|
|
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kaunter itu mula dikunjungi pagi ini untuk membolehkan mereka membayar zakat fitrah sebanyak RM7 seorang seperti yang ditetapkan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ketua amil masjid tersebut, Mejar Wan Ismail Wan Abdullah berkata, dalam usaha memberikan kemudahan yang terbaik khususnya kepada warga tentera untuk membayar zakat, pihaknya akan membuka kaunter zakat selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini.
“Waktu urusan kaunter zakat ialah pada waktu zuhur hingga asar setiap hari. Pembukaan kaunter sepanjang Ramadan ini adalah untuk memudahkan anggota tentera melakukan pembayaran zakat fitrah semasa bertugas,’’ katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu, pembukaan kaunter tersebut juga telah menarik orang ramai untuk mengerjakan solat di sini berbanding sebelum ini.
Sementara itu, seorang pembayar zakat, Lans Koperal Mohd. Ridzuan Teh, 27, berkata, kaunter pembayaran zakat itu telah memudahkan mereka yang bertugas di pangkalan udara di situ untuk membayar zakat.
“Masjid adalah tempat strategik untuk tujuan itu kerana selesai mengerjakan solat berjemaah kami boleh membayar zakat, ’’ katanya.
Dalam pada itu, anggota Institut Perubatan Penerbangan, Sarjan Mohd. Arif Ahmad, 35, berkata, ini merupakan kali pertama beliau membayar zakat di sini kerana sebelum ini bertugas di tempat lain.
“Saya bersetuju kaunter zakat dibuka di masjid kerana lebih mudah untuk datang ke sini berbanding jika dibuka di tempat yang jauh dari tempat bertugas,’’ katanya.
Prebet Ridzuan Ali, 21, pula berkata, dengan pembukaan kaunter zakat di masjid ia secara tidak langsung dapat memberi nilai tambah kepada peranan dan fungsi masjid kepada orang ramai.
“Kita dapat lihat lebih ramai telah datang ke masjid ini berbanding dahulu kerana boleh membayar zakat selepas menunaikan solat,” katanya.
0 ulasan: on "Warga tentera bayar zakat"
Catat Ulasan