Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Selasa, 3 Januari 2012

Berazam jadi individu bermanfaat kepada insan lain, masyarakat



SEBENARNYA membina kekuatan dalaman bermula daripada keyakinan untuk mengubah diri dengan menggerakkan akal budi dan daya ke arah yang lebih baik. Dari setahun ke setahun dirasakan pantasnya masa untuk dikira. Tidak ada maknanya perubahan tahun demi tahun sedangkan keupayaan diri kita masih statik, yakni kekal di takuk lama.


Mempunyai azam dan cita-cita adalah suatu perkara yang mesti ada pada diri seseorang kerana peranannya memberi motivasi dan pendorong seseorang kepada ke arah yang lebih baik.
Pelajar misalnya, tentu bercita-cita mahu mencatat kecemerlangan dalam peperiksaan, guru berazam mendidik anak murid dengan terbaik, pekerja berazam meningkatkan usaha dan produktiviti kerja mereka, petani pula mahu meningkatkan hasil jualan manakala pemimpin pula berazam melaksanakan transformasi secara berkesan demi kepentingan negara dan kebahagiaan rakyat.
Untuk menjadi personaliti yang berguna dan dihormati memerlukan kepada perubahan sikap dan azam yang tinggi ke arah menghayati nilai akhlak yang dimuliakan. Salah satu aspek yang perlu diubah ialah sikap menyombong diri dengan menenggelamkan sifat ramah-tamah yang dipuji Nabi.

Diriwayatkan dari Jabir, Rasulullah SAW bersabda, “Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia ialah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Riwayat Thabrani dan Daruquthni).

Al Imam As Sayuti di dalam bukunya Al-Jami’ush Shaghir turut menyebut sebaik-baik manusia ialah siapa yang paling banyak bermanfaat bagi orang lain. Maknanya, komuniti setempat dapat merasai kehadiran individu itu dan merasai kesan positif dibawanya.

Manfaat yang paling utama yang boleh seseorang itu beri kepada seseorang yang lain bukanlah wang ringgit, harta, pakaian, makanan dan sebagainya semata-mata, bahkan amalan nasihat, ingat-mengingati dan memberi dorongan berupa motivasi juga termasuk penyumbang kepada keharmonian hidup dan kesejahteraan bermasyarakat.
Daripada Abu Raqaiyyah Tamim Bin Aus Ad-Dari RA bahawa Nabi SAW bersabda “Agama itu adalah Nasihat. Kami bertanya: Untuk siapa? Sabda Nabi SAW: Untuk Allah, Kitab-KitabNya, para RasulNya, para pemerintah orang Islam dan orang awam mereka”. (Riwayat Muslim)

Secara aksiomnya manusia sebagai makhluk sosial saling memerlukan dan mereka tidak berupaya hidup secara bersendirian dengan memencilkan diri, walaupun berupaya melakukannya dalam dunia siber. Namun boleh merosakkan minda dan merencatkan pembangunan sosialisasinya.

Justeru, pola perhubungan seseorang dengan orang lain adalah untuk saling mengambil manfaat. Ada yang memberi jasa dan ada yang mendapat jasa. Penyumbang jasa akan mendapat imbalan daripada jasa dilakukannya manakala penerima budi pula akan mendapat manfaat daripada sumbangan mereka yang berjasa. Itulah pola hubungan yang lazim.

Sekurang-kurangnya ada empat alasan mengapa kita mesti menjadi individu yang boleh bermanfaat kepada orang lain. Pertama, untuk dicintai Allah dan Rasulnya yang menjadi matlamat kehidupan kita di dunia. Siapakah yang lebih baik daripada orang yang dicintai Allah?

Kedua, untuk menjadi landasan kepada individu itu dapat melakukan amal yang terbaik. Kaedah usul fiqh menyebutkan bahawa kebaikan yang amalnya dirasai oleh orang lain akan lebih menerima manfaat berkenaan. Apalagi jika spektrum sumbangannya lebih luas dan menyeluruh yakni pada peringkat keluarga, masyarakat, negeri dan negara. Sebagai contohnya kita menggali telaga tatkala musim kemarau masyarakat mengalami kesulitan untuk mendapatkan air.

Ketiganya, membuat kebaikan itu besar ganjaran pahalanya. Apatah lagi kebaikan yang dilakukan itu bertahan lama. Sebagai contoh dengan menanam pokok buah-buahan, pahalanya bukan saja diperoleh daripada manusia yang memakannya bahkan juga binatang termasuk burung yang mendapat manfaat daripadanya.

Keempat, memberi manfaat kepada orang lain tanpa ada niat tersembunyi untuk disanjung dan dipuji manusia lain melainkan kerana Allah semata-mata. Ketika orang lain menilai diri kita sebagai insan yang berjasa kepada manusia lain maka kita memohon kepada Allah untuk meredai amal perbuatan kita dan menggolongkan kita sebagai golongan hambanya yang baik-baik.

Akhlak mulia sememangnya sangat dituntut dalam Islam kerana itu Rasulullah turut mendidik umatnya supaya berakhlak mulia. Baginda menunjuk ajar dan memberikan bimbingan akhlak bukan hanya setakat teori saja bahkan Baginda sendiri melakukannya. Itulah cara pendidikan terbaik dan mendatangkan kesan mendalam.

Rawatlah sebelum terlambat dengan membuang sifat buruk yang ada dalam diri dan menggantikannya dengan sifat baik dan terpuji.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Berazam jadi individu bermanfaat kepada insan lain, masyarakat"

Catat Ulasan