REJIMEN Gerak Khas membuat demonstrasi di Dataran Merdeka sempena Hari Ulang Tahun Tentera Darat, semalam.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen parti pembangkang, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang sering mempertikai dan mengkritik pembelian aset pertahanan negara akan diberi peluang ‘memeriksa’ sendiri kemampuan kelengkapan berkenaan, termasuk dua kapal selam.
Mereka akan dibawa melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA 2011) pada Disember depan supaya meninjau sendiri dan mendapat gambaran sebenar mengenai aset berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sendiri akan mengatur program lawatan Ahli Parlimen pembangkang dengan harapan dapat mengelak pertikaian berhubung kemampuan aset terbabit yang dikhuatiri mewujudkan implikasi negatif terhadap pertahanan dan ketenteraan negara, termasuk dakwaan kononnya kapal selam negara tidak boleh menyelam.
“Saya bercadang menjemput Lim Guan Eng melawat LIMA dan secara peribadi nak beliau (Lim) membuat pemeriksaan kapal selam negara. Saya akan mengatur lawatan dan lihat sendiri kapal selam yang didakwa tak boleh menyelam. Saya harap selepas itu tiada lagi persoalan mengenai kemampuan aset ketenteraan diajukan pada sidang Parlimen,” katanya selepas perbarisan kontinjen dan aset Tentera Darat sempena Hari Terbuka Tentera Darat di Dataran Merdeka, semalam.
Mengenai hari terbuka sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-78 yang julung kali diadakan, Ahmad Zahid berkata, buat pertama kali juga Tentera Darat memperlihatkan asetnya kepada masyarakat sejajar tema sambutan tahun ini, Merakyatkan Tentera Darat.
“Saya harap rakyat tidak menyalahtafsirkan hari terbuka yang kali pertama diadakan ini. Tujuan utamanya untuk memperlihatkan aset Tentera Darat bagi membuktikan tentera sentiasa mempertahankan negara dalam apa juga keadaan,” katanya.
Selain perarakan kontinjen dan aset seperti kereta kebal serta kenderaan perisai, orang ramai berkesempatan menyaksikan persembahan payung terjun, akrobatik bermotosikal dan demonstrasi menyelamat tebusan oleh pasukan elit, Grup Gerak Khas (GGK).
Mengenai rondaan bersama anggota polis dan tentera bagi mengurangkan kadar jenayah di kawasan panas tertentu yang dikenal pasti, Ahmad Zahid berkata, kerjasama akan diperluaskan sebaik kajian awal keberkesanan program perintis yang sedang dilaksanakan di sebanyak 15 kawasan diperoleh.
Sementara itu, beliau mengesahkan Malaysia menerusi DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) sudah mencapai persetujuan dengan FNSS Savunma Sistemleri A.S. (FNSS Savunma), pengeluar kenderaan ketenteraan dari Turki bagi membekalkan kereta perisai model 8X8 AV-8 yang dijangka diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1 Januari 2012.
0 ulasan: on "Parti lawan dibawa lawat LIMA"
Catat Ulasan