TRIPOLI - Beberapa hari selepas Barat melancarkan serangan udara, sebahagian penduduk di ibu kota Libya, di sini semalam semakin berani mengecam pemimpin mereka, Muammar Gaddafi dengan menyatakan, mereka mahukan beliau mati.
Sebahagian penduduk yang diwawancara beberapa wartawan Reuters di sini bagaimanapun, masih takut untuk mendedahkan nama mereka dan kembali memuji Gaddafi sebaik sahaja dihampiri oleh askar-askar yang setia kepadanya.
Namun, keberanian mereka untuk membuat kecaman terbuka terhadap pemimpin yang telah menerajui Libya selama empat dekad itu memberi isyarat bahawa perubahan sedang berlaku di bandar ini.
Sebelum ini, penduduk di sini takut untuk bercakap dengan pemberita kerana bimbang nyawa mereka melayang.
"Di sini, setiap orang sedang menunggu (penyingkiran Gaddafi). Ia tidak seperti masa lalu," kata seorang lelaki, yang mengajak wartawan menjauhkan diri daripada seorang tali barut kerajaan dengan menuju ke sebuah kedai kopi di bandar lama di sini supaya dia bebas bercakap.
"Anak-anak saya ketakutan tetapi saya tahu semua itu akan berubah. Kerajaan tidak berdaya untuk menguasai kami lagi," katanya.
Seorang ahli perniagaan tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Isa memuji Gaddafi apabila didekati seorang pemberi maklumat, tetapi mengecam pemimpin itu sebaik sahaja tali barut itu beredar.
"Inilah masanya. Keadaan kini getir. Bom-bom meledak sepanjang malam. Namun, apabila kami mendongak ke udara kami sedar bahawa dunia kini cuba membantu kami" katanya.
Menguasai pendapat umum supaya berpihak kepadanya adalah penting kepada Gaddafi untuk terus berkuasa di bandar ini yang merupakan kubu terkuatnya selepas dua bandar utama lain di Libya jatuh ke tangan pemberontak. - Reuters
0 ulasan: on "Warga Tripoli mula kecam Gaddafi"
Catat Ulasan