan membalasnya” (hadis riwayat Imam Muslim).

Hadis ini jelas menunjukkan kepada kita betapa muhim dan saratnya Ramadhan dengan ganjaran dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah swt, sehinggakan para salafus soleh, solihin dan siddiqin sentiasa menanti-nantikan bulan mulia ini dengan penuh harapan dan kesabaran. Antara pakej ganjaran amal yang di sebut oleh para ulamak berdasarkan nas-nas syarak yang turut mengiringi bersama tawaran Ramadhan ini ialah, tawaran rahmat Allah, keampunan Allah, jaminan syurga, jaminan kesejahteraan hidup dan cahaya petunjuk daripada Allah swt. Justeru, saya menyeru kepada semua lapisan kepimpinan dan warga tentera darat supaya mengambil manfaat dan iktibar sepenuhnya melalui Penghayatan ihya’ ramadhan dengan merancang dan melaksanakan aktiviti peningkatan sahsiah diri melalui pembinaan dan pemantapan nilai-nilai ”intangible” seperti integriti, kejujuran, keikhlasan dan ketabahan di hati sanubari anggota di formasi/pasukan masing-masing, bagi memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup anggota serta keluarga sentiasa terpelihara.

Saya amat yakin, bahawa kedatangan Ramadhan ini bukanlah alasan atau faktor utama yang akan melesu dan memenatkan kita daripada melaksanakan tugas sebagai anggota tentera. Fahaman dhaif ini perlu dikikis habis dan di lontar jauh di dalam minda dan benak pemikiran setiap warga tentera darat, sebaliknya setiap anggota hendaklah merasakan bahawa ruh dan semangat Ramadhan itu sendiri sebenarnya, merupakan peniup dan pencetus kekuatan dan semangat jaya diri yang sudah cukup memberi kekuatan tersendiri bagi setiap warga tentera darat meneruskan pelaksanaan tugas dengan berkesan.

Di samping penghayatan dan pengamalan ibadah puasa yang merupakan satu kewajipan yang dituntut oleh Islam, pada masa yang sama ianya juga akan memperkukuhkan usaha kita untuk membina 1Jiwa Tentera di kalangan seluruh warga Tentera Darat. Oleh itu, walaupun di bulan puasa, kita harus meneruskan segala program dan aktiviti yang menjurus kepada pembangunan akal budi ketenteraan untuk menentukan tahap profesionalisme tinggi di kalangan kita semua. Bagi rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam, gunakanlah peluang ini untuk membina saling kesefahaman antara kita dengan menjalin sikap penerimaan dan menghormati amalan agama yang berbeza.

Akhir kata saya menyeru dan berdoa agar seluruh warga Tentera Darat dan keluarga sentiasa di berkati dan di rahmati Allah swt di mana jua mereka berada. Semoga Ramadhan yang kita lalui ini, merupakan Ramadhan terbaik bagi kita dari sudut pengisian dan pelaksanaan ibadah. Elakkan persengketaan sesama sendiri yang akan merugikan diri dan organisasi, sebaliknya rapatkanlah barisan saf persaudaraan dengan semangat saling bantu membantu dan hormat menghormati serta elakkan pembaziran di dalam perbelanjaan di bulan mulia ini. Semoga kemuncak ibadah puasa ini menjadikan kita insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah swt.

Sekian, selamat menjalani ibadah puasa.

"GAGAH SETIA"

"TENTERA DARAT: 1 ANGKATAN, TETAP GAGAH TETAP SETIA"

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh



..............................................................................................

JENERAL DATUK HJ ZULKIFLI BIN HJ ZAINAL ABIDIN

PANGLIMA TENTERA DARAT


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "TDM : Perutusan Ramadan Oleh Panglima Tentera Darat Tahun 2011M / 1432H"

Catat Ulasan