Home
Wanita
Usah bercinta dengan isteri atau suami orang
CINTA dan kasih sayang itu anugerah. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sungguh, orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak Allah
Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (wudda) dalam hati
mereka". (Maryam, ayat 96).
Apakah maksud cinta? Cinta sebenarnya adalah perasaan yang muncul
dalam diri apabila berhadapan dengan satu situasi sahaja iaitu
memerlukan.
Lantas, apabila diri memerlukan dan diperlukan, usia, rupa atau
pangkat bukan lagi halangan. Sifat cinta adalah bebas tanpa alasan.
Paling penting, sama-sama memerlukan seperti firman Allah SWT dalam
surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT menyebut tentang cinta iaitu
keinginan: "Diperhiaskan (pada pandangan) manusia kecintaan terhadap apa
yang diingini."
Haram, harus dan makruh
Bertitik tolak daripada kedua-dua dalil mengenai cinta inilah, setiap
individu mendambakan cinta. Hari ini, kisah percintaan antara seorang
wanita dengan lelaki berstatus suami orang merupakan cerita biasa, malah
kisah cinta antara seorang lelaki dengan wanita berstatus isteri juga
bukan luar biasa.
Hakikatnya, syariat telah menentukan haram bagi lelaki mencintai
isteri orang dan haram juga bagi wanita yang masih sah menjadi isteri
orang, atau masih dalam idah, atau masih menjadi tunangan orang, untuk
bercinta atau menaruh perasaan terhadap lelaki lain.
Hukum haram meminang perempuan yang telah menjadi tunangan orang lain
berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah seorang
lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum
perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya." (Hadis Riwayat
Bukhari).
Kalaulah mengambil tunangan orang menjadi haram, apatah lagi isteri orang.
Berbeza pula jika wanita yang bukan isteri orang bercinta dengan
lelaki suami orang, tidak menjadi haram tetapi ada dua hukum yang
berkaitan iaitu harus atau makruh.
Harus jika si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu kekal
melaksanakan tanggungjawab yang wajib dan perlu kepada isterinya dan
anak-anak.
Makruh pula jika setelah mengenali dan mencintai anda telah
menyebabkan lelaki itu tadi sengaja melalaikan dan mengabaikan
tanggungjawabnya yang wajib dan perlu kepada isteri dan anak-anak.
Makruh juga jika anda maklum, si lelaki yang anda cintai dan
mencintai anda itu tidak mampu untuk menjadikan anda isterinya yang sah
menurut syariat. Ia sama ada si lelaki tidak layak berpoligami ataupun
tidak berniatpun untuk menjadikan anda isterinya kerana tidak mahu
mengambil tindakan yang boleh menyakiti hati isterinya yang sedia ada.
Faktor pencetus cinta yang salah
Dalam kebanyakan kes, faktor utama pencetus cinta salah dan terlarang
ini ialah perkongsian masalah diri. Ada suami orang yang berkongsi
kisah dengan kawan wanita.
Ada juga isteri orang yang berkongsi kisah
dengan kawan lelaki dan tidak kurang juga isteri orang yang berkongsi
kisah dengan suami orang.
Mulanya hanya simpati dan berusaha memberikan nasihat dan pandangan
tetapi akhirnya simpati bertukar menjadi jatuh hati. Perkongsian demi
perkongsian menyebabkan timbulnya rasa keserasian dan saling memerlukan.
Rasa serasi dan jatuh hati akan lebih mudah terjadi jika seseorang
itu mampu melihat kelebihan yang ada dalam diri kekasih baharu
berbanding pasangan sedia ada.
Ditokok tambah dengan kesilapan dan kekurangan yang ada dalam diri
pasangan menjadikan seseorang itu buta hati. Maka, apabila seorang suami
orang atau isteri orang itu dilayan lebih baik biarpun hanya secubit
rasa, segala-galanya akan dirasai lebih nikmat dan bahagia berbanding
bersama pasangan sendiri.
Mereka juga akan rasa lebih selesa dan selamat apabila kehendak yang
selama ini tidak dipenuhi oleh isteri sendiri atau suami sendiri, mampu
dilaksanakan sebaiknya oleh si kekasih.
Dalam kebanyakan kes, pasangan tidak pernah dimaklumkan mengenai
kesilapan diri yang perlu diperbaiki agar mereka kekal dikasihi. Hal ini
menyebabkan mereka terus tertanya-tanya dan tersalah memberikan layanan
yang sepatutnya.
Keadaan layanan taraf lima bintang daripada si kekasih 'rahsia' ini
menjadikan suami orang atau isteri orang merasai nikmat cinta terlarang.
Adakalanya mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka menyalahi moral
masyarakat dan kehendak syariat.
Di samping tiga faktor pendorong ini, sebab utama ialah kerana tiada
niat yang ikhlas ketika mendirikan rumahtangga. Niat yang ikhlas
bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang
bersama-sama dan sama-sama mahu memperbaiki diri demi keharmonian rumah
tangga.
Niat yang ikhlas ketika berkahwin perlu sebab keikhlasan yang wujud
boleh mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha untuk
memperbaiki kelemahan tersebut bersama-sama dan bukannya dengan
melakukan kesilapan yang sama.
Hindari cinta salah
Sebagai langkah pencegahan, perkara paling utama yang perlu dilakukan
ialah berterus terang, berbincang dan cuba atasi segala masalah yang
ada bersama pasangan.
Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan
ada orang lain yang lebih memahami atau lebih bersikap melindungi.
Sebaik-baiknya, apabila isteri merasakan ada yang kurang dalam
layanan suami, isteri perlu berterus terang dan suami pula perlu
bersikap terbuka. Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama.
Berbincang dan berterus-teranglah dengan isteri.
Ketepikan ego seketika, isteri anda pasti memahami anda jika
diberikan peluang kepadanya. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan,
ikhtiar dan usahakan jalan penyelesaian.
Paling penting, elakkan berkongsi masalah anda terutama masalah rumah
tangga anda dengan rakan berbeza jantina tidak kiralah apa juga status
dirinya.
Jangan sangka suami orang lebih memahami atau isteri orang lebih
mengerti. Pengertian dan pemahaman yang anda dambakan sukar bersifat
profesional jika perkongsian berlaku hari ke hari dicampur rasa simpati
yang tinggi.
Tiada istilah teman tapi mesra dalam sebuah rumah tangga jika kemesraan itu mampu mengoyak jiwa dan emosi pasangan anda.
Kita sentiasa diberikan pilihan maka berhati-hatilah dalam memilih
agar pilihan yang dibuat tidak menjadikan kita hamba yang derhaka
kepada-Nya.
0 ulasan: on "Usah bercinta dengan isteri atau suami orang"
Catat Ulasan