|
|
SANTIAGO 22 Mac - Amerika Syarikat (AS) memberi mesej bercanggah mengenai objektifnya di Libya, apabila Presiden Barack Obama berkata Muammar Gaddafi mesti berundur, tetapi berikrar tentera AS akan tetap mematuhi mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbatas.
"Tindakan ketenteraan kita adalah untuk menyokong mandat antarabangsa daripada Majlis Keselamatan PBB yang khusus tertumpu kepada ancaman kemanusiaan yang ditimbulkan oleh Kolonel Gaddafi terhadap rakyatnya," kata Obama pada sidang media di ibu negara Chile ini semalam.
Katanya, serangan udara dan peluru berpandu yang dilancarkan pada hujung minggu lalu adalah untuk menyokong Resolusi 1973 Majlis Keselamatan yang khusus memperkatakan usaha kemanusiaan dan Washington akan memastikan tenteranya berpegang pada mandat itu.
Obama bagaimanapun menegaskan, menjadi 'dasar AS bahawa Gaddafi mesti berundur' dan beliau menuduh pemimpin veteran yang memerintah Libya selama lebih empat dekad itu membunuh penduduk awam dalam usahanya untuk mematahkan pemberontakan.
Pentadbiran AS menghadapi tekanan kerana tidak menjelaskan matlamat perangnya di Libya, meskipun Obama selaku panglima angkatan bersenjata AS memberi jaminan tiada askar AS akan dihantar ke Libya.
Pemerhati berasa bimbang kesudahan campur tangan tentera Barat itu tidak dinyatakan dengan jelas dan tentera AS yang sudah pun terbeban dengan kempen perang di Iraq dan Afghanistan, tidak memiliki keupayaan untuk menangani satu lagi konflik berlarutan.
Komander AS yang mengetuai operasi Libya, Jeneral Carter Ham berkata, fokus tentera bersekutu adalah untuk menguatkuasakan zon larangan terbang dan melindungi penduduk awam, dan Gaddafi tidak menjadi sasaran dan tidak juga diketahui di mana beliau berada.
"Kami tidak mempunyai misi untuk menyokong tentera pemberontak sekiranya mereka melancarkan operasi serangan," kata Ham di Pentagon. - AFP
0 ulasan: on "AS terus desak pengunduran Gaddafi"
Catat Ulasan