JUJUR saya katakan, saya tidak begitu teruja ketika menerima pelawaan seorang teman untuk melawat Sepanyol pada penghujung tahun lalu.
Pada mulanya, saya agak keberatan meneruskan percutian itu. Bagi saya, negara itu seakan-akan tiada bezanya berbanding negara-negara Eropah seperti Perancis, Scotland dan United Kingdom yang pernah dilawati sebelum ini.
Atas dasar persahabatan, akhirnya saya bersetuju untuk mengikutinya sambil berharap untuk menemui sesuatu yang boleh dijadikan kenangan manis.
Cuaca dingin menyambut kami sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Barajas-Madrid di Madrid.
Tempoh penerbangan panjang iaitu hampir 24 jam termasuk transit selama beberapa jam di Doha, Qatar membuatkan kami lebih selesa berehat sahaja di hotel.
Keesokannya, selepas tubuh kembali bertenaga, barulah kami berpeluang melihat sisi ibu negara Sepanyol itu dengan lebih dekat.
Madrid yang dihuni lebih 3.3. juta penduduk tidaklah sepadat kota-kota lain di Eropah.
Di sana, kami sempat melawat ke beberapa lokasi pelancongan popular. Antaranya ialah Plaza Mayor, Istana Madrid dan Temple of Debod, iaitu kuil purba Mesir yang dibina semula selepas dipindahkan dari lokasi asalnya di Mesir.
Kami juga sempat melihat persembahan tarian flamenco yang sangat terkenal di negara itu.
Persekitaran bersih
Satu yang saya harus puji mengenai Madrid, persekitarannya sangat bersih dan tenang. Kehadiran bangunan-bangunan peninggalan zaman Renaissance yang terus kekal terpelihara sehingga kini jelas menyerlahkan pesona kota itu.
Seterusnya, kami meneruskan pengembaraan ke Toledo dengan menaiki kereta api laju yang mengambil masa kira-kira 35 minit dari Madrid.
Sebuah bandar lama yang menyimpan pelbagai khazanah kegemilangan kerajaan Sepanyol satu ketika dahulu, ia kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1986.
Kami kemudiannya meneruskan lawatan ke beberapa lokasi menarik di situ. Antaranya, Polerta del Sol, sebuah kota lama yang terletak bersebelahan Sungai Targus.
|
|
Peluang tersebut digunakan untuk melihat sisi kota lama yang dibina pada zaman empayar Roman itu sepuas-puasnya. Malah, kami juga sempat membeli cenderamata untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.
Kami tinggalkan Toledo menuju ke Madrid hanya setelah malam menjelma.
Keesokan harinya, kami meneruskan pengembaraan ke Granada dengan menaiki bas.
Seperti Toledo, Granada juga kaya dengan warisan sejarahnya dan merupakan antara tarikan utama pelancong ke Sepanyol.
Dikenali sebagai Andalusia, ia merupakan antara pusat pentadbiran kerajaan Islam terawal di Eropah di bawah pemerintahan Moor Sepanyol.
Kegemilangan kerajaan Islam memuncak ketika di bawah pemerintahan Dinasti Nasrid yang menguasai seluruh Semenanjung Iberia sehingga ke Cordova.
Ketika itu, Andalusia menjadi pusat perdagangan dan penyebaran ilmu Islam terulung di Eropah.
Bagaimanapun, kota itu tumbang kepada kuasa monarki Katolik pimpinan Ferdinand II dan Isabella I selepas Perang Granada pada tahun 1492.
Pengaruh Islam
Hari ini, pengaruh Islam dan Moor masih boleh kelihatan di segenap sudut kota itu. Malah di situ juga terdapat sebuah perkampungan yang dihuni oleh masyarakat Islam dikenali sebagai Al-Baicin.
Tidak jauh dari kota itu, terletaknya Alhambra, iaitu sebuah kompleks istana yang dibina pada kurun ke-14. Kompleks itu juga kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.
Pengembaraan kami di Grenada diteruskan ke kawasan pergunungan Sierra Nevada, iaitu sebuah tempat luncur salji terkemuka di Sepanyol.
"Aku dah lama mengidam nak meluncur, selama ini asyik tengok dan main salji saja bila melawat negara orang," kata saya kepada teman sebaik sahaja mendaftar untuk kelas meluncur yang diadakan.
Biarpun kerap kali tersembam ke tanah, namun saya puas. Lagipun bayaran untuk menyewa peralatan, pakaian dan kelas meluncur tidaklah semahal yang disangkakan.
Selepas bermalam beberapa hari di Granada, kami meneruskan perjalanan ke Barcelona dengan menaiki pesawat. Gara-gara mahu mendapatkan hotel murah kami terpaksa bermalam di Sitges.
"Ini dah macam berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur," kata teman saya, tatkala kami mendaftar masuk di hotel berkenaan yang memakan masa hampir 50 minit dari Barcelona.
Disebabkan itu, aktiviti kami di bandar raya itu agak terhad. Peluang yang ada digunakan untuk melawat beberapa tarikan pelancongan seperti Park Guell, sebuah taman rekaan arkitek terkenal, Antonio Gaudi.
Keunikannya terdapat pada koridor-koridor yang dibina mirip pokok palma dan binaan yang dihiasi jubin mozek berwarna-warni serta dihiasi sebuah bangku panjang melingkar seperti ular di laman utama taman itu yang menjadi tumpuan pengunjung beristirehat.
Kami juga sempat melawat Katedral Barcelona yang terkenal serta La Rambla, iaitu kawasan pejalan kaki yang terkenal di tengah bandar Barcelona.
Kawasan sepanjang 1.2 kilometer dibarisi oleh pokok-pokok yang rendang itu menjadi tarikan pelancong dan juga rakyat tempatan kerana dipenuhi dengan deretan restoran, kedai kopi dan gerai cenderamata.
Bandar diraja
Pada akhir pengembaraan, kami kembali semula ke Madrid. Kali ini bandar diraja Seville menjadi destinasi kunjungan.
Antara destinasi menarik yang harus dilawati di sini ialah Alcazar, iaitu sebuah istana yang dibina oleh Al-Ramn III pada tahun 913 Masihi.
Istana itu terbahagi kepada beberapa bahagian utama iaitu The Ambassadors Room, Horse Shoe, The Hunting Patio, The Plaster Patio, Patio of the Maidens, Rooms of Charles V dan The Patio of the Dolls.
Keindahan Alcazar tidak sekadar terletak kepada pengaruh seni bina Moor dan Eropah yang mendasari segenap sudut malah kewujudan taman-taman dan pancuran air di sekelilingnya.
Beberapa bahagian istana itu juga dibuka kepada orang awam untuk melihat pelbagai arca, potret dan peninggalan warisan keluarga diraja Sepanyol dari dahulu sehingga kini.
Kami seolah-olah tidak menyedari tempoh kembara 10 hari kami di seluruh pelosok Sepanyol berakhir jua. Ternyata, persepsi saya berubah tatkala meninggalkan negara itu. Percutian kali ini tidak sia-sia kerana ia memberikan pengalaman bermakna.
0 ulasan: on "Dibuai keindahan kota Andalusia"
Catat Ulasan